SEMUA pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bermuhasabah dan memperbaiki segala kelemahan mereka susulan kekalahan demi kekalahan bermula dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hingga ke... Klik di sini untuk terus membaca

SEMUA pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bermuhasabah dan memperbaiki segala kelemahan mereka susulan kekalahan demi kekalahan bermula dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hingga ke terbaharu PRN Johor, Sabtu lalu.

Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan PKR kembali ke landasan betul bagi menawan kembali hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seperti mana yang dilakukan pada PRU14.

Malah, Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) itu berpandangan, PKR selaku rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang kalah paling teruk berbanding DAP dan Amanah, perlu mencari naratif dan formula baharu untuk mengulangi kejayaan mereka ke Putrajaya empat tahun lalu.

Chandra yang menjadi antara tulang belakang dan antara pengasas penubuhan parti Keadilan (kini PKR) pada tahun 1999 berkata, selepas lebih 20 tahun ditubuhkan sudah tiba masanya untuk PKR melakukan kajian terperinci mengenai hala tuju dan matlamat perjuangan mereka sekarang.

"Kekalahan teruk dalam keempat-empat PRN amat menyedihkan kerana suatu ketika PKR adalah sebuah parti pembangkang yang utama, kuat dan digeruni oleh lawan termasuk BN/ UMNO.

"Bagaimanapun, sekarang keadaannya amat menyedihkan kerana pada PRN Johor, PKR hanya mampu menang satu kerusi sahaja. Justeru, saya melihat PKR perlu melakukan postmortem secara mendalam, jujur dan rasional kenapa majoriti rakyat Malaysia menolak calon PKR,” katanya.

Untuk rekod, pada PRN Johor Sabtu lalu, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala PH 11 kerusi, PN tiga kerusi, PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula masing-masing satu kerusi.

Chandra yang pernah menjadi Timbalan Presiden pertama Parti Keadilan berkata, tindakan itu perlu kerana misi besar seterusnya ialah PRU15 yang mungkin diadakan dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.

Dr Chandra Muzaffar

SEJARAH KEJAYAAN

Chandra mengakui sedih melihat nasib yang kini menimpa PKR kerana dulu ia adalah parti politik pertama dalam sejarah Malaysia berjaya memenangi banyak kerusi di kawasan campuran dan bukan majoriti Melayu.

Sebelum ini, Chandra berkata, kebanyakan parti politik sebagai contoh UMNO hanya menang di kawasan majoriti Melayu, MIC di kawasan majoriti kaum India, manakala, DAP dan MCA menguasai kerusi majoriti orang Cina.

"Bagaimanapun, apa yang uniknya sejak beberapa PRU lalu, PKR menjadi parti pertama yang boleh menang sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu di kawasan tertentu walaupun bukannya secara menyeluruh.

"Itulah satu kejayaan besar PKR sebagai sebuah organisasi politik, sebelum bergabung dengan parti lain untuk membentuk Pakatan Rakyat (PR) dan kemudian PH,” katanya lagi.

Chandra melihat antara punca utama parti berkenaan kini seperti ‘harimau patah taring’ kerana sikap Anwar sendiri yang suka membuat sandiwara politik dan ‘obsesi’ mahu mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

"Apabila Anwar memulakan permainan politik dengan mengatakan beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri, saya katakan buktikanlah.

"Anwar juga pernah mendakwa beliau sudah menghantar senarai ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi ia hanya sekadar dakwaan dan tidak berjaya direalisasikan sampai sekarang. Saat itu, rakyat mula hilang kepercayaan dan muak dengan PKR.

"Ini adalah permainan politik Anwar dari dahulu kerana pada tahun 2008 pun dia pernah menyatakan sudah mempunyai sokongan ahli Parlimen mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri dan menubuhkan kerajaan baharu, namun kita tahu ia hanyalah cakap-cakap kosong sahaja,” ujar beliau.

KONSEP PERJUANGAN

Chandra nenambah, faktor kedua kemerosotan sokongan rakyat kepada PKR adalah kerana ramai pemimpin utamanya termasuk beliau sendiri serta bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti itu.

"Saya antara pemimpin terawal mengambil keputusan meninggalkan Keadilan (kini PKR) dan selepas itu semakin ramai keluar parti sekali gus menyebabkan sokongan rakyat semakin merosot,” katanya.

Bagaimanapun, Chandra percaya, PKR mampu bangkit semula jika benar-benar menggunakan kelebihan mereka sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang mampu membela nasib dan kebajikan masyarakat berbilang bangsa.

"Konsep berbilang kaum PKR tidak sama dengan DAP. Walaupun DAP mengatakan mereka adalah parti berbilang kaum namun hakikat sebenar adalah berbeza. Ini kerana konsep berbilang kaum DAP tidak akan diterima oleh semua kaum lain terutama orang Melayu yang merupakan kaum majoriti.

"Bagaimanapun, konsep semua kaum yang diperjuangkan PKR adalah berbeza dengan DAP sebab itulah, ia boleh diterima oleh rakyat.

"Namun, apa yang merosakkan imej PKR adalah soal perebutan kuasa dan cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dan sebagainya,” jelas beliau.

Ditanya sama ada wajar atau tidak PKR menampilkan wajah baharu yang lebih segar menggantikan Anwar, Chandra berkata, itu adalah keputusan yang hanya boleh diputuskan oleh ahli PKR.

"Saya fikir itu bukan hak kita untuk menentukan siapa patut memimpin PKR selepas ini kerana ia adalah hak ahli dan pemimpin parti berkenaan untuk membuat pilihan sendiri secara bijak.

"Tapi mereka juga harus jujur dan berterus-terang mengenai punca sebenar kenapa PKR kini hilang sokongan dan kepercayaan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca