SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berharap agar sekurang-kurangnya 30 peratus kerusi Parlimen akan diberikan kepada calon wanita Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, keseimbangan antara calon lelaki dan wanita untuk bertanding pada PRU15 bagi parti tersebut perlu dipandang berat oleh pemimpin UMNO.
"Saya tidak berapa ingat pada PRU lepas ada berapa calon wanita. Tetapi, secara jujurnya, kami mengharapkan agar wanita atau puteri akan dicalonkan lebih daripada 30 peratus kerusi Parlimen.
"Kita perlu seimbangkan antara calon wanita dan lelaki. Jangan hanya semua lelaki. Sekurang-kurangnya berapa kerusi kena beri untuk calon wanita pada PRU15 nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Puteri Bahagian berkata, perkara tersebut dituntut memandang calon wanita bukan sahaja mampu membawa isu berkaitan perempuan, namun mereka berupaya membincangkan berkaitan hal ekonomi, pendidikan dan dasar lain.
"Sudah tentu kita mahu minta kalau boleh jumlah kerusi untuk calon wanita lebih dari kebiasaan. Dan sebolehnya diletakkan di tempat yang mampu dimenangi.
"Ini kerana, bukan semata-mata mahu meramaikan pemimpin dari wanita. Tetapi untuk sama-sama membawa isu negara. Jadi, saya harap akan dapat pertambahan yang lebih untuk pastikan kedudukan pemimpin wanita setara dengan yang lain juga,” ujarnya.
Mengulas mengenai individu yang akan membawakan isu berkenaan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, Khaidhirah atau lebih dikenali Dira masih tidak pasti berkaitan perkara tersebut.
"Tahun ini saya bukan salah seorang yang bercakap. Tetapi kita daripada Melaka memang ada membincangkan beberapa usul untuk dibawa dan dibahaskan antaranya adalah tentang calon daripada wanita sendiri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca