SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjalani satu kajian khusus bagi mengenal pasti punca utama jumlah undi rosak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu sangat tinggi dan luar biasa sehingga mencecah 25,953 pemilih.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjalani satu kajian khusus bagi mengenal pasti punca utama jumlah undi rosak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu sangat tinggi dan luar biasa sehingga mencecah 25,953 pemilih.

Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Mohd Munir berkata, analisis pihaknya mendapati jumlah peratusan undi rosak adalah berjumlah satu peratus daripada keseluruhan 2,597,743 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRN itu.

Menariknya, beliau dan Unit Penyelidikan IDE mendapati peratusan undi rosak itu adalah lebih tinggi daripada jumlah undi diperoleh enam parti politik bertanding serta calon-calon bebas iaitu Parti Pejuang Tanahair (0.72 peratus); Parti Warisan (0.25 peratus); Parti Bangsa Malaysia (0.14 peratus); Parti Sosialis Malaysia (0.04 peratus); Parti Pribumi Perkasa Malaysia (0.01 peratus) dan bebas (0.36 peratus).

Jelasnya, satu lagi perkara cukup unik pada PRN Johor adalah apabila terdapat senario kewujudan jumlah undi rosak yang melebihi kedudukan kemenangan majoriti calon yang menang pada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir dan Parit Yaani yang dimenangi BN, manakala kerusi DUN Bukit Batu dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Sebagai contohnya di DUN Bukit Pasir, calonnya daripada BN iaitu Ketua Pemuda UMNO bahagian Pagoh, Ir Mohamad Fazli Mohammad Salleh telah mengalahkan calon PN, PH, Pejuang dan calon bebas dengan majoriti 198 undi, sedangkan jumlah undi rosak 381 undi.

"Begitu juga di DUN Bukit Batu dimenangi PKR dengan majoriti 137 undi, sedangkan undi rosak adalah sebanyak 624 undi," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

KHAIRUL ARIFFIN

Mengulas lanjut, Khairul Ariffin menegaskan Unit Penyelidikan IDE turut mengesan empat DUN yang mengalami masalah undi rosak mencapai hampir 1,000 undi iaitu Johor Jaya yang dimenangi DAP serta Tiram, Kota Iskandar dan Permas (BN).

"Senario jumlah undi rosak yang amat tinggi pada PRN Johor mungkin wujud disebabkan tiga keadaan iaitu refleksi kepada undi protes rakyat Johor, ada rakyat tidak tahu mengundi atau wujud isu-isu teknikal yang menyebabkan undi tersebut menjadi undi ragu dan seterusnya dianggap undi rosak.

"Tidak dinafikan ada Polling Agent dan Counting Agent (PACA) memaklumkan kepada kami, wujud situasi orang menconteng kertas undi dengan ekspresi tidak puas hati.

"Jika benar ada rakyat tidak tahu mengundi, pendidikan politik betul untuk mencelikkan rakyat oleh SPR, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah amat mendesak pada saat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir," ujarnya.

Jumlah undi rosak yang mencapai lebih 25,000 pemilih pada PRN Johor turut memberi isyarat bahawa terdapat sebilangan rakyat protes pilihan raya diadakan pada saat mereka susah.

PERATUSAN KELUAR MENGUNDI RENDAH

Dalam perkembangan lain, data analisis peratusan keluar mengundi dikemukakan IDE turut mengesahkan sebilangan besar kawasan DUN yang memiliki peratusan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina, mencatatkan rekod keluar mengundi terendah berbanding kawasan majoriti Melayu.

Penelitian data IDE itu mendedahkan sebanyak lima DUN memiliki komposisi pengundi Cina lebih tinggi, mencatatkan kadar peratusan keluar mengundi kurang daripada 50 peratus iaitu Bentayan, Stulang, Skudai, Puteri Wangsa dan Perling.

Daripada keseluruhan lima DUN itu, DUN Perling yang dimenangi Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Ting mencatatkan rekod kadar peratusan keluar mengundi terendah di Johor dengan 43.28 peratus.

Sementara itu, Unit Penyelidikan IDE mendedahkan 14 DUN mencatatkan peratusan keluar mengundi antara 50 hingga 55 peratus, 56 hingga 60 peratus (23 DUN) dan lebih 60 peratus (14 DUN).

Analisis peratusan keluar mengundi dikemukakan IDE menunjukkan sejumlah 19 DUN majoriti pengundi bukan Melayu mencatatkan kadar peratusan keluar mengundi lebih rendah daripada 55 peratus, berbanding DUN pengundi majoriti Melayu.

"Data menunjukkan hampir kesemua 14 DUN yang melebihi 60 peratus keluar mengundi adalah kerusi DUN majoriti Melayu yang dimenangi BN, kecuali DUN Bukit Kepong yang dimenangi calon PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

"Senario berbeza dicatatkan pada majoriti kerusi DUN majoriti pengundi bukan Melayu apabila kebanyakan peratusan keluar mengundi bawah 50 peratus adalah kawasan dimenangi DAP dengan DUN Puteri Wangsa dimenangi Muda," dedah Khairul Ariffin lagi.

Justeru, berdasarkan pecahan data dikemukakan IDE, Sinar Premium menyimpulkan amat jelas ramai pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina tidak keluar mengundi pada PRN Johor atas kemungkinan faktor protes terhadap PH, sindrom kelesuan politik dan kebimbangan penularan Covid-19.

Hal ini dibuktikan berlaku pengurangan ketara majoriti undi kemenangan diperoleh hampir keseluruhan 10 calon DAP yang menang sehingga menyebabkan parti itu terlepas empat kerusi DUN kepada MCA iaitu Yong Peng, Bekok, Paloh dan Pekan Nanas.

Analisis data PRN Johor oleh IDE menunjukkan jumlah undi rosak dicatatkan amat tinggi iaitu 25,953 pemilih atau mewakili satu peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi Johor.

Klik di sini untuk terus membaca