KESTABILAN adalah tema utama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bukan sekadar untuk Barisan Nasional (BN) yang berslogankan ‘Kestabilan Untuk Kemakmuran’. Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) juga tampil dengan wacana... Klik di sini untuk terus membaca

KESTABILAN adalah tema utama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bukan sekadar untuk Barisan Nasional (BN) yang berslogankan ‘Kestabilan Untuk Kemakmuran’. Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) juga tampil dengan wacana kestabilan masing-masing.

Kemenangan besar BN – 43 peratus undi, 71 peratus kerusi – boleh dikatakan kemenangan naratif kestabilan BN. Naratif kestabilan BN berasaskan mandat dan pilihan raya, diwakili oleh pemimpin.

Apabila bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian meninggal dunia, kerajaan gabungan BN-PN bertahan dengan lebihan satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi dipegang pembangkang PH.

Sungguhpun, PH dan PN berjanji bahawa mereka akan mengekalkan kerajaan sehingga hujung penggal, ia tidak memuaskan BN-UMNO kerana dirasakan tiada mandat yang jelas, maka Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar dan PRN diadakan.

Naratif kestabilan BN berjaya menarik hati ramai ‘pengundi ekonomi’, yakni mereka yang mengharapkan pemulihan ekonomi apabila wabak Covid-19 nampak semakin surut.

Naratif itu meyakinkan kerana nakhoda BN, kini bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad telah menunjukkan ketokohan menerajui negeri dalam masa 25 bulan yang singkat. Beliau dilihat berwibawa dan adil, bukan proksi kepada mana-mana pihak.

Bagi sektor swasta, Hasni mewakili kesinambungan dasar dan pelaksanaan. Beliau bukan orang baharu. Umur 63 tahun tidak pernah menjadi isu.

Perasaan malu Tan Sri Shahril Samad yang kini enggan mewakili UMNO Johor untuk berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) boleh difahami.

"Sepanjang kempen saya ketawakan PN dan PH serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai Menteri Besar, jadi saya malu hendak ke PAU hujung minggu ini. Boleh dapat mandat rakyat tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana UMNO Johor.”

KETOKOHAN

Dalam konteks budaya Melayu yang sopan, ungkapan malu itu meluahkan lebih daripada kehampaan. Keengganan untuk hadir dan berucap di PAU itu bantahan yang cukup nyata.

Ia membawa kita kembali kepada isu pokok. PRN Johor dan PAU diadakan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secepat mungkin demi kestabilan negara. Ya, naratif yang sama. Pilihan raya akan membawa mandat yang seterusnya membawa kestabilan.

Apa yang berlaku di Johor telah mengesahkan naratif itu cuma teori, bukan realiti. Realitinya, sekalipun BN menang dua pertiga di DUN, ia tetap ‘tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan’, sekalipun Hasni tidak ada sebarang kes mahkamah berkaitan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan money laundering.

Perwakilan UMNO yang bijak, PAU seharusnya mengiktiraf realiti yang pahit. UMNO akan menerajui tanah air selagi pembangkang malas dan lesu, tetapi itu tidak bermakna UMNO akan benar-benar berkuasa.

Jika UMNO mahu benar-benar berkuasa dengan mandat rakyat, ia mesti membawa lebih banyak reformasi institusi sebelum PRU15, dengan sokongan pembangkang seperti apa yang sudah dan sedang termeterai di bawah MoU kerajaan Ismail Sabri bersama PH.

Untuk mengelak pengulangan cerita di Johor dan sebelumnya di Perlis serta Terengganu, UMNO perlu berani memperkenalkan mekanisme ‘undi pengesahan’ iaitu undi percaya untuk ketua kerajaan setelah dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Ia bukan mempersoalkan kuasa ketua negara/negeri tetapi untuk memperkasakan dan melestarikan institusi Raja Berperlembagaan sehingga selama-lamanya.

Jerat pipit dengan benang,

Simpan walit untuk sarang.

Apa maknanya menang,

Kalau kuasa di tangan orang?

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca