[MUKADIMAH] Barisan Nasional (BN) melakar sejarah apabila menang besar dengan majoriti melebihi dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu lalu. Pencapaian tersebut mengulangi kejayaan BN dalam PRN Melaka pada November lalu.
Berikutan dua kejayaan besar itu, timbul suara dan desakan secara terang-terangan mahu pimpinan tertinggi UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin.
Malah, ramai menjangkakan perwakilan parti akan menggunakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang bermula Rabu sebagai medan meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri dan kerajaan supaya segera melaksanakan PRU15.
Ikuti temu bual eksklusif wartawan Sinar Harian, Mohd Faizul Mat Khazi bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di pejabatnya di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur pada Selasa bagi mengupas faktor Parlimen perlu dibubarkan secepat mungkin, sekali gus memberi laluan kepada PRU15.
SINAR HARIAN: Seperti kita tahu, selepas beberapa kali ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, PAU 2021 diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula Rabu sehingga Sabtu ini. Apakah isu bakal dibangkitkan Pemuda UMNO nanti?
ASYRAF: Saya menjangkakan usul-usul yang bakal dibawa dan dibahaskan oleh wakil-wakil negeri banyak menjurus kepada isu-isu kepentingan rakyat serta muhasabah dalaman parti. Ia setelah kita melalui suasana politik begitu mencabar sejak kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Mei 2018.
Sedar atau tidak, setiap kali PAU, kita melalui fasa berbeza-beza. Bermula dengan UMNO sebagai pembangkang di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, disusuli pula menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 18 bulan. Kini UMNO menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri dalam struktur kerajaan campuran.
Dinamika ini memerlukan Pemuda UMNO sentiasa bermuhasabah apakah kedudukan parti masih berada atas landasan yang betul terutama bagi memastikan suara hati dan denyut nadi rakyat benar-benar diperjuangkan. Apatah lagi dalam keadaan rakyat yang masih ramai berada dalam keadaan tertekan dan terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat pandemik.
Maka Pemuda UMNO mesti terus menjadi jurubicara rakyat yang lantang dan keras terutama menyentuh pelbagai isu dasar kerajaan bagi membantu mereka, termasuk juga isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan bantuan-bantuan kerajaan yang lain.
Adakah Datuk melihat perwakilan akan menggunakan PAU 2021 sebagai pentas mendesak Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen susulan kemenangan besar BN dalam PRN Melaka dan Johor baru-baru ini?
Pertama sekali kita harus sedar bahawa kerajaan pada hari ini bukanlah kerajaan yang mempunyai mandat sebenar rakyat. Waktu kita bersetuju untuk membentuk kerajaan campuran setelah runtuhnya PH, kepimpinan sepakat bahawa menyertai kerajaan hanyalah untuk sementara waktu bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong kerana khuatir Covid-19 yang baru bermula.
Sekali lagi apabila berlaku perubahan tampuk kepimpinan untuk kali ketiga, kita terpaksa akur untuk terus berkompromi lantaran pandemik masih memuncak. Di PAU yang lalu juga, kita sepakat bahawa apabila pandemik mulai reda dan negara mencapai imuniti berkelompok, mandat harus dikembalikan.
Kerajaan tanpa mandat mutlak rakyat tidak akan dapat mentadbir negara dengan sempurna. Malah, ekonomi dan pelaburan pastinya tidak akan dapat dipacu secara optimum lantaran kurangnya keyakinan pelabur terhadap ketidakstabilan politik sebuah kerajaan campuran tanpa mandat.
Dengan peralihan ke fasa endemik, dengan kejayaan melaksanakan demokrasi di dua PRN iaitu Melaka dan Johor dengan selamat, mungkin sudah tiba masanya mandat dikembalikan kepada rakyat semula.
Pada pandangan Datuk, mengapa Perdana Menteri tidak boleh menunggu hingga akhir penggal Parlimen ke-14 bagi memberi laluan kepada PRU15 lebih awal?
Biarpun ramai orang kata negara ketika ini dipimpin oleh Perdana Menteri daripada UMNO tetapi isunya adalah kerajaan sekarang bukannya kerajaan diterajui secara mutlak oleh BN dan UMNO. Sebaliknya ini kerajaan PN 2.0 kerana kita adalah golongan minoriti disebabkan hanya mempunyai 41 orang ahli Parlimen, manakala selebihnya adalah wakil rakyat daripada parti lain iaitu 53 orang daripada PN dan 18 orang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Malah, Ismail Sabri tidak mempunyai kuasa membuat keputusan sendiri kerana beliau terikat dengan pelbagai syarat diletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) sebelum mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Apatah lagi berhadapan pula dengan sikap ugut mengugut parti sekutu untuk tekan button dan sifat curiga-mencurigai antara parti-parti dalam kerajaan campuran. Masing-masing hakikatnya pesaing dan seteru antara satu sama lain.
Senario seperti ini sudah tentu tidak sihat dan tidak memberikan persepsi yang baik kepada komuniti pelaburan, perniagaan baik dalam dan luar negara. Situasi sekarang juga menyebabkan Perdana Menteri dan pimpinan UMNO berada dalam kerajaan semasa tidak boleh melaksanakan dasar diputuskan oleh parti.
Dulu UMNO menguasai kerajaan, sekarang kita adalah hanya golongan minoriti dan tidak lagi mendominasi kerajaan.
Jadi adakah Datuk yakin BN dan UMNO mampu mewujudkan kembali kestabilan politik dan ekonomi di Malaysia jika kembali memerintah selepas PRU15 nanti?
Kita tidak boleh berada selamanya dalam kerajaan campuran kerana setiap anggota kabinet daripada parti berbeza mempunyai prasangka buruk antara satu sama lain. Mereka sentiasa bersaing merebut kuasa bukannya bermuafakat. Mereka tidak akan membenarkan apa-apa keputusan atau cadangan yang akan menaikkan populariti parti lain dan perlu bersaing antara mereka.
Begitu juga sekarang, jika BN mencadangkan pengeluaran wang KWSP sebanyak RM10,000, sudah pasti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak setuju kerana merugikan mereka.
Jika semua anggota kabinet dan ahli Parlimen menyokong kerajaan PN, sudah pasti BN dan UMNO akan mendapat nama baik serta mileage politik kerana kami memperjuangkan dari awal lagi.
Bagaimanapun dalam PRN Johor baru-baru ini, kita dapat melihat mereka melakukan u-turn dan menyokong usaha UMNO mendesak pengeluaran wang KWSP kerana itu adalah kemahuan rakyat.
Justeru, UMNO tidak meletakkan sebagai sebahagian manifesto kerana ia adalah masalah rakyat dan melampaui sempadan politik. Hasrat berkenaan perlu dijelaskan secara terperinci dalam PAU 2021.
Apakah Datuk melihat impak ketidakstabilan politik sejak empat tahun lalu mempengaruhi kemasukan pelaburan asing ke Malaysia pada masa depan?
Jika negara kita mahu bergerak ke hadapan dengan lebih maju, kita memerlukan pelabur asing melabur di Malaysia. Kita kena ingat, pelabur asing kini mula menyisih dan menjauhkan diri mereka dari Malaysia kerana tiada kestabilan politik akibat perebutan kuasa selepas PH mengambil alih kerajaan.
Kenapa? Kerana dasar dilaksanakan PH tidak menguntungkan negara dan pelabur asing, antaranya berasaskan politik dendam. Apa sahaja dasar dilaksanakan BN sebelum ini dikatakan tidak betul dan perlu dihapuskan biarpun ia sebenarnya menguntungkan negara. Disebabkan politik dendam, banyak projek berimpak tinggi dan memberikan keuntungan negara dan manfaat kepada rakyat dihentikan serta dibatalkan serta-merta.
Antara projek berkenaan ialah perjanjian usaha sama Projek Rel Pantai.
Timur (ECRL) dengan China dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan begitu sahaja.
Pada pandangan Datuk, adakah pembatalan dan penangguhan projek berimpak tinggi di zaman PH dulu memberi kesan kepada rakyat dan beban kewangan kerajaan sekarang?
Pembatalan itu menyebabkan Malaysia bukan sahaja terpaksa membayar pampasan kepada Singapura sebanyak RM320 juta tetapi lebih parah ialah persepsi negatif dalam kalangan komuniti pelaburan asing dan dalam negara. Mereka melihat Malaysia bukan lagi destinasi pilihan pelaburan asing.
Ini adalah pertama kali dunia menyaksikan perubahan kepimpinan kerajaan dan politik dalam Malaysia walaupun pada peringkat awalnya berjalan lancar, selamat dan tenang. Orang BN dan UMNO menerima kekalahan mereka pada PRU14 dengan hati terbuka kerana menghormati mandat diberikan rakyat. Walaupun kalah, namun pemimpin dan penyokong BN dan UMNO mahu memastikan proses peralihan kuasa dapat berjalan lancar tanpa sebarang demonstrasi atau tunjuk perasaan.
Bagaimanapun, apabila kerajaan bertukar tangan kepada PH, gabungan itu mengabaikan usaha menarik pelaburan asing ke Malaysia. Mereka mengamalkan politik dendam dan membatalkan banyak projek mega baik untuk rakyat demi menghapuskan legasi ditinggalkan BN.
Sebagai contoh lain, mereka mengehadkan tempoh operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara. Dulu rakyat yang sibuk dengan tugasan harian pada siang hari boleh berurusan di kaunter perkhidmatan kerajaan di UTC yang beroperasi hampir 24 jam sehari.
Tapi sekarang banyak UTC sudah ditamatkan atau dihadkan tempoh operasinya hingga waktu petang sahaja oleh kerajaan PH. Jadi, apa bezanya perkhidmatan di UTC dengan kaunter pejabat kerajaan yang beroperasi dalam waktu pejabat biasa. Baik tutup sahaja jika tiada sambutan pengguna.
Tiada lagi kelibat Klinik 1Malaysia kerana sudah ditutup. Begitu juga pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun tidak setinggi di zaman BN memerintah dulu.
Mereka juga tidak menyenaraikan golongan bujang untuk menerima BR1M. Tapi apabila kita bising, mereka masukkan syarat penerima mestilah individu bujang berusia 41 tahun ke atas, sampai kita kata itu adalah golongan bujang terlajak.
Apabila pelabur tidak datang, ekonomi mengucup dan sasaran PH menyediakan peluang pekerja lebih sejuta gagal, tinggal cakap-cakap kosong sahaja. Apabila kita membatalkan perjanjian projek pembinaan ECRL, mereka membuat keputusan drastik membeli minyak sawit daripada Indonesia sehingga menyebabkan harga komoditi berkenaan di Malaysia jatuh menjunam ke paras terendah iaitu RM250 per tan matrik, sekali gus menjejaskan peneroka Felda dan penduduk di luar bandar.
Kita boleh tengok macam mana sengsaranya golongan peneroka dan penduduk di luar bandar yang bergantung kepada ladang kelapa sawit untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sebab itulah penduduk luar bandar dan peneroka menolak janji dan manifesto PH pada PRN Johor lalu.
Apa lagi fokus perbahasan di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO nanti?
Pemuda akan membangkitkan beberapa usul agenda transformasi dan pembaharuan politik yang menjadi penentu aras kepada kestabilan mandat rakyat serta amalan demokrasi di negara ini.
Sejak kejatuhan BN pada Mei 2018, negara menyaksikan suasana politik yang amat tidak stabil sehingga menggugat agenda pemulihan ekonomi serta menghakis keyakinan pelabur dalam dan luar negara.
Tiga Perdana Menteri dan tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun adalah natijah apabila mandat rakyat dikhianati, diperkotak-katikkan dan diremehkan.
Budaya politik bobrok dan celaru dengan memperjudikan amalan demokrasi hakikatnya menyebabkan negara tidak stabil dan rakyat menjadi mangsa. Sebab itulah penjernihan budaya politik dan amalan demokrasi negara mesti segera dilakukan termasuk pemisahan kuasa pendakwaan daripada Peguam Negara, Akta Lompat Parti dan Akta Pendanaan Parti Politik yang mesti diberikan perhatian.
Selagi tiada mekanisme menghalang pengkhianatan kepada mandat rakyat seperti lompat parti, selagi budaya ugutan dan tekanan melalui pencabulan institusi peguam negara dengan pendakwaan politik terpilih, selagi rasuah dan korupsi politik terus dibudayakan, mana mungkin kestabilan mampu diperoleh.
Malah negara bakal hancur, punah ranah dan rakyat sengsara.
PAS YANG MENGKHIANATI MN
Seperti kita tahu hubungan UMNO dan Pas kini semakin renggang. Adakah Datuk melihat masih ada sinar untuk menyelamatkan gagasan Muafakat Nasional (MN)?
Apa yang boleh saya katakan, keretakan hubungan UMNO dan Pas dalam MN sekarang adalah sesuatu menyedihkan. Malah, kita di peringkat UMNO cuba sedaya upaya mahu menyelamatkan MN. Sebab itulah tiada satu pun kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘menyerang’ Pas semasa kempen PRN Melaka dan Johor lalu.
Bagaimanapun ketika kempen PRN Johor, hampir setiap malam ada pemimpin tertinggi Pas menghentam BN dan UMNO di pentas ceramah berkelompok mereka. Sebenarnya bukan UMNO yang mengkhianati MN tetapi Pas yang dipimpin Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mula menjalinkan perbincangan rahsia dengan Bersatu untuk menubuhkan gagasan PN. Yang mengkhianati MN di peringkat awal bukan UMNO tetapi Pas. Merekalah yang mula mencari teman baharu.
Adakah Datuk mempunyai bukti kukuh mengenai tindakan pengkhianatan dilakukan pimpinan Pas terhadap UMNO dalam konteks kerjasama dalam MN?
Kalau anda tidak percaya boleh tanya Ahli Parlimen Kuala Nerus (Datuk Dr Khairuddin Aman Razali) kerana beliau adalah sebahagian daripada jawatankuasa induk penubuhan MN. Malah, Khairuddin pernah beberapa kali menyatakan bahawa beliau malu dengan tindakan segelintir pemimpin tertinggi Pas yang membelakangi UMNO dalam isu penyertaan mereka ke dalam PN.
Klik di sini untuk terus membaca