ENAM negeri di bawah kerajaan Pas dan Pakatan Harapan iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

ENAM negeri di bawah kerajaan Pas dan Pakatan Harapan iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Empat negeri yang baru mengadakan pilihan raya negeri (PRN) iaitu Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor pula dijangka mengekalkan kepimpinan sedia kerana masih baru dibentuk.

Ini bermakna hanya tiga negeri di bawah Barisan Nasional (BN) iaitu Perlis, Perak dan Pahang yang diramal membubarkan DUN seiring pembubaran Parlimen di peringkat Persekutuan.

Spekulasi itu diperkuatkan lagi apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa negeri itu tidak akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Menurut Amirudin, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Menteri Besar PH dan menteri besar lain yang sepakat membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir.

"Kita (sudah) sepakat adalah lebih baik dan lebih berkesan jika pentadbiran (negeri) diselesaikan sehingga habis penggal maknanya sehingga bulan empat (April) atau lima (Mei) tahun hadapan.

"Maknanya, kalau dari pandangan saya sebab ia (bubar DUN Selangor) bukan daripada pengumuman saya (semata-mata) kerana (perlu) perkenan di bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

"Usaha untuk membubarkan DUN (Selangor) adalah atas cadangan menteri besar dan itu (bermaksud) saya tidak boleh cakap (sebagai) keputusan saya bulat-bulat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor di Dewan Foyer di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan adalah tidak wajar jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat memandangkan pelbagai perancangan kerajaan negeri masih dalam proses pelaksanaan.

Menurutnya, permintaan untuk mengadakan PRU15 hanya datang daripada UMNO dan BN.

"Mungkin ada yang tidak sabar untuk pilihan raya dan mendapat kuasa (namun) sabar itu separuh daripada iman, (saya) tujukan khas untuk Presiden UMNO, (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Sanusi

Di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengesahkan tidak akan melaksanakan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRU15."Kedah tidak akan membubarkan DUN sehingga tamat penggal sama seperti negeri Kelantan dan Terengganu.

"Saya yakin ada negeri-negeri akan membuat pengumuman yang serupa,” katanya.

Muhammad Sanusi menyifatkan pendirian negeri terbabit tidak akan membubarkan DUN sehingga tamat tempoh penggal merupakan tindakan sangat relevan.

"Sangat relevan kerana kita ada masa buat kerja dan tidak kelam kabut dengan pilihan raya. Jadi,kita tidak payah serabut,” katanya.

Ketika diminta mengulas adakah satu pembaziran sekiranya PRU diadakan awal, namun DUN tidak dibubar, beliau berpandangan PRU juga tidak perlu adakan awal.

"Tunggulah habis tahun, bolehkan. Bukan jadi masalah pun. Yang nak jadi awal tu yang jadi masalah tu, pasal apa nak kelam kabut,” katanya.

Beliau turut menafikan pendirian Kedah tidak akan membubarkan DUN sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat adalah disebabkan takut pada kekalahan.

Untuk rekod, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Selasa berkata, negeri itu hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan dan perkara itu sudah dibincangkan bersama lima negeri lain ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Sementara itu, Pas melalui Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga memutuskan untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah hingga tamat tempoh ketiga-tiganya.

DUN Negeri Sembilan
Klik di sini untuk terus membaca