SHAH ALAM - Keputusan terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju membenarkan pengeluaran khas RM10,000 kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu disifatkan agak terlambat bagi meredakan tekanan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju membenarkan pengeluaran khas RM10,000 kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu disifatkan agak terlambat bagi meredakan tekanan politik dalaman dihadapi beliau ketika ini.

Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali sebaliknya menjangkakan suara tuntutan akar umbi UMNO menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera, akan semakin kuat kedengaran sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

Jelas beliau, hal ini kerana akar umbi UMNO berpandangan isu kelulusan pengeluaran KWSP bukan lagi perkara pokok yang perlu dipenuhi Ismail Sabri selaku Naib Presiden parti itu, sebaliknya beliau harus akur terhadap kehendak menyegerakan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

"Keputusan 'pusingan U' kerajaan pimpinan Ismail Sabri itu mungkin ada kaitan dengan kemenangan besar UMNO-BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di mana beliau menyedari cengkaman pengaruh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap parti semakin kuat berbanding sebelum PRN negeri itu.

"Ada kemungkinan keputusan itu memberi impak positif pada imej Ismail Sabri di mata perwakilan UMNO kerana beliau sudah menunjukkan sikap berkompromi terhadap tuntutan parti.

"Namun, saya fikir keputusan itu sudah agak terlambat berbanding sekiranya dilaksanakan dua bulan dahulu.

"Ini kerana saya percaya suara-suara akar umbi UMNO untuk menuntut PRU15 diadakan segera menjadi lebih kuat kerana perwakilan negeri pada PAU 2021 melihat Ismail Sabri akhirnya terpaksa akur dengan tuntutan-tuntutan parti berbanding berterusan bersikap lunak terhadap pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN)," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ismail Sabri menegaskan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 setelah mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika tiba ke Command Centre Barisan Nasional (BN) di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. - Foto Bernama

DILEMA

Mendedahkan keputusan itu sangat 'sukar', Ismail Sabri turut menjelaskan kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Pada 15 Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebih ramai ahli KWSP akan bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan.

Malah katanya, hampir separuh daripada ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dengan 55 peratus daripadanya terdiri daripada Bumiputera.

Bagaimanapun, pandangan itu menerima tentangan sebilangan besar pemimpin UMNO termasuk Ahmad Zahid yang berpendapat KWSP masih memiliki keupayaan untuk membantu pencarum membuat pengeluaran terakhir bagi meringankan beban kewangan dihadapi mereka.

Ditanya sama ada Ismail Sabri akan akur dengan tuntutan pelaksanaan PRU15 sebagaimana desakan pengeluaran khas KWSP, Mazlan berkeyakinan Ahli Parlimen berdepan dilema agak besar dalam pentadbirannya.

"Sekiranya beliau akur kehendak parti untuk bubar Parlimen segera, penentuan masa hadapan beliau sebagai Perdana Menteri pastinya terletak di tangan oleh Ahmad Zahid sama ada terus kekal menjadi 'poster boy' parti pada PRU15 atau tidak.

"Namun sekiranya beliau bertegas enggan bubar, Ismail Sabri akan digambarkan ahli parti sebagai tidak setia kepada UMNO dan mungkin berdepan risiko kekalahan teruk pada pemilihan UMNO hujung tahun ini," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca