UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu segera mendapatkan mandat rakyat untuk membentuk kerajaan lebih stabil, sekali gus menghentikan hipokrasi politik ketika ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul menyegerakan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong amat relevan pada saat rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang berdiri sendiri dengan ‘sederap sekata’.
Jelas beliau, ini kerana hayat kerajaan yang bergantung memorandum persefahaman (MoU) gencatan politik dengan pembangkang selain kerjasama rencam dengan musuh-musuh UMNO bukanlah realiti politik yang sepatutnya dipegang oleh parti itu.
"Selama UMNO dan BN memerintah bersama parti-parti komponen termasuk MCA dan MIC, kita semua sama-sama berdiri sendiri dengan sederap sekata.
"Kita perlu mendapatkan mandat baharu rakyat yang akhirnya menjamin pembentukan kerajaan baharu ini tidak perlu menyusahkan pemerintah sendiri. Kita perlu berhenti berpura-pura politik. Di Johor kita bergaduh, di Melaka kita bergaduh, di Putrajaya kita duduk (bersama), apa benda ini?
"Bagi saya, ini adalah satu hipokrasi dalam politik negara. Kami cukup tidak selesa dengan situasi kerajaan sebegini. Di belakang saya orang yang saya tuduh macam-macam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), di depan saya individu itu pula serang saya macam-macam dalam PRN. Jadi apakah sebenarnya bentuk pemerintahan sebegini rupa?” katanya kepada Sinar Premium dalam satu wawancara eksklusif di Menara Dato Onn pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kemungkinan usul menuntut kerajaan menyegerakan pembubaran Parlimen dan mengadakan PRU15 secepat mungkin bakal dimuktamadkan dalam persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang diadakan pada 16 hingga 19 Mac ini.
Justeru, Ahmad turut menyeru semua pihak agar kembali kepada realiti politik sebenar dengan memahami keperluan rakyat menuntut sebuah kerajaan yang berada dalam satu pasukan mantap.
Jelas beliau, faktor itu juga dirasakan antara punca mengapa pucuk kepimpinan utama UMNO dan majoriti perwakilan PAU 2021 dilihat senada untuk menuntut menyegerakan pelaksanaan PRU15.
Beliau turut berkeyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sebenarnya cukup faham dengan kehendak akar umbi dan bersedia berkompromi membuat keputusan penting demi rakyat dan parti.
"Walaupun jawatan Perdana Menteri dalam parti adalah Naib Presiden, beliau memahami sokongan UMNO kepada beliau itu sangat penting, sebagaimana sokongan rakyat.
"Sebab itu amat penting untuk beliau mendapatkan nasihat tepat bagi melaksanakan keputusan besar.
"Keputusan kelulusan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu satu keputusan tepat dan kita menunggu satu lagi keputusan tepat yang seterusnya daripada beliau,” ujarnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca