[MUKADIMAH] Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu lalu membuktikan kemampuan UMNO/Barisan Nasional (BN) berdiri di atas kaki sendiri atas kemenangan yang dikecapi.
Kejayaan menawan negeri di selatan tanah air itu dilihat menjadi momentum awal kebangkitan parti terbesar Melayu berkenaan untuk terus kekal relevan di mata rakyat.
Di samping itu, sesetengah pihak melihat ia permulaan yang baik untuk parti itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin dan jurufoto, Asril Aswandi Shukor bersama Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi merungkai persediaan parti itu menuju PRU15.
SINAR HARIAN: Apa pengajaran penting yang dapat kita ambil daripada kemenangan BN dalam PRN Johor?
MAHDZIR: Kemenangan BN pada PRN Johor didorong oleh faktor solidariti jentera parti. Tumpuan jentera ketika itu adalah untuk menangkan calon. Bila calon diumum, kita tidak ambil masa yang lama untuk selesaikan konflik dalaman. Sebagai contoh bila kita ada tiga nama untuk calon, bila A diumum jadi calon, B dengan C mesti merajuk tapi A tidak boleh gerak juga kalau B dengan C ada masalah jadi, dalam konteks PRN Johor ini tidak berlaku isu boikot calon dan sebagainya. Selalunya nak selesaikan isu pemilihan calon ini ambil masa tetapi untuk PRN Johor, semua dapat diselesaikan dalam masa singkat dan ini antara inti pati kepada kejayaan gerak kerja jentera BN di Johor.
Bagaimana Datuk Seri melihat peluang BN pada masa depan berdasarkan keputusan tersebut?Selain pengundi tegar, ada pengundi datang dalam tempoh pilihan raya kerana faktor isu selain BN itu dilihat boleh membawa kepada kestabilan. Itu akan menjadi penanda aras kepada masa depan BN bukan sahaja faktor negeri Johor. Suatu masa nanti ada pilihan raya, ia menjadi nasional di seluruh negara jadi semua faktor akan diambil kira pada masa itu.
Berdasarkan laporan, biarpun BN menang 40 kerusi pada PRN Johor tetapi undi popular tidak memihak dengan 43.11 peratus atau 599,753 undi.
Apa pandangan Datuk Seri apabila ada yang mengatakan keputusan itu tidak boleh dibanggakan?
Dalam konteks negara kita, cara kita menjalankan demokrasi berlainan dengan sesetengah negara. Ada negara yang mengamalkan pilihan raya presiden, makna satu undi untuk satu presiden tapi negara kita tidak amalkan sistem ini. Malaysia amalkan 'First-Past-The-Post-System' yang mana kita berada dalam daerah atau kawasan itu untuk menentukan pilihan raya dan individu-individu itu yang bertanding atas parti masing-masing bukan macam di Amerika Syarikat atau Indonesia. Katakanlah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) A ada 30,000 pengundi, tapi yang datang mengundi 10 orang sahaja, calon ada tiga orang.
Keputusannya calon A dapat tujuh undi, calon B (dua undi); calon C (satu undi) dari 30,000 orang yang datang mengundi hanya 10 orang, undian masih dikira. Jadi tidak timbul isu keputusan itu boleh dibanggakan atau tidak.
Berdasarkan keputusan PRN Johor juga menyebabkan desakan untuk mengadakan PRU15 semakin kuat kedengaran. Apa komen Datuk Seri?
Tiket untuk adakan pilihan raya umum (PRU) tidak boleh berasaskan kepada kemenangan di tempat atau negeri. Kita kena mempunyai cukup maklumat untuk mengadakan pilihan raya. Persediaan untuk memproses data dalam 20 juta pengundi ini perlu dilaksanakan. Apakah UMNO mempunyai jentera yang cukup atau kita mempunyai persediaan yang lain dan kalau semua sudah bersedia, kita ada dua institusi yang berlainan dalam UMNO iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden) kena duduk berbincang waktu yang sesuai untuk diadakan PRU. Sampai masa baru boleh diumumkan.
Untuk menentukan PRU, perkara yang penting ialah waktu yang sesuai dan elemen feel good factor. Jadi apa beza jika dilakukan dalam tempoh terdekat dengan menanti sehingga habis penggal?
Apa yang penting adalah persediaan. Sebagai contoh jika semua jentera bersedia, semua kursus selesai, semua faham apa perlu dibuat, pada masa itu Perdana Menteri sudah boleh fikirkan waktu yang sesuai.
Adakah peluang BN lebih baik jika habis tempoh penggal pada tahun 2023?
Peluang ini ada pada bila-bila masa. Kalau sekarang diadakan PRU, jika kita tidak bersedia peluang kemenangan itu boleh hilang. Peluang menang ini tidak besar, tapi perlu juga diambil kira. Tapi mereka yang merangka strategi dan taktikal parti boleh bagi nasihat kepada Perdana Menteri dan Presiden masa yang sesuai dan asasnya boleh diadakan PRU. Perdana Menteri boleh nilai kerana dia mengetuai kerajaan dan kerajaan itu mempunyai hubungan dengan parti yang ada sekarang. PRU kali ini juga buat pertama kalinya Perdana Menteri dan Presiden parti adalah orang yang berlainan.
Pada pandangan Datuk Seri apakah gambaran yang boleh diberikan pada Perhimpunan Agung UMNO terutama dari segi usul yang dibawa oleh perwakilan?
Pastinya empat usul utama yang akan dibawa ialah politik, ekonomi, pendidikan dan agama. Pembahas-pembahas hendak lihat bagaimana dua pasukan yang urus parti, satu jadi Perdana Menteri, satu jadi presiden parti agar kedua-duanya mempunyai signifikan yang baik untuk melonjakkan UMNO/BN pada PRU akan datang. Selain itu, bagaimana usul boleh dikemukakan untuk tolong kerajaan contoh hal berkaitan Covid-19 dan juga aktiviti pemulihan ekonomi yang boleh berjalan seiring kerana negara sudah memasuki fasa peralihan endemik. Paling penting orang mempunyai pekerjaan, boleh sara keluarga, berniaga termasuk soal pendidikan anak-anak kita.
Apa nasihat penting yang ingin Datuk Seri sampaikan kepada para perwakilan?
Saya menasihatkan setiap perwakilan UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO membuang sifat takbur dan sombong. ALLAH SWT telah memberikan dua kemenangan dalam dua PRN iaitu Melaka dan Johor serta sebelum itu Pilihan Raya Kecil (PRK), kita datang sebagai ahli perwakilan yang menginsafi bahawa perjuangan kita masih panjang. Perjuangan UMNO untuk mendominasi politik negara masih memerlukan pengorbanan dan banyak lagi usaha perlu dilakukan. Pada Mei 2022 akan datang genap empat tahun UMNO kalah tetapi ALLAH tentukan kita masih boleh menang PRN dalam tempoh itu, kita cari jalan untuk membawa kebaikan kepada semua
Bagaimana Datuk Seri melihat perhubungan antara UMNO dan Pas ketika ini ?UMNO dan Pas sekarang tidak lebih dari sekadar bersahabat. Tidak macam dulu ada perjanjian dan sebagainya.
Apakah perkara penting yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan Muafakat Nasional (MN)?
Jangan terlalu ekstrem. Biarlah kita cakap benda yang baik-baik. Macam kita bergaduh kalau hari-hari cakap benda keterlaluan lama-lama orang tidak mahu berkawan. Jangan mengata antara satu sama lain. Orang berumur buat cara orang berumur.
Parti bertanding seperti UMNO bersaing pada pilihan raya tetapi di kabinet boleh memerintah secara baik, apa formulanya?
Ini adalah sesuatu yang amat luar biasa. Parti pemerintah duduk sama-sama dalam kabinet, tapi bila keluar pakai ‘baju’ masing-masing, bersyarah atas pentas parti. Tetapi esok dalam kabinet masih boleh mesyuarat sama-sama. PRN tidak menjejaskan hubungan antara rakan-rakan dalam parti yang menjadi kerajaan kerana masing-masing profesional.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke ada cadangkan untuk memperbaharui perjanjian persefahaman MoU antara pembangkang dan kerajaan, apa komen Datuk Seri?Perjanjian ini ditandatangani pembangkang bersama Perdana Menteri, saya tidak boleh ulas. Perdana Menteri mungkin ada sebab dan pertimbangan untuk sambung atau tidak perjanjian itu atas kestabilan dan apa yang terbaik untuk negara.
Klik di sini untuk terus membaca