TIDAK siapa menyangka UMNO-BN akan kembali bangkit daripada kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan begitu pantas. Kembalinya UMNO-BN mendominasi Putrajaya menerusi pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK siapa menyangka UMNO-BN akan kembali bangkit daripada kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan begitu pantas.

Kembalinya UMNO-BN mendominasi Putrajaya menerusi pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Ogos 2021, ibarat cerita dongeng yang berjaya direalisasikan menerusi pementasan layar perak.

Lebih manis, momentum sokongan rakyat terhadap UMNO-BN kini boleh dianggap mencapai tahap kemuncak menjelang PRU15 susulan kemenangan besar koalisi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka secara berturut-turut, baru-baru ini.

Menyedari momentum itu perlu diteruskan UMNO-BN pada saat parti-parti pembangkang tidak bersepakat di samping negara berdepan transisi peralihan pandemik Covid-19 kepada fasa endemik.

Medan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 bermula 16 hingga 19 Mac di bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur dijangka menjadi platform lebih 2,680 perwakilan UMNO memuktamadkan usul tuntutan PRU15 diadakan secepat mungkin.

Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO: ROSLI SELI

Perkara itu diakui Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa menjadi keperluan UMNO-BN mendapatkan mandat rakyat demi membentuk kerajaan yang lebih stabil dengan majoriti kerusi lebih besar.

Dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Premium, Khairil Anwar Mohd Amin, Ahli Parlimen Pontian itu turut berkesempatan merungkai kunci kejayaan kemenangan UMNO-BN pada PRN Johor, status Muafakat Nasional (MN) dan reaksi akar umbi terhadap keperluan PRU15 disegerakan.

SINAR PREMIUM: UMNO melangkah gagah dalam persidangan PAU 2021 berbekalkan kemenangan besar pada PRN Johor dan Melaka. Bagaimana Datuk Seri melihat mood dan semangat perwakilan UMNO yang hadir ketika ini?

AHMAD: Mereka berasa gembira dan penuh rasa syukur kita menang di Melaka sejak 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mewakili 75 peratus. Kemudian kita menang pula pada PRN Johor dengan angka 40 daripada 56 kerusi (72 peratus). Ia adalah satu kejayaan sungguh memuaskan perasaan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada jentera pilihan raya di Melaka dan Johor serta seluruh Malaysia yang turun beramai-ramai sebagai keluarga, negeri dan bahagian angkat. Ini adalah satu kekuatan UMNO-BN yang akhirnya diterjemahkan menjadi kekuatan.

Jadi latar yang mendasari PAU 2021 tentunya menjurus kesyukuran kerana kejayaan PRN dua negeri itu dan kemenangan besar sahabat karib UMNO iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN Sarawak.

UMNO-BN menepati ramalan awal menang besar dengan majoriti dua pertiga pada dua PRN. Apakah rahsia kejayaan besar UMNO-BN?

Saya secara peribadi bersama jentera UMNO Pusat sememangnya menyasarkan kemenangan dua pertiga pada dua negeri dan kami berusaha mencapai angka berkaitan. Antara faktor kemenangan adalah kekuatan jentera UMNO-BN, pemilihan calon berasaskan kriteria cukup menarik dari segi umur, pendidikan dan muka baharu.

Aspek transformasi dalam pemilihan calon UMNO-BN dengan memberikan lebih banyak peluang kepada orang muda dan wanita ternyata merupakan formula mujarab dalam memenangkan parti.

Sebagai contoh, BN mengemukakan 25 peratus calon wanita di Johor, ia adalah satu yang amat menggembirakan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan sayap parti itu.

Ini ramuan kejayaan dengan peletakan jentera dan calon yang terbaik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (kiri) sewaktu diwawancara wartawan Sinar Premium di pejabatnya di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. FOTO: ROSLI SELI

Meskipun pertambahan pengundi 18 tahun ke atas dan pengundi daftar automatik pada PRN Johor menjangkau 750,000 pemilih dan dijangkakan mengubah pola pengundian semasa, namun UMNO-BN masih tetap selesa menang dengan majoriti dua pertiga. Adakah kemenangan PRN Johor mengenepikan dakwaan orang muda lebih cenderung sokong parti yang lebih 'muda'?

Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) mengemukakan tujuh calon, menang satu kerusi dan kalah enam kerusi. Ia menunjukkan bahawa kegusaran UMNO dan BN terhadap pengundi baharu umur 18 tahun ke atas adalah meleset.

Bila dikaji semula struktur kehidupan masyarakat, sekiranya majoriti daripadanya menyokong BN, maka ahli keluarga pengundi muda itu akan memberi dorongan positif kepada pengundi baharu berkenaan supaya mereka mengundi BN.

Jadi ramai pihak terlepas pandang rahsia itu dan BN memanfaatkan sepenuhnya kempen 'Keluargaku Ahli UMNO' dan 'Keluargaku Penyokong BN'. Ini adalah satu perkara amat mujarab.

Bagaimanapun, kami masih meneruskan libat urus dan pertemuan dengan generasi muda bagi memenuhi lima aspek keperluan mereka merangkumi bidang pendidikan, kemahiran, peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan perumahan.

Meskipun majoriti pemimpin pembangkang cuba meremehkan kemenangan besar UMNO dengan merujuk UMNO-BN sebenarnya kalah undi popular kepada pembangkang, hakikatnya sistem demokrasi negara menggunakan sistem 'first past the post'. Namun begitu, adakah wajar UMNO-BN boleh berpuas hati dengan kemenangan PRN Johor dan berkeyakinan momentum sama dapat diteruskan pada PRU15?

Undi popular paling tinggi adalah BN, kemudian diikuti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Tentunya undi-undi parti pembangkang tidak boleh dilonggok sekali disebabkan mereka tidak menentang BN dengan satu logo (pilihan raya).

Mereka melawan dengan logo masing-masing. Jadi kalau lawan guna logo masing-masing, undi popular ikut parti masing-masing. Tidak boleh dilonggok sekali. Kiraan sebegitu tidak tepat dan tidak betul.

Sebagai contoh masalah undi popular, pengundi begitu ramai di kawasan bandar, pengundi sederhana jumlahnya di kawasan luar bandar. Tetapi di kawasan luar bandar, BN tetap menang manakala di kawasan bandar, katakan PH menang. Oleh kerana pengundi lebih ramai di bandar, maka undi popular seolah-olah memihak kepada PH.

Namun, dari segi bilangan kerusi pilihan raya, jumlah diperoleh BN dan PH tetap sama iaitu satu. Ini yang berlaku dalam sistem 'first past the post'.

Adakah isu pelantikan calon Menteri Besar yang bukan dijanjikan dalam tawaran pilihan raya UMNO-BN wajar digembar-gemburkan sebagai melanggar janji kepada Bangsa Johor?

Bangsa Johor memahami apa yang sedang berlaku. Menteri Besar baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga sudah menyatakan bahawa beliau akan menunaikan segala Ikhtiar Johor yang telah diumumkan. Itu perkara paling penting.

Saya berharap beliau akan segera melaksanakannya. Tadi saya melihat kelibat beliau di barisan persidangan PAU peringkat Pemuda. Apabila nama beliau dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad disebut perwakilan yang berbahas, kedua-duanya menerima tepukan.

Onn Hafiz juga merupakan pemimpin lepasan kilang Pemuda UMNO. Jadi beliau telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan Ikhtiar Johor dan saya fikir janji beliau itu adalah lebih penting.

Saya juga fikir Onn Hasni adalah seorang yang tenang dalam berhadapan apa jua perkara sedang berlaku. Saya kira rakyat dan pengundi Johor memahami perkara berlaku itu. UMNO-BN akan 'move on' dan terus berusaha membina negeri Johor yang lebih baik.

Susulan kemenangan besar UMNO-BN pada PRN Melaka dan Johor, ramai pihak berpandangan 3.3 juta akar umbi UMNO akan menjadikan medan PAU 2021 bagi mendesak kerajaan segera membubarkan Parlimen, seterusnya mengadakan pilihan raya segera. Sejauh mana Datuk Seri melihat desakan ini bakal bakal menjadi usul utama yang akan dimuktamadkan dalam PAU 2021?

Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden UMNO) telah 'set the tones (menetapkan satu pendirian)' dengan menggariskan kepentingan PRU15 perlu diadakan pada waktu yang tepat dan cepat.

Kenyataan Tok Mat itu pula disambut oleh ketiga-tiga ketua sayap perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri dengan mereka menyatakan hasrat yang sama.

Menariknya, saya kira keyakinan kita itu pada tahap sangat tinggi setelah kita berhadapan cabaran begitu hebat selama ini. Sebagai contoh, DUN Pulai Sebatang di Parlimen saya (Pontian), kalah majoriti undi sebanyak 3,300 pada PRU14.

Namun PRN Johor menyaksikan kita menang semula dengan majoriti 6,000 undi walaupun terpaksa berdepan dengan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat daripada PH dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin mewakili PN.

Bayangkan daripada kalah lebih 3,000 undi kepada menang semula dengan majoriti 6,000 undi ditambah keputusan UMNO-BN meletakkan calon wanita di situ.

Jadi ini satu pusingan U yang amat menarik. Saya memang menumpukan banyak masa di DUN itu selama ini. Itu merupakan contoh DUN memperlihatkan sokongan rakyat Johor sudah kembali beralih kepada UMNO-BN.

Bahkan MCA yang bertanding 15 kerusi DUN, menang empat kerusi manakala MIC menang tiga daripada empat kerusi ditandingi. Jadi, tentunya ia adalah satu kemenangan manis dan pembakar semangat untuk PRU15 dilaksanakan pada waktu tepat dan cepat.

Daripada keseluruhan 191 bahagian UMNO, berapakah jumlah sebenar bahagian yang menuntut PRU15 diadakan segera?

Ada pecahan daripada usul-usul bahagian ini. Tetapi cukup sekadar saya nyatakan bahawa suara menuntut PRU15 dibuat lebih awal barulah diadakan pemilihan parti adalah lebih banyak berbanding suara meminta perbincangan dengan 'Top 5' dibuat terlebih dahulu bagi menentukan tarikh PRU bersesuaian.

Itu antara dua kumpulan suara majoriti yang inginkan perkara-perkara akan berlaku selepas PAU 2021. Menarik perhatian saya, suara-suara itu berlaku sebelum PRN Johor. Namun selepas kemenangan besar UMNO pada PRN Johor, lagilah banyak suara menuntut PRU15 diadakan segera.

Apabila menyentuh cadangan penentuan tarikh PRU15 perlu dibincangkan dalam kalangan pemimpin 'Top 5', adakah perkara itu sudah dirundingkan dalam kalangan pemimpin terlibat?

Kita kerap berbincang. Saya faham sangat bila tarikh perbincangan yang lalu telah diadakan. Itu sebab apabila kita melihat Perdana Menteri mengumumkan kelulusan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, ia sebenarnya merujuk kepada segala perbincangan MKT, perbincangan Top 5 dan Biro Politik setelah kita mendengar hasrat kepada rakyat.

Perdana Menteri pula selaku Naib Presiden UMNO mewakili kerajaan tentunya mendengar segala perkara itu dan akhirnya membuat pengumuman. Keputusan terkini Perdana Menteri itu pastinya memberi kelegaan kepada pelbagai pihak, terutama kepada mereka yang berdepan masalah mencari pekerjaan baharu, dana membuka perniagaan dan melunaskan komitmen hutang diri dan keluarga.

Saya dapat begitu banyak respon bertanya soal pengeluaran KWSP sehingga pada PRN Johor, tular satu kertas undi yang diconteng dengan angka RM10,000 KWSP pada kotak pangkah setiap calon bertanding.

Itu adalah perkara benar berlaku di luar sana, bahkan pembangkang pun turut memasukkan janji tuntutan pengeluaran KWSP dalam janji pilihan raya mereka.

Tentunya mereka gembira dengan keputusan kerajaan dan untuk perancangan masa hadapan meningkatkan kembali simpanan hari tua, kita buatlah strategi bersesuaian.

Bila sentuh pelaksanaan PRU15, isu siapa 'poster boy' akan timbul. Justeru, apa solusi diambil UMNO-BN bagi menyelesaikan persoalan itu?

Isu poster boy akan dirundingkan dengan Top 5, Biro Politik UMNO dan MKT. Pastinya kita masih perlu berbincang sebelum membuat keputusan penting itu.

Datuk Seri, kemenangan besar PRN Johor dan Melaka juga manifestasi kelompok pemimpin UMNO dikaitkan dengan pertuduhan kes mahkamah semakin mendapat simpati sahaja daripada akar umbi UMNO, bahkan majoriti rakyat. Bahkan usaha pemimpin pembangkang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerang peribadi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilihat tidak beri kesan terhadap keyakinan pengundi pada UMNO-BN. Adakah Datuk Seri melihat momentum perkembangan positif itu mampu diteruskan pada PRU15?

Secara peribadi, saya telah dilepas dan dibebaskan dari kes mahkamah dihadapi. Siapa pun tidak boleh pertikai perkara itu. Saya pun bukan dibebaskan dengan pengguguran kes, ihsan Peguam Negara. Saya bukan lagi kluster mahkamah.

Ini kerana gelaran kluster mahkamah amat menyakitkan. Kita percaya apa kita buat itu benar, tetapi pada pandangan mereka apa yang kita buat adalah tidak benar. Pada pandangan saya, semua orang menerima dana politik. Saya juga menerima dana politik bukan RM2 juta.

Saya sudah bersumpah hanya menerima RM1.1 juta untuk dana politik ketika saya menjadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia, bukan sebagai Ketua Penerangan UMNO cawangan. Tujuan penerimaan pun bukan untuk diri saya tetapi aktiviti penerangan parti. Apabila saya menerima dana, ia diterima daripada Presiden parti. Saya kira parti lain pun turut melakukan prosedur sama untuk mengagihkan dana politik.

Kalau dibandingkan poster PRN Johor, PN memasang poster paling besar, malam-malam pekerja Bangladesh memasangnya menggunakan kren di antara dua pokok kelapa. Sebesar-besar gambar calon di pampang hingga terperanjat orang kampung yang ke surau ketika waktu Subuh.

Di kawasan Benut, dalam kawasan lingkungan tujuh kilometer, ada tujuh poster sangat besar berkenaan. PN dapat duit daripada mana? Itu dana politik. Itu baru sahaja poster, belum lagi perkara ini. Begitu juga parti pembangkang lain, semua ada poster pilihan raya yang hebat. Ingat kos cetak percumakah?

Itu adalah dana politik. Saya terima dana itu, mereka turut menggunakannya. Namun mengapa saya masuk mahkamah dan mereka