SHAH ALAM - Kejayaan yang dikecapi UMNO selama ini adalah disebabkan kebijaksanaan dari segi pengurusan yang ditonjolkan kepimpinan parti itu.
Penganalisis politik, Dr Md Shukri Shuib berkata, kebijaksanaan mengurus dimiliki pemimpin-pemimpinnya merupakan aset UMNO yang tidak ada pada parti-parti lain.
"Pengurusan adalah tema utama di mana ramai pemimpin UMNO yang dilihat berupaya untuk mengurus negara.
"Ini sebenarnya yang perlu digarap secara profesional. Kita nak melihat bukan UMNO yang hanya mahukan pilihan raya sahaja, tetapi kita nak UMNO yang terurus, mampu mengurus dan bersifat demokratik, futuristik dan realistik, " katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-330 yang bertajuk ‘UMNO : Antara Survival dan Legasi’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis, Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid dan Exco Puteri UMNO, Anne Ngasri manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Md Shukri yakin UMNO akan mendapat kepercayaan rakyat secara meluas sekiranya aset utama parti itu iaitu pandai mengurus ditonjolkan.
"Utamakan kepentingan rakyat, letakkan kepentingan nasional termasuk keselamatan dalam negeri, bagaimana persepsi masyarakat antarabangsa melihat kita dan penilaian dari segi pelaburan, jadi banyak aspek yang harus UMNO tangani,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penjenamaan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan gaya kepimpinan baharu serta kerja keras yang dilaksanakan berjaya memenangi hati rakyat ketika ini."Beberapa tokoh pemimpin utama negara berjaya untuk menjenamakan semula diri mereka sebagai jenama yang baharu, ini adalah teknik yang dilakukan oleh parti dan pemimpin untuk menjayakan aspirasi yang mereka bawa.
"Jadi dalam konteks ini, kalau betul nakkan persaingan dan demokrasi yang bersifat profesional, maka parti lain harus bertindak seperti mana yang dibuat UMNO dan BN iaitu memenangi semula majoriti kepercayaan rakyat supaya membolehkan mereka memenangi kerusi dan seterusnya membentuk kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu ditanya mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Md Shukri berkata, UMNO harus berhati-hati apabila berhadapan dengan isu berkenaan.
"Janganlah kita terlalu mendesak sehingga membuatkan rakyat kurang selesa dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Mereka perlu berhati-hati, apabila kita nak berhadapan dengan PRU15, semua pemimpin harus kukuh bersama-sama untuk menggerakkan jentera parti dan membina kemenangan.
"Jangan kelihatan UMNO dan BN seolah-olah menganggap pandangan rakyat boleh dipermudahkan sehingga kita mampu memanipulasi apa sahaja terutama atas nama rakyat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca