SHAH ALAM - Mangsa banjir merupakan golongan yang paling lega apabila dapat melangsaikan hutang tertunggak menggunakan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000.
Menurut tinjauan Sinar Harian, rata-rata mangsa banjir yang terjejas teruk akan menggunakan wang tersebut bagi membayar jumlah keseluruhan kenderaan yang dibaiki, membaik pulih rumah dan juga dijadikan modal perniagaan.
Menurut mangsa, ini disebabkan masih terdapat bantuan yang dijanjikan kerajaan masih belum diterima sehingga mengambil keputusan untuk mengeluarkan KWSP.
Pekerja swasta, Musjaiman Ahmad Mustar, 37, berkata, pengeluaran RM10,000 tersebut hanya tertumpu kepada membaiki dua buah kereta dan satu motosikalnya yang rosak akibat ditenggelami air.
Jelasnya yang merupakan mangsa banjir di Taman Sri Muda di sini, hampir RM15,000 jumlah keseluruhan dan baki akan menggunakan wang simpanannya sendiri.
"Saya akan keluarkan KWSP ini. Memang saya tunggu pengumuman ini sebab saya mahu membayar kereta yang sekarang masih berada di bengkel sejak Disember lalu.
"Kereta lambat siap kerana saya beli barang alat ganti kenderaan tersebut sendiri. Ini lagi menjimatkan. Jadi, tidak terlalu banyak duit dikeluarkan. Saya hanya bayar bengkel sebab bantu berkaitan pemasangan.
"Ini belum lagi masuk dengan membaiki rumah. Jadi, saya terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk membaiki banyak benda,” katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Sidang Media Khas mengumumkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.
Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
Musjaiman menghargai pengumuman yang dibuat tersebut memandangkan masih terdapat ramai golongan yang terjejas terutamanya mangsa banjir.
Selain itu, pekerja swasta, Khairol Amin Mohamad Akhir, 46, turut mengeluarkan KWSP bagi melangsaikan hutang kepada ahli keluarganya.
Menurutnya, abang dan kakaknya telah menggunakan wang mereka terlebih dahulu setelah kenderaannya keluar dari bengkel akibat kerosakan.
"KWSP ini saya keluar sebab mahu bayar hutang abang dan kakak. Mereka beri pinjam duit terlebih dahulu sebab ketika itu saya tiada duit. Duit baki (KWSP) saya boleh gunakan untuk baiki rumah,” tambahnya.
Pada Rabu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 8,395 mangsa banjir di Selangor masih belum menerima bantuan dari kerajaan negeri dan Bantuan Wang Ihsan(BWI) dari kerajaan Pusat setakat Isnin.
Selain itu, peniaga, Sarina Mohd Som, 44, berkata, pengeluaran KWSP tersebut membantu dirinya untuk membangunkan semula perniagaan yang terpaksa dihentikan seketika akibat pandemik Covid-19 dan banjir.
Katanya, baki kerosakan rumah dan kenderaan, dia hanya membaiki yang perlu sahaja dengan menggunakan kewangan peribadi dan bantuan rakan sekeliling.
"Macam saya berniaga sendiri, memang terjejas. Bantuan banjir yang dijanjikan pula masih belum terima. Baru RM1,000 sahaja. Bantuan baik pulih kediaman sebab banjir juga sudah dimohon, tetapi tengah tunggu kelulusan," ujarnya.
Bagi pekerja swasta, Muhammad Tarmizi Mahayadin, 42, berkata, wang KWSP itu akan digunakan untuk baik pulih rumah yang rosak.
"Setakat ini yang rosak banyak pendawaian rumah, kabinet dapur juga hancur. RM10,000 pun ikutkan tidak cukup sebenarnya,” beritahunya.
Klik di sini untuk terus membaca