KEJADIAN tanah runtuh tidak lagi asing bagi penduduk di sekitar kawasan Ampang dan Hulu langat apabila insiden itu semakin kerap berlaku sehingga boleh meragut nyawa dan membahayakan penduduk. Situasi malang tidak berbau itu boleh terjadi... Klik di sini untuk terus membaca

KEJADIAN tanah runtuh tidak lagi asing bagi penduduk di sekitar kawasan Ampang dan Hulu langat apabila insiden itu semakin kerap berlaku sehingga boleh meragut nyawa dan membahayakan penduduk.

Situasi malang tidak berbau itu boleh terjadi sekelip mata dan pastinya membimbangkan setiap penghuni yang merasakan mereka tidak selamat berada di kediaman sendiri.

Tahukah anda, tiga peristiwa berdarah tanah runtuh yang paling besar berlaku di Ampang adalah Tragedi Highland Towers 1993, tanah runtuh Hulu Langat 2011 dan Tanah runtuh Bukit Antarabangsa tahun 2008.

Tragedi tanah runtuh Highland Tower yang terjadi 28 tahun lalu merupakan kejadian tanah runtuh paling besar di Ulu Klang, Selangor. Foto kredit: Astro Awani

Peristiwa tanah runtuh yang paling banyak meragut nyawa di Ampang adalah Tragedi Highland Towers yang menyebabkan runtuhan satu daripada tiga blok kondominium di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor pada 11 Disember 1993.

Tragedi tersebut ialah tragedi bangunan runtuh yang pertama dan terburuk setelah Malaysia mencapai kemerdekaan yang mana seramai 48 orang terkorban yang kebanyakannya adalah rakyat Malaysia dan 12 warga asing dari Britain, Jepun, India, Korea, Filipina dan Indonesia.

Salah seorang mangsa merupakan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam iaitu Carlos Abdul Rashid dan isterinya, Rosina Datuk Abu Bakar.

Kejadian tanah runtuh ini juga merupakan peristiwa yang paling sensasi dan mendapat banyak perhatian media sehingga terhasilnya beberapa dokumentasi dan pembikinan cerita seram berlatar belakangkan kejadian tersebut.

TRAGEDI ASRAMA ANAK YATIM

Selain itu, satu lagi insiden tanah runtuh paling besar di Ampang adalah tanah runtuh di Hulu Langat yang berlaku pada bulan Mei tahun 2011 yang berlaku di sebuah premis Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, Selangor.

Tragedi tanah runtuh Hulu Langat terjadi pada 21 Mei 2011 menyebabkan 16 orang maut dan sembilan lagi cedera selepas penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa terperangkap apabila berlaku tanah runtuh di belakang asrama mereka, selepas hujan lebat.Foto: AFP

Lebih menyedihkan apabila, kira-kira 25 orang penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa terperangkap apabila berlaku tanah runtuh di belakang asrama mereka selepas hujan lebat.

Tragedi menyayat hati ini telah menyebabkan 16 orang maut terdiri daripada anak-anak syurga yang berumur lingkungan lapan hingga 19 tahun serta seorang penjaga yang berumur 34 tahun yang didapati tertimbus dan sembilan lagi cedera dalam kejadian.

EMPAT KORBAN BUKIT ANTARABANGSA

Seterusnya, kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan tragedi Highland Towers adalah tanah runtuh Bukit Antarabangsa yang terjadi pada 6 Disember 2008 di kawasan Bukit Antarabangsa, Ulu Klang, Selangor, Malaysia.

Dalam kejadian ini, sebanyak empat nyawa terkorban lingkungan umur 20 hingga 40 tahun dan 15 yang lain cedera di samping 14 buah rumah banglo ranap dalam tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi.

Kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa tahun 2008 melibatkan empat nyawa terkorban dan 15 cedera di samping 14 buah rumah banglo ranap dalam tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi. Foto: AFP

Seramai 93 mangsa selamat daripada kejadian tanah runtuh itu dan kira-kira 3,000 hingga 5,000 penduduk Apartment berhampiran lokasi tanah runtuh diarah berpindah dari rumah masing-masing dan ditempatkan di pusat sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang.

Tahun ini, kita sekali lagi menyaksikan insiden tanah runtuh yang meragut nyawa apabila insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan minggu lalu.

Mangsa pertama yang juga merupakan satu-satunya individu yang terselamat dalam insiden itu ialah warga emas berusia 84 tahun namun isterinya iaitu mangsa kedua ditemukan meninggal dunia.

Kira-kira sejam setengah kemudian, mayat mangsa ketiga iaitu seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pemilik rumah dibawa keluar dan mayat mangsa keempat dan kelima, kedua-duanya lelaki warga tempatan termasuk seorang pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), masing-masing ditemui pada pagi berikutnya.

Insiden tanah runtuh itu juga menyebabkan kerosakan 15 unit rumah teres dua tingkat dan 10 kenderaan yang tertimbus. Dua daripada 15 kediaman berkenaan tertimbus sepenuhnya.

Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim berkata, lokasi itu tidak termasuk dalam senarai lebih 150 cerun yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi runtuh di Selangor.

Malah, sebelum ini pihaknya tidak mengesan sebarang indikasi seperti rekahan atau pergerakan tanah di lokasi berkenaan dan turut menolak kemungkinan kejadian bongkah batu yang terjatuh dari bukit berhampiran Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai pada 9 Mac lepas adalah petunjuk awal insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2.

Tahun lalu sahaja, peristiwa tanah runtuh telah mencatatkan 20 insiden yang berlaku di seluruh negara dan meragut kira-kira 12 nyawa sepanjang tahun.

Bulan Januari tahun lalu merupakan bulan yang paling banyak kejadian tanah runtuh berlaku yang mana tujuh insiden tanah runtuh dicatatkan diikuti bulan Disember dengan lima insiden yang mungkin berlaku disebabkan oleh faktor cuaca.

Klik di sini untuk terus membaca