KESEDIAAN bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli untuk kembali menyertai arena politik negara secara aktif merupakan satu petanda positif buat Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, PKR adalah sebuah parti yang demokratik dan semua anggota yang layak berhak untuk menyertainya.
"Sebelum ini, Rafizi antara sosok yang aktif dalam membawa isu rakyat, justeru bukan sahaja parti, tetapi rakyat turut mengharapkan beliau dapat melipatgandakan usaha bukan setakat mengangkat suara dan memperjuangkan nasib rakyat, bahkan juga melawan ketidakadilan.
"Saya percaya ini yang rakyat harapkan. Jadi keberadaan beliau dan kesediaan untuk aktif dalam dunia politik menyumbang ke arah itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan Rafizi mengambil keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik selepas lebih dua tahun berehat dengan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu akan datang.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, parti memerlukan lebih ramai aktivis dan penyokong yang bersedia untuk bergerak ke hadapan.
"Bukan setakat satu tokoh tetapi kita perlu gerakkan seluruh kekuatan rakyat kerana ketika ini, rakyat sudah semakin lesu dengan permainan politik.
"Maka, menggilap semula idealisme tersebut menjadi tugas utama pimpinan PKR dan memperjuangkan nasib rakyat itu perlu menjadi keutamaan,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua turut berharap agar Rafizi dapat menunjukkan kerjasama baik dengan semua ahli sebagai satu pasukan dan bukan untuk tampil sebagai hero semata-mata.
"Sekiranya sesiapa memikirkan dengan kemunculan individu boleh selamatkan dan kembalikan kecemerlangan parti, itu adalah ilusi.
"Sebaliknya apa yang kita harus lakukan ialah menyatupadukan parti, mengukuhkan lagi hubungan dengan parti pembangkang lain sekiranya perlu, dengan memperluas gabungan untuk menjadikannya lebih inklusif.
"Ini adalah formula terbaik untuk kembalikan kekuatan PKR, bukan dengan mengharapkan kemunculan seseorang boleh menukar kembali sokongan kepada kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pemuda PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor mengakui, keputusan Rafizi untuk kembali aktif adalah berita baik bagi perjuangan reformasi dan islah dalam negara.
Jelasnya, ini berasaskan kepada impak besar yang pernah diberikan oleh beliau kepada perjuangan sebelum ini.
Menyifatkan Rafizi sebagai reformis sejati, Mohamad Ezam turut yakin Rafizi mampu menjadi kekuatan kepada PKR.
"Saya yakin Rafizi akan kembali bersama reformasi. Dia memang true reformist dan dia telah pun mempamerkan ciri-ciri itu,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca