SHAH ALAM - Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi tidak bersetuju pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 diberikan kerajaan kepada pencarum. Menurut beliau, kelulusan itu menyimpang daripada tujuan KWSP... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi tidak bersetuju pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 diberikan kerajaan kepada pencarum.

Menurut beliau, kelulusan itu menyimpang daripada tujuan KWSP ditubuhkan iaitu untuk menjaga kebajikan pesara.

"Jika kita terus menggunakan KWSP sebegini, ia bukan saja merosakkan masa depan pekerja, ia juga melemahkan KWSP sebagai sebuah institusi.

"Pengeluaran tahun lepas sebanyak RM101 bilion telah berakhir dengan majoriti pencarum KWSP mempunyai baki kurang daripada RM10,000,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Nungsari menegaskan, pengeluaran KWSP sebelum ini juga telah menjejaskan pasaran modal negara.

Kata beliau, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Azizi juga mengatakan kos kerajaan meminjam juga telah meningkat hasil daripada penguncupan dana KWSP.

"Jadi, saya tak bersetuju dengan langkah ini yang tidak akan membantu mereka yang memang tiada pun RM10,000 dalam akaun mereka iaitu majoriti besar pencarum KWSP.

"Berdasarkan statistik seramai 6.1 juta pencarum ada kurang RM10,000 dalam simpanan. Oleh itu saya tak faham apakah rasional keputusan ini,” katanya.

Sementara itu, pakar menyarankan agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak tergesa-gesa mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM10,000 setelah dibenarkan kerajaan.

Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pencarum seharusnya melakukan perancangan terlebih dahulu mengenai penggunaan duit tersebut sebelum melakukan pengeluaran.

"Sebagai pencarum, kita sebenarnya kena tengok betul-betul kemudahan ini. Adakah perlu untuk kita guna ataupun tidak. Pertama, kita kena tengok sama ada kita benar-benar terkesan atau tidak.

"Kemudian, dengan RM10,000 ini, apa yang kita mahu buat. Ada yang kata nak buat untuk berniaga dan sebagainya. Rancang duit yang kita keluarkan ini. Memang kena sangat berhati-hati dari segi penggunaan ini.

"Buat percaturan dan bajet untuk hal ini. Keluar atau manfaatkannya apabila betul-betul terdesak sahaja. Kalau perlu, dapatkan nasihat daripada pakar terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, kebenaran tersebut juga merupakan satu jalan terbaik kepada rakyat yang sememangnya terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Tidak boleh dinafikan dalam ramai-ramai kita ini, ada antaranya yang tiada kerja, kekurangan pendapatan dan tiada sumber lain yang boleh digunakan lagi untuk tampung keperluan harian.

"Bagi golongan ini, mereka memang diizinkan keluarkan duit KWSP. Ini bagi tidak menggalakkan mereka meminjam daripada keluarga yang sedia susah atau lebih berat adalah pinjam daripada ah long.

"Tetapi kemudahan ini jangan ia tidak disalahgunakan. Kalau benar-benar perlukan, mohon dan ambil kemudahan ini. Kalau yang mampu, jangan salah guna seperti labur saham dan sebagainya,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca