KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan status hubungan persefahaman antara parti itu dan Pas menerusi kerjasama Muafakat Nasional (MN) sudah boleh dianggap bertanda koma, walaupun belum dinoktahkan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan status hubungan persefahaman antara parti itu dan Pas menerusi kerjasama Muafakat Nasional (MN) sudah boleh dianggap bertanda koma, walaupun belum dinoktahkan sepenuhnya.

Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, kerjasama MN juga harus dilihat daripada dua sudut pandangan iaitu daripada sudut penyatuan ummah tanpa menyatakan parti-parti dan sudut status persefahaman di antara Pas dan UMNO.

Tambahnya, sekiranya MN dirungkai dari sudut penyatuan keseluruhan orang Melayu Islam tanpa mengambil kira ideologi parti, sudah pasti UMNO tidak akan menoktahkannya.

"Tetapi kalau definisi MN itu menjuruskan hanya kepada persefahaman UMNO-Pas, ia sudah ada tanda koma, walaupun tidak ada noktah. Itu pandangan peribadi saya.

"Ini disebabkan peristiwa pada PRN Melaka dan Johor apabila Pas lebih memilih bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun UMNO tidak boleh bersama mereka," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Ahmad Maslan. FOTO: Rosli Seli

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus usul menamatkan hubungan kerjasama MN di antara Pas-UMNO bakal dimuktamadkan pada persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang berlangsung di bangunan Pusat Perdagangan Dunia (WTC), di sini bermula 16 Mac.

Mengulas lanjut, Ahmad turut merujuk kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang mengumumkan keluar daripada Pas baru-baru ini apabila beliau menyatakan kewujudan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) parti.

Lebih mengejutkan, beliau berpandangan pendedahan Dr Khairuddin itu menunjukkan perkara-perkara penting dalam Pas seolah-olah hanya diputuskan oleh dua, tiga pemimpin dan tidak merujuk kehendak akar umbi.

"Yang menjadi masalah dalam hubungan ini adalah Bersatu. UMNO sememangnya tidak boleh bersama mereka kerana parti itu mengambil empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kami, 15 ahli Parlimen UMNO dan beribu ahli. Mereka juga ditubuhkan kononnya untuk menggantikan UMNO.

"Jadi hal-hal sebegitu yang menyukarkan hubungan kami apabila Pas berada dalam PN. Secara berterus terang, warna baju Bersatu pun ikut warna kami. Perkataan Bersatu itu pun diambil daripada slogan UMNO. Nama Perikatan Nasional juga diciplak daripada Barisan Nasional.

"Gunalah perkataan lain, warna lain. Nampak sangat mereka hendak bertembung dengan BN secara terbuka. Takkan orang politik tidak boleh membaca perkara itu? Jadi mereka akhirnya telah menerima hukuman daripada pengundi Johor dan Melaka tentang perkara itu," tegasnya.

Muzakarah Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini menetapkan kepentingan mempertahankan Muafakat Nasional (MN) dan mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

Ditanya sekiranya parti akan memberi kuasa autonomi kepada UMNO negeri untuk menentukan keperluan meneruskan kerjasama MN di negeri masing-masing sekiranya persefahaman itu diteruskan, Ahmad menjelaskan satu mesyuarat lain perlu diadakan parti untuk memutuskan perkara itu.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Menteri Kewangan itu tidak mahu mengulas panjang mengenainya memandangkan ada banyak perkara lain yang perlu perwakilan UMNO bincangkan melalui PAU 2021.

"Tidak dinafikan isu MN juga sebahagian isu penting perlu dibincangkan, selain isu penentuan tarikh PRU15 dan usaha menangani Covid-19 pada saat negara memasuki fasa endemik.

"Oleh itu, kita perlu fokuskan mengenai kehidupan seharian rakyat. Yang mendengar ucapan kita bukan hanya perwakilan parti, tetapi rakyat seluruh negara. Jangan kita mengecilkan skop hanya kepada kepartian sahaja, tetapi perlu melibatkan kehidupan seharian rakyat," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca