[EKSKLUSIF] KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta memberikan alasan lebih logik dan praktikal mengapa Kementerian Kewangan enggan meluluskan pengeluaran RM10,000 secara 'one-off' biarpun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebenarnya memiliki... Klik di sini untuk terus membaca

[EKSKLUSIF] KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta memberikan alasan lebih logik dan praktikal mengapa Kementerian Kewangan enggan meluluskan pengeluaran RM10,000 secara 'one-off' biarpun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebenarnya memiliki dana mencukupi melebihi RM1 trilion atau RM1,000 bilion ringgit sekarang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana pengeluaran RM10,000 daripada akuan KWSP itu penting kerana masih ramai rakyat terkesan akibat penularan Covid-19 dan memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk menjelaskan bayaran tunggakan sewa rumah, pinjaman bank, membeli keperluan harian, peralatan sekolah anak serta banyak lagi.

Oleh sebab itu, Asyraf Wajdi menyifatkan, jawapan diberikan oleh Menteri Kewangan di Parlimen pada Isnin, kononnya jika diluluskan maka ia akan menjejaskan pasaran modal dan kecairan aliran tunai KWSP adalah alasan amat dangkal, seperti cuba memperbodohkan seluruh rakyat Malaysia.

Tambahan pula Asyraf Wajdi berkata, saiz dana yang digunakan untuk pengeluaran kali ini adalah terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan aset dimiliki oleh KWSP sekarang.

"Jadi kenapa kerajaan nak takut sangat kita hanya keluarkan sebahagian kecil sahaja, sedangkan KWSP memiliki dana besar melebihi RM1 trilion. Apa kesan sangat sehingga Menteri Kewangan cakap (pada Isnin) beliau menjangkakan KWSP akan membelanjakan RM63 bilion jika semua 6.3 juta pencarum mempunyai caruman lebih RM10,000 membuat pengeluaran sekali gus.

"Itu adalah jawapan amat mengelirukan dan dangkal kerana bukan semua 6.3 juta pencarum akan membuat pengeluaran terakhir ini. Sebagai contoh saya pun ada caruman KWSP tetapi saya tidak berhasrat berbuat demikian.

"Justeru, saya menjangka hanya mereka yang layak dan benar-benar memerlukan akan mengeluarkan caruman RM10,000 berkenaan. Malah, saya difahamkan KWSP hanya membelanjakan RM21 bilion untuk membiayai kos pengeluaran i-Citra bukannya melebihi RM60 bilion jika semua 6.3 juta pencarum layak berbuat demikian.

"Jadi saya menjangkakan kesan pengeluaran i-Citra 2.0 ini hanya lebih kurang nilai RM25 bilion kerana pembukaan ekonomi dan hanya mereka terdesak akan berbuat demikian. Jika kita buat perbandingan RM25 bilion berbanding RM1 trilion hanyalah sekitar 2 peratus sahaja tidak menjejaskan dana keseluruhan KWSP," katanya dalam temu bual Eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di Menara Dato Onn, pada Selasa.

Pengeluaran RM10,000 daripada akaun KWSP itu penting kerana masih ramai rakyat terkesan akibat penularan Covid-19.


Malah Asyraf Wajdi berkata, KWSP juga boleh mencairkan pelbagai instrumen dan portfolio pelaburannya dalam negara seperti dilaburkan dalam pasaran modal tempatan, simpanan tetap, sukuk mahu pun dananya dalam pasaran kewangan bagi

mendapatkan dana bagi membiayai pengeluaran RM10,000, sekali gus berkenaan.

"Dia kata kalau mahu membenarkan pengeluaran berkenaan kita perlu mencairkan dana di luar negara, saya rasa tidak perlu kerana KWSP mempunyai pelbagai portfolio sama ada dalam pasaran modal, simpanan tetap, sukuk dan sebagainya mahu pun pasaran kewangan. Jadi macam-macam cara ada, jadi untuk mencairkan dana bernilai RM25 bilion, KWSP boleh dapat daripada pasaran kewangan.

"Malah, kalau ada masalah pasaran Malaysia Goverment Security (MGS) sekali pun saya rasa Bank Negara Malaysia (BNM) pada bila-bila masa boleh menambahkan dana untuk mendapatkan kecairan berkenaan kalau ditakuti pasaran tempatan jatuh.

"Bagaimanapun, saya tidak merasakan ia berlaku sedemikian rupa kerana impak pengeluarannya berasaskan tiga kali ganda di mana Tengku Zafrul tidak menafikan bahawa pengeluaran RM101 bilion itu tidak memberi impak kepada pasaran modal dan pasaran kewangan atau pelaburan luar negara.

"Apa yang pasti adalah nilai dividen dibayar KWSP adalah semakin meningkat berbanding waktu sebelum pandemik Covid-19. Jadi selama mana kerajaan mahu memperbodohkan rakyat dengan alasan dangkal seperti ini," katanya.

Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO sudah meneliti punca kuasa atau peruntukan undang-undang dan akta berkaitan bagi membolehkan mereka layak mengeluarkan simpanan KWSP jika keadaan mendesak.

"Sebenarnya mengikut Seksyen 54 (6) (k)(l)(m) Akta KWSP 1991 memperuntukkan bahawa pencarum boleh mengeluarkan caruman masing-masing bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Pindaan (m) menyatakan dengan jelas pencarum boleh membuat pengeluaran KWSP bagi tujuan pembiayaan akibat pandemik. Jadi punca kuasanya jelas bukannya ia menyatakan hanya ketika sudah bersara sahaja, kerana hari ini kita berbicara soal kelangsungan hidup rakyat sekarang bukan masa akan datang," katanya.

Tegasnya, keadaan rakyat terkesan dan tertekan inilah menyebabkan Pemuda UMNO tiada pilihan untuk terus lantang bersuara dan menjadi jurubicara rakyat.

"Kita menyuarakan apa yang rakyat rasa bukannya mempolitikkan suasana dan keadaan tetapi masalah rakyat. Masalah pandemik Covid-19 berlaku bukan dalam kawalan dan kita tidak pernah terfikir pun wabak ini akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi juga berpandangan bahawa alasan digunakan Menteri Kewangan bahawa beliau bimbang jika pengeluaran berkenaan diteruskan jika negara dilanda pandemik pada masa depan adalah tidak logik.

Beliau berkata, ini kerana pandemik Covid-19 adalah suatu suasana luar biasa dan memerlukan tindakan luar biasa serta keprihatinan kerajaan sedia ada untuk membantu rakyat dalam kesusahan.

"Jangan kita berfikir dalam kerangka seorang 'bankers' atau tokoh konglomerat yang sentiasa hidup dalam kemewahan dan tidak pernah merasai denyut nadi dan cetusan rasa hati rakyat. Ini adalah tindak tidak adil bagi rakyat dan Pemuda UMNO akan terus memperjuangkan tuntutan pengeluaran KWSP ini sehingga dapat seperti diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sebelum ini.

"Kita tidak akan mengalah untuk mendesak kerana ini adalah sebahagian daripada perjuangan kita, kebajikan dan suara rakyat," katanya.

Ditanya sama ada Pemuda UMNO bercadang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan, Asyraf Wajdi berkata, sudah banyak kali menyuarakan perkara itu kepada Ahli Parlimen Bera terbabit.

"Kita memang sudah mengadakan pertemuan dan menyerah memorandum beberapa kali kepada Perdana Menteri. Malah, kalau anda lihat kronologi daripada awal, Pemuda UMNO sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan hati ke hati dengan Perdana Menteri bagi merayu beliau campur tangan kerana ini membabitkan suara dan desakan rakyat bukannya UMNO.

"Saya juga sudah mengadakan pertemuan beberapa kali dengan pucuk pimpinan tertinggi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif KWSP sendiri dan menyerahkan memorandum.

"Kita juga mengadakan pertemuan dua kali dengan Menteri Kewangan bagi menyatakan bahawa rakyat amat memerlukan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000. Kita menyatakan bahawa terdapat keperluan amat mendesak kerana rakyat sedang susah dan sesak demi meneruskan kelangsungan hidup mereka," katanya.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk kerajaan melanjutkan pemberian moratorium kepada peminjam terdesak, Asyraf Wajdi berkata, perkara itu perlu dilihat secara keseluruhan sama ada rakyat masih memerlukan kemudahan itu atau tidak selepas sektor ekonomi negara kini sudah dibuka dan beransur pulih.

Klik di sini untuk terus membaca