SEMUA sedia maklum keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menutup tirai persaingan pada Sabtu lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali mendominasi undi pengundi Johor.
Kemenangan meraih 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan sekali gus menundukkan cita-cita barisan jentera pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk merampas negeri kelahiran parti UMNO itu.
Penampilan wajah baharu yang memeriahkan PRN Johor kali ini antaranya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga tidak memberi impak terlalu menyerlah.
Ditambah dengan peratusan keluar mengundi yang rendah sekitar 55 peratus, terendah dalam empat PRN sebelum ini, PRN Johor dilihat kurang menyengat.
Namun paling hangat diperkatakan pastinya prestasi hambar dipamer parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR yang hanya mampu meraih satu kerusi DUN.
Itupun dengan majoriti undi cukup-cukup makan di DUN Bukit Batu.
Tidak ketinggalan kegagalan ‘menyedihkan’ parti Pejuang yang dipimpin mantan Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meraih sebarang kerusi di 42 kawasan ditandingi sekali gus kehilangan wang deposit secara berjemaah.
Walaupun sudah menjadi resam pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah namun kegagalan dua parti tersebut menyerlah dan mengundang persoalan kerana kedua-duanya diterajui dua pemimpin otai politik.
Adakah ini bermakna Anwar dan Mahathir sudah kehilangan taring dan nama mereka tidak lagi memiliki aura yang boleh memancing undi dan hati pengundi?
Adakah aspirasi yang dibawakan kedua-dua sosok politik ini sudah basi atau mungkin sudah tiba masa ruang dan peluang dibuka kepada muka-muka baharu yang mampu tampil dengan idea lebih ‘segar’?
Sedangkan bukan sahaja satu Malaysia, bahkan satu dunia tahu yang sejak lebih 20 tahun lalu, politik Malaysia banyak dipengaruhi dan berkisar mengenai perseteruan Mahathir-Anwar.
PRESTASI HAMBAR
Pensyarah Kanan Ilmu Politik dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Zaini Othman berkata, jika dilihat dari sudut perolehan kerusi, istilah prestasi hambar itu memang tepat untuk ditujukan kepada PKR dan Pejuang.
"Dalam sistem dan proses pilihan raya yang diamalkan di Malaysia iaitu first past the post yang amat mementingkan perolehan jumlah kerusi dimenangi parti maka dalam nuansa tersebut PKR dan Pejuang jelas menunjukkan prestasi sangat hambar khususnya PKR,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Namun menurut Zaini jika dilihat dari konteks perolehan undi popular kedua-dua parti (yang bertanding sendirian, tidak di bawah payung PH yang besar) maka label prestasi hambar perlu dilihat semula sama ada tepat atau tidak.
Namun kesan salah percaturan dalam sistem pilihan raya majoriti mudah jelas menyumbang kepada ‘prestasi hambar’ PKR dan Pejuang.
"Justeru, percaturan, taktikal dan pemahaman yang jelas tentang rencah-ratus proses pilihan raya di Malaysia, sama ada sengaja gagal difahami oleh kedua tokoh besar PKR dan Pejuang atau sememangnya direncana sedemikian rupa, saya lihat menyumbang kepada ‘prestasi hambar’ kedua-dua parti tersebut,” katanya lagi.
Ditanya adakah penolakan rakyat Johor itu bererti mereka menolak aspirasi yang dibawa pemimpin PKR dan Pejuang, Zaini berpandangan adalah terlalu awal dan ‘keterlaluan’ untuk mengatakan demikian.
Mengulas pula pendapat yang mengatakan parti PKR dan Pejuang umpama sudah kehilangan ‘taring’ walaupun mempunyai pemimpin berpengalaman, Zaini berpendapat, ‘taring’ masih tajam namun dalam konteks sistem pilihan raya negara kefahaman terhadap the politics of election adalah sangat penting kepada setiap parti yang bertanding.
"Dalam konteks PRN Johor, BN adalah parti yang sangat memahami aspek-aspek the politics of election dalam kerangka first past the post tersebut,” jelasnya.
Justeru untuk PKR dan Pejuang kekal relevan, kedua-dua parti tersebut perlu bijak bak kata tokoh politik Indonesia iaitu Bung Karno ‘menangkap saat-saat sejarah’.
"Dalam PRN Johor, BN bijak ‘menangkap saat sejarah tersebut’, manakala jajaran pembangkang gagal ‘menangkapnya’. Dalam erti kata lain untuk kekal relevan setiap parti harus bijaksana memahami proses politik pilihan raya Malaysia, itu sangat penting,” katanya.
POPULARITI SAHAJA TIDAK CUKUP
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berpandangan, faktor kepimpinan berdasarkan nama sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kejayaan dalam pilihan raya.
"Jika berhasrat memenangi persaingan dalam mana-mana pilihan raya sesebuah parti itu harus memiliki akar umbi yang kukuh dan kuat.
"Sebagai contoh Pejuang hanya dikenali sebagai parti Tun Mahathir namun hakikatnya ia sebuah parti baharu yang tidak mempunyai kerjasama dengan mana-mana parti yang lebih senior.
"Jadi bagaimana ia boleh menang dengan hanya bersandarkan nama Tun Mahathir semata-mata?” katanya.
Begitu juga dengan PKR, nama presiden parti yang sering diuarkan-uarkan sebagai calon Perdana Menteri sejak sekian lama tidak seharusnya dijadikan tambatan untuk memenangi pilihan raya.
"Berbeza dengan senario pada Pilihan Raya Umum ke-14, isu dimainkan PH bersifat nasional dan boleh diterima rakyat tetapi kini dinamik sudah berubah, mungkin beliau perlu cari way forward menerusi isu yang lebih dekat di hati rakyat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca