DAVID Bottomley telah berusia 94 tahun ketika menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Curtin, Australia pada 2019. Dia bukanlah penerima PhD yang tertua kerana empat tahun sebelum itu, Ingeborg Rapoport, seorang doktor... Klik di sini untuk terus membaca

DAVID Bottomley telah berusia 94 tahun ketika menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Curtin, Australia pada 2019.

Dia bukanlah penerima PhD yang tertua kerana empat tahun sebelum itu, Ingeborg Rapoport, seorang doktor perubatan di Jerman menggenggam ijazah yang sama daripada Universiti Hamburg.

Pada masa itu, Rapoport yang meninggal dunia pada 2017 telah berusia 102 tahun.

Kita lupakan Karl Witte yang sehingga kini menjadi pemegang rekod Guinness sebagai orang paling muda menerima PhD sebab dia datang daripada era berbeza.

Witte menerima ijazah kedoktorannya itu daripada Universiti Giessen, Jerman pada 1814.

Selepas dia, ada banyak lagi ‘budak’ luar biasa yang menamatkan pengajian peringkat PhD pada usia belasan tahun.

Kim Ung-yong misalnya, baru berusia 15 tahun ketika naik ke pentas Universiti Colorado untuk menerima ijazah itu pada 1977.

Balamurali Ambati dan Ruth Lawrence pula, masing-masing berusia 17 tahun ketika bergelar doktor falsafah.

Pada usia 26 tahun, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Luminar Technologies, Austin Russell telah berstatus bilionair.

Dan dia hanya seorang penuntut yang tercicir daripada Universiti Stanford, California.

Sudah tentu, Russell bukanlah satu-satunya ‘orang tanpa ijazah’ yang berjaya sampai ke puncak.

Ramai lagi seperti dia, antaranya pengasas Apple, mendiang Steve Jobs; pengasas Microsoft, Bill Gates; pemilik Facebook (kini Meta), Mark Zuckerberg adalah orang yang meninggalkan bangku pengajian di tengah jalan.

Di Malaysia ini pun, ramai yang sehebat mereka, berjaya tanpa ijazah. Idola saya, Tan Sri Syed Mokhtar dan Datuk Ramly Mokni adalah dua daripadanya.

Saya ketengahkan fakta-fakta ini untuk menunjukkan bahawa kejayaan itu bukan sahaja subjektif sifatnya tetapi juga tidak mempunyai batas sempadan.

Ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja, dengan apa juga cara, tidak kira berapa usianya dan bagaimana latar belakangnya.

Jadi, adalah silap jika ada yang berkata orang yang tidak berpendidikan tinggi tidak boleh berjaya dan tidak mempunyai ilmu.

Tetapi silaplah juga jika mengatakan bahawa ijazah itu tidak penting hanya disebabkan oleh orang yang tidak berijazah pun terbukti boleh berjaya.

Pada zaman pandemik, kita melihat ledakan pendidikan dibuat secara atas talian. Apa lagi ilmu non struktur daripada laman web dan YouTube. Terlalu banyak ilmu tidak formal diajar di hujung jari.

UNIVERSITI KEHIDUPAN

Ramai usahawan berjaya yang saya temui bersetuju mereka berjaya kerana ilmu dari luar kampus walaupun mereka graduan daripada universiti terkenal. Universiti kehidupan telah membina sikap dan pemikiran mereka.

Saya bermula sebagai budak kampung yang banyak cita-cita. Saya pernah bercita-cita hendak menjadi pemandu steamroller sehingga termimpi-mimpi membayangkan rasa seronok membawa jentera berat itu.

Saya juga pernah bercita-cita hendak menjadi posmen kerana percaya pekerjaan itu memberi peluang saya menambah koleksi setem saya.

Setiap kali menghantar surat, saya akan minta setem yang telah digunakan pada sampul surat tersebut daripada penerimanya. Itu yang saya angan-angankan.

Kemudian cita-cita itu berubah kepada menjadi guru, sebelum bertukar lagi kepada pegawai bomba dan seterusnya menjadi peguam.

Ketika Azian Mazwan Sapuan menyertai Bintang RTM tahun 1986, saya bercita-cita hendak menjadi penyanyi pula dengan harapan suatu masa akan berpeluang berduet dengannya.

