PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sekali lagi mendesak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk melaksanakan zon larangan terbang ke atas negaranya.
Alasan beliau ialah ia akan melindungi bukan sahaja Ukraine tetapi negara-negara pakatan Atlantik daripada serangan udara Rusia.
Namun, sekutu Amerika Syarikat (AS) dan NATO enggan menerima permintaan Zelenskyy itu.
Ia memberikan jawapan yang sama diberikan kepadanya sejak Moscow menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.
Jawapan tersebut adalah sebarang percubaan untuk mewujudkan zon larangan terbang itu akan menyebabkan NATO berada dalam konflik secara langsung dengan Rusia,
Rusia mempunyai senjata-senjata nuklear sekali gus menyebabkan jika zon larangan dilaksanakan, ia kemungkinan akan mencetuskan konflik yang lebih berbahaya.
Zon larangan terbang NATO itu tidak membenarkan semua atau jenis pesawat tertentu terbang melalui ruang udara yang ditentukan di sesebuah negara atau wilayah.
Namun, ia memerlukan rondaan dan pemantauan udara secara berterusan.
Dari tahun 1991 hingga 2003, AS, Perancis dan Britain menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Iraq setelah Perang Teluk berlaku pada tahun 1991.
Ia bertujuan untuk melindungi penduduk Syiah di selatan dan minoriti Kurdis di utara negara berkenaan dari serangan udara oleh Presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein.
Dari tahun 1993 hingga 1995, NATO menguatkuasakan zon larangan terbang yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Bosnia.
Pada tahun 2011 pula, NATO menguatkuasakan zon larangan terbang yang diluluskan oleh PBB ke atas Libya semasa perang saudara di negara itu.
Pelaksanaan zon larangan terbang oleh pakatan itu bermakna bahawa Rusia tidak dapat menggunakan jet-jetnya terbang ke ruang udara Ukraine.
Ia juga menyebabkan negara tersebut tidak boleh menerbangkan jet-jet pejuang dan dron-dron miliknya untuk menyerang Rusia.
Jika zon larangan terbang dilaksanakan NATO ke atas Ukraine, pegawai AS dan NATO telah menyatakan bahawa ia perlu menggunakan jet-jetnya sendiri untuk menembak jatuh mana-mana pesawat Rusia.
Ini menyebabkan NATO terlibat secara langsung dalam Perang Ukraine.
"Sekiranya kita membenarkan zon larangan terbang itu di Ukraine, kita akan berakhir dengan perang besar-besaran di Eropah," kata Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg pada Mac 4 seperti dilaporkan oleh AFP.
Menurutnya, ia akan menyebabkan lebih ramai manusia mengalami penderitaan.
"Justeru, itulah sebab mengapa kita membuat keputusan yang menyakitkan ini," kata Stoltenberg.
Presiden Rusia, Vladimir Putin juga pernah menegaskan bahawa mana-mana negara yang berusaha melaksanakan zon larangan terbang di Ukraine akan dianggap telah menyertai konflik bersenjata di negara berkenaan.
Pada minggu lalu, sekumpulan pakar pertahanan dan dasar-dasar luar AS mengeluarkan sepucuk surat yang meminta supaya zon larangan terbang terhad dikuatkuasakan oleh NATO ke atas Ukraine.
Ia bertujuan untuk mewujudkan koridor kemanusiaan bagi melindungi orang awam daripada dibom dari udara oleh tentera Rusia.
Bagaimanapun, pengkritik menyatakan bahawa ia tidak akan mengehadkan risiko konflik bersenjata dengan Rusia kerana pesawat-pesawat NATO yang menguatkuasakan zon larangan terbang itu masih perlu menembak jatuh jet-jet Rusia.
Setakat ini, perang di Ukraine tidak banyak bergantung kepada kekuatan tentera udara Rusia atau Ukraine.
Dalam pencerobohan itu, tentera Rusia banyak bergantung kepada serangan yang menggunakan peluru berpandu jarak jauh dan tembakan artileri untuk menyerang sasaran Ukraine.
Sebahagian penduduk Ukraine yang berjuang melawan tentera Rusia pula banyak bergantung kepada penggunaan senjata-senjata api yang terlalu ringan.
Seorang pegawai pertahanan AS memberikan contoh serangan peluru berpandu Rusia pada Ahad lalu di sebuah pangkalan di barat Ukraine.
Tentera Rusia melakukan dua dozen serangan peluru berpandu dari pesawat yang terbang di wilayah Rusia pada masa itu.
"Zon larangan terbang di Ukraine tidak akan memberi kesan terhadap serangan seperti itu," kata pegawai tersebut.
"Ia (zon larangan tebang) tidak akan menghentikan semua aktiviti udara yang sedang berlaku kini," katanya lagi. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca