JOHOR BAHRU - Siapa calon Menteri Besar Johor yang baharu sudah terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Bukit Serene di sini pada Selasa. Kini tumpuan... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Siapa calon Menteri Besar Johor yang baharu sudah terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Bukit Serene di sini pada Selasa.

Kini tumpuan beralih pula kepada siapa barisan Exco baharu di bawah pentadbiran Onn Hafiz bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ia mesti bertunjangkan semangat kerjasama parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Berdasarkan rekod cemerlang dan pengalaman, beberapa muka lama dalam barisan Exco bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad mungkin dikekalkan.

Antaranya bekas Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali.

Memandangkan ketua kerajaan negeri kini ialah orang muda, maka barisan Exco Onn Hafiz dijangka dibarisi muka baharu bagi membantu beliau menerajui negeri Johor.

Antara yang disebut-sebut ialah ADUN Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali; Datuk Najib Samuri (Parit Yaani); Datuk Zulkurnain Kamisan (Seri Medan) dan Abd Mutalip Abd Rahim (Layang-Layang).

Selain itu, wakil rakyat dari MIC dan MCA juga berpotensi dilantik antaranya Ketua MCA Johor, Ling Tian Soon (Yong Peng) dan Ketua Pemuda MIC, K Raven Kumar (Tenggaroh).

KEDUDUKAN HASNI

Ketika ditanya mengenai spekulasi siapa barisan Exco baharu, Raven Kumar berkata, perkara itu bakal diputuskan pucuk pimpinan parti.

"Itu keputusan kepimpinan parti dan saya hormati semuanya. Calon baharu atau lama yang semuanya adalah pilihan Menteri Besar Johor,” ujarnya.

Tian Soon pula berpandangan, asas perjuangan BN bersama parti komponen MCA dan MIC yang membawa kepada kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seharusnya menjadi pertimbangan.

Katanya, MCA sekurang-kurangnya diberikan ruang menduduki barisan Exco Johor yang baharu.

"Sebelum PRN Johor, tiada Exco yang dilantik dari MCA. Pelantikan Exco merupakan tanggungjawab menteri besar baharu.

Hasni

"MCA percaya dengan kebijaksanaan beliau yang pastinya akan membuat pertimbangan dengan mengambil kira asas kerjasama parti komponen MCA dan MIC dalam BN,” jelasnya.

Berhubung kemungkinan mengenai kedudukan Hasni, Raven dan Tian Soon berpendapat, bekas Menteri Besar itu tidak sesuai berada dalam barisan Exco yang baharu.

Kata mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu mempunyai tahap tersendiri dan lebih layak jika diberikan jawatan khas sebagai penasihat.

Ia sebagai menghargai jasa dan peranannya mencorakkan kestabilan negeri dan membawa kemenangan BN dalam PRN Johor.

"Sama ada atau tidak ada jawatan kepada Hasni dalam kerajaan negeri ia tidak menghalang beliau membantu Menteri Besar dan kerajaan negeri. Inilah semangat BN yang mementingkan kerjasama,” tambah Tian Soon.

JANGAN KETEPI MUKA LAMA

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, lantikan barisan Exco baharu bagi negeri ini tidak boleh mengenepikan muka lama, selain mengambil kira kedudukan mana-mana individu dalam parti.

"Maksudnya orang lama dan orang baharu kena diberi perhatian supaya tidak berpuak-puak yang dibimbangi menjejaskan UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Oleh itu, menteri besar perlu meneliti semua aspek dengan mengambil kira mengambil kira keseimbangan dalam kerajaan dan parti

"Walaupun menteri besar sekarang orang muda, tetapi beliau perlu memastikan adanya keseimbangan dalam barisan Exco agar wujud kesinambungan antara generasi lama dan baharu ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Mazlan, kelaziman menteri besar sekadar mentadbir kerajaan negeri tetapi menerajui parti selaku Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri.

Klik di sini untuk terus membaca