SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), meskipun Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini melantik Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), meskipun Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini melantik Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kekeliruan yang mengatakan bahawa Jakim kini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja susulan daripada ketetapan mesyuarat majlis itu pada 9 dan 10 Mac lalu tidak seharusnya timbul memandangkan MKI dan Jakim merupakan dua entiti berbeza.

Malah jelasnya, sultan yang dilantik menjadi pengerusi majlis itu selama dua tahun secara bergilir-gilir juga tidak memainkan peranan sebagai pemantau kepada Jakim.

"Jakim itu satu badan kerajaan yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan untuk melakukan perancangan bagi memastikan agama Islam itu dapat dijaga dengan baik.

"MKI ini pula adalah satu badan yang memberi pandangan, memberi nasihat kepada kerajaan mengenai isu perundangan, isu berkaitan dengan agama Islam. Jadi kalau kita lihat struktur baharu ini MKI diletak di bawah Majlis Raja-Raja, bukan Jakim.

"Jakim ialah jabatan kerajaan, jadi hal ehwal agama Islam mengenai polisi dapat diketengahkan oleh MKI dan disarankan kepada kerajaan untuk melaksanakannya di bawah Jakim.

"Jadi, di situ kita lihat fungsi MKI ialah mengawal selia dari segi polisi, uniformity (keseragaman) dan perundangan tetapi dari segi pelaksanaan dan pentadbirannya itu terserah kepada Jakim dan negeri-negeri.

"Kita tahu Jakim pun, ia satu badan di peringkat persekutuan tetapi ia tertakluk kepada negeri-negeri kerana hal ehwal agama Islam itu itu di bawah kuasa negeri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, MKI berperanan sebagai badan yang memberi cadangan supaya berlaku penyelarasan polisi, penyelarasan tindakan mengenai perundangan dan agama Islam antara negeri-negeri dan persekutuan.

"Saya melihat apa yang diputuskan oleh MKI itu perlu ada satu saluran pentadbiran sebab MKI itu bukan satu badan pentadbiran. Ia satu badan untuk menentukan polisi tentang agama dan undang-undang Islam.

"Jadi saya lihat MKI ini berbincang dan memutuskan polisi tentang agama Islam, undang-undang Islam tetapi dalam melaksanakannya ia terpulang kepada kerajaan Persekutuan melalui Jakim, manakala kerajaan negeri mempunyai kuasa terhadap agama Islam dan undang-undang Islam di negeri,” jelas beliau.

Kataya, ketetapan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang melantik Sultan Sharafuddin untuk mempengerusikan MKI juga disifatkan sebagai langkah yang baik.

"Jakim itu tetap sebagai satu badan pentadbiran kerajaan Persekutuan, hal ehwal agama Islam juga masih lalui di dalam negeri, cuma tujuan MKI itu memastikan bahawa terdapat keselarasan.

"Kita tahu juga bahawa banyak isu-isu tentang Islam ini kadang-kadang bercanggah antara negeri khususnya perundangan,” katanya.

Pada 12 Mac lalu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, dakwaan bahawa Jakim kini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja susulan daripada ketetapan mesyuarat majlis itu pada 9 dan 10 Mac lalu adalah kurang tepat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dengan titah perkenan, laporan beberapa media tempatan sebelum ini boleh mengelirukan.

Dalam pencerahan itu, beliau menegaskan, mesyuarat majlis itu yang ke-258 hanya membuat ketetapan memilih Sultan Sharafuddin sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun.

Dalam laporan pada 10 Mac lalu, beberapa akhbar melaporkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja memutuskan untuk meletakkan Jakim di bawah majlis berkenaan, selain Sultan Selangor dan Perdana Menteri masing-masing sebagai Pengerusi MKI dan Timbalan Pengerusi.

Klik di sini untuk terus membaca