Teruk juga saya digelakkan oleh kawan-kawan disebabkan cita-cita itu.

Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak seperti diharapkan oleh saya – dan oleh keluarga – saya murung beberapa ketika.

Itulah saatnya saya tidak henti-henti meleteri diri sendiri. Tetapi itulah juga titik mula yang membawa perubahan besar dalam hidup saya.

Rasa malu pada kawan-kawan yang berjaya mendorong saya bertekad menjadi seperti mereka, malah kalau boleh lebih baik daripada mereka.

Sejak itulah saya tidak jemu-jemu mencari ruang untuk menyambung pelajaran. Selepas telah bekerja pun, azam saya yang satu itu tidak pernah pudar.

Tatkala membuat keputusan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat PhD, usia saya telah pun mencecah 30 tahun.

Jika ibaratkan pokok getah, sudah selayaknya saya ditebang untuk ditanam semula.

Sesungguhnya ia sebuah perjalanan panjang. Saya mengambil masa 20 tahun untuk mencapai apa yang saya benar-benar hajatkan – Ijazah Doktor Falsafah.

Tidak kira berapa panjang tanduk iblis yang datang berbisik, saya tetap membulatkan tekad mengejar cita-cita saya yang satu itu.

Saya percaya itulah yang patut dilakukan oleh sesiapa pun. Kenal pasti apa yang anda mahu, kemudian bergeraklah ke arah itu dengan penuh yakin.

Jika ada halangan di pertengahan jalan, hadapilah ia. Anda boleh membuat pengunduran berhelah (tactical retreat) tetapi jangan sesekali berpatah balik.

Ada banyak sebab kenapa orang mengejar kejayaan akademik. Memperbaiki taraf hidup, meningkatkan status sosial, melebarkan peluang untuk mendapat kerja, melonjakkan kedudukan dalam perkhidmatan, mencari kepuasan dalam menuntut ilmu dan sebagainya.

Belajar di universiti bermula daripada asas dan diajar secara bertahap modul. Juga pengiktirafan yang diakreditasi daripada pihak berwajib.

Begitu juga ada pelbagai sebab kenapa orang tidak meneruskan pelajaran hingga ke peringkat tinggi – kekangan hidup, peluang terhad, kurang berminat dan tidak sedikit juga yang didorong oleh faktor tidak sabar untuk berjaya.

Tidak kira anda berada dalam kelompok mana, yang penting adalah menentukan apa yang anda mahu pada peringkat seawal mungkin. Ia bertujuan mengelak anda daripada mensia-siakan masa.

Peter Thiel, bilionair Jerman-Amerika yang merupakan pengasas bersama Paypal menggalakkan mereka yang berkemahuan tinggi dan tidak cenderung pada bidang akademik supaya meninggalkan bangku pengajian jika mereka serius hendak mencapai cita-cita masing-masing.

Dia malah menawarkan dermasiswa berjumlah AS$100,000 kepada pelajar tercicir (atau mencicirkan diri) itu bagi membuat kajian, penyelidikan dan/atau modal dalam bidang yang mereka yakini boleh melonjakkan mereka ke mercu kejayaan.

Si bilionair muda Austin Russel adalah salah seorang penerima dermasiswa Thiel.

Dalam kehidupan sekarang, ruang membuat pilihan amat luas terbuka. Untuk menjadi bijak dan hebat, berulang-alik ke bilik kuliah bukan lagi satu-satunya cara.

Dengan adanya internet, kita boleh menimba pelbagai jenis ilmu sehingga ke akar umbi, mendapat guru yang terbaik daripada merata penjuru alam, tempat bertanya yang boleh diakses bila-bila masa, rakan untuk membentuk kumpulan belajar yang tidak terhad.

Yang perlu hanyalah matlamat yang jelas, kemudian burulah apa yang anda mahu.

Jangan pula membeli ijazah palsu daripada ‘universiti kedai dua baris’ di internet, tiada istilah kualitatif apa lagi kuantitatif, tiba-tiba beratur panjang di konvokesyen dengan senyum simpul. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca