CHINA kini berada di bawah tekanan diplomatik yang kuat dari Amrika Syarikat (AS) dan sekutunya Eropahnya supaya ia tidak memberikan sokongan ke atas Rusia dalam perang Ukraine.
Bagaimanapun, selepas lebih dua minggu Moscow menceroboh Kiev, Beijing telah menunjukkan beberapa tanda untuk tidak menyokong Rusia.
Washington sebelum ini bertindak memulaukan Rusia dengan melaksanakan sekatan ekonomi sejak Presidennya, Vladimir Putin mengarahkan negaranya menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu.
Ekoran dipulaukan di peringkat antarabangsa dan nilai mata wangnya yang susut, Rusia kemudian memahami makna persahabatan dengan sekutunya di Asia iaitu China.
Seorang pegawai kanan AS pada Isnin menyuarakan kebimbangan mendalam tentang hubungan China dengan Rusia berikutan perang yang berlaku di Ukraine itu.
Justeru, perbincangan diadakan di Rom, Itali antara Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Jake Sullivan dengan Yang Jiechi iaitu ketua diplomat Parti Komunis China.
Perbincangan itu diadakan untuk mengetahui sejauh manakah komitmen China terhadap Rusia ketika ia berjuang untuk mengalahkan Ukraine.
Washington juga memberi amaran bahawa Beijing akan menghadapi akibat yang serius jika ia menyokong Moscow dalam perang itu.
TIDAK KUTUK RUSIA
Sejak perang itu meletus, China menolak untuk mengutuk tindakan Putin itu.
Tambahan pula, baru-baru ini Beijing menyatakan bahawa hubungan antara kedua-dua negara bertambah rapat sejak Putin bertemu dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping pada awal tahun ini di Beijing.
Beberapa penganalisis menyatakan bahawa cabaran yang dihadapi oleh Jinping adalah untuknya memilih jalan keluar ketika Ukraine dilanda kekacauan yang menyebabkan Rusia dilanda sekatan antarabangsa ekoran tindakan Putin itu.
Beijing berusaha untuk diletakkan sebagai 'pemain' yang berkecuali dalam perang Ukraine dengan menyeru rundingan damai diadakan antara Kiev dan Moscow selain mengutuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine.
Namun, media AS yang memetik taklimat perisikan melaporkan bahawa Beijing mungkin bersedia untuk membantu ekonomi Rusia untuk kembali bergerak semula.
Bimbang dengan potensi kemunculan order dunia baru autoritarian, pegawai-pegawai Kesatuan Eropah (EU) termasuk Ketua Dasar luarnya, Josep Borrell telah melobi China sejak beberapa minggu kebelakangan ini untuk menggunakan pengaruh yang besar ke atas Rusia bagi menamatkan perang di Ukraine.
Namun, desakan itu kelihatan tidak berfungsi.
MESEJ PROPAGANDA
"Mengapakah China mempertimbangkan untuk tidak menyokong Rusia atau lebih buruk lagi melemahkan pakatannya dengan Rusia?" kata Alexander Korolev iaitu Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa di University of New South Wales di Sydney, Australia.
"Saya rasa China tidak mungkin mengubah kedudukannya dan ini akan menunjukkan jurang geopolitik global yang lebih mendalam," ujarnya.
Seorang diplomat China memberikan petunjuk mengenai langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh China berhubung isu perang di Ukraine yang melibatkan Rusia itu.
Pada Selasa lalu, media China menyiarkan komen daripada Wang Yi iaitu Menteri Luar negara itu.
Beliau menyatakan: "China bukan pihak yang terlibat dalam krisis (perang di Ukraine)."
Yi juga dilaporkan berkata bahawa negaranya tidak mahu terjejas disebabkan oleh pelaksanaan sekatan ekonomi Barat ke atas Rusia.
Beliau menyatakan demikian ketika bercakap menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Sepanyol, Jose Manuel Albares.
Dalam pada itu, media China telah menyiarkan mesej propaganda Rusia.
Antaranya ialah dakwaan bahawa tentera Ukraine menggunakan orang awam sebagai perisai manusia dan teori konspirasi bahawa AS sedang mengembangkan senjata biologi di Ukraine.
Sungguhpun begitu, di sebalik keakraban Putin dengan Jinping, kedua-dua negara mempunyai sejarah ketidakpercayaan yang panjang dan ia masih belum lagi dapat dihapuskan.
"Pendirian China adalah tidak begitu pro-Rusia," jelas Alexander Gabuev iaitu seorang pakar China-Rusia di Carnegie Center Moscow.
Berikutan perang di Ukraine yang berlaku selepas Putin mengunjungi Jinping di Beijing, ia mungkin akan mencabar persahabatan yang digambarkan sebagai tanpa had antara kedua-dua negara tersebut.
"Semakin berlarutan dan kejam konflik (di Ukarine), semakin sukarlah kedudukan China," kata Ni Lexiong iaitu seorang profesor di Shanghai Institute of National Defense Strategy. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca