HARI Jumaat lalu, genap dua tahun penubuhan Malakat Mall, sebuah pasar raya Muslim yang terletak di Cyberjaya.
Walaupun dirempuh badai Covid-19, Malakat Mall masih bertahan hingga hari ini. Apa signifikan pasar raya itu berbanding ratusan lagi pasar raya di negara ini?
Nama ‘malakat’ dipilih kerana ia adalah nama asal Melaka yang membawa maksud tempat pertemuan para pedagang.
Pada zaman kegemilangannya, Pelabuhan Melaka adalah yang terbesar di Nusantara. Ia terkenal seantero dunia.
Malakat Mall juga bukan sebuah pasar raya semata-mata. Ia amat signifikan kepada ekonomi Melayu Muslim.
Usahawan dan Pengasas Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim mendapat inspirasi Malakat Mall dengan mengambil contoh pasar Madinah yang didirikan Nabi Muhammad SAW sebagai pasar alternatif kepada pasar Yahudi ketika itu.
Idea membuka pasar raya berkenaan tercetus apabila beliau semakin memahami punca kenapa usahawan Muslim tidak mampu meningkatkan syer ekonomi negara.
Ketika berdiskusi dengan ramai usahawan, beliau mendapati mereka tidak mampu menjalankan operasi di dalam pasar raya kerana peraturan ketat dan kos pengurusan tinggi.
Maka, timbul hasrat beliau membuka sebuah pasar raya untuk usahawan Muslim tetapi kos membina pasar raya sangatlah tinggi dan mengambil masa lama.
Jalan yang cepat adalah mendapatkan dead mall atau ‘pasar raya yang mati.’ Dan, wujud sebuah pasar raya yang kosong di Cyberjaya dan di situlah tempatnya bermula.
Malakat Mall bukan bertujuan bertanding dengan mana-mana pasar raya konservatif lain, sebaliknya ia adalah sebuah medan perdagangan tersendiri untuk memperbetulkan ekosistem ekonomi Islam.
Apa pula ekosistem ekonomi itu? Statistik 2019 menunjukkan daripada RM112 bilion perbelanjaan dalam sektor ekonomi di Malaysia, 60 peratus dimiliki pihak asing.
Sebanyak 32 peratus pula oleh pihak bukan bumiputera tempatan tetapi hanya lapan peratus dimiliki oleh bangsa Melayu dan juga bumiputera.
Mengapa pihak asing dibiarkan membolot pemilikan hingga 60 peratus?
Kalaulah mereka melabur di negara kita untuk membuat empangan, lapangan terbang, buat roket atau kereta terbang, memang patutlah mereka melabur.
Mengapa mereka dibenarkan melabur di Malaysia dalam sektor peruncitan yang menjual keperluan seperti beras, gula, garam, ikan, sayur-sayuran dan produk pengguna.
Takkanlah orang Malaysia tak pandai jual beras sendiri sampai benarkan pihak asing jual beras kepada orang kita?
Orang kita memang tidak berfikir jauh apabila berbelanja. Asalkan sedap, asalkan murah, mereka akan kerumuni.
Mereka tidak terfikir, apabila berbelanja untuk mendapatkan gula, garam dan tepung mana-mana kedai itu, boleh mereka pindahkan ke kedai-kedai Muslim. Inilah bentuk pertolongan yang mereka boleh lakukan.
Agensi-agensi kerajaan hanya memberi ilmu, modal dan perundingan kepada mereka yang berminat menjadi usahawan.
Mereka tidak melatih usahawan membina jaringan dan menggabungkan usahawan itu menjadi rakan kongsi dan seterusnya konsortium.
Maknanya, mereka dilatih dan kemudian dilepaskan ke medan perniagaan yang luas dan mencabar secara sebatang kara!
Kumpulan Malakat cuba menjawab permasalahan itu dengan menyediakan ruang niaga kepada mereka sebagai tempat latihan.
Tiada sewa dikenakan tetapi hanya keuntungan yang dikongsi agar mereka dapat terus bertatih dan bernafas.
Perjuangan Kumpulan Malakat berwawasan besar dan tersusun tetapi memerlukan sokongan usahawan serta pengguna.
Alangkah bagus jika pengguna yang membeli-belah di mana-mana secara beramai-ramai memindahkan perbelanjaan mereka ke satu-satunya pasar raya Muslim yang ada.
Jika tidak, apalah akan berlaku kepada anak bangsa seandainya jaguh di kampung pun mereka tak jadi!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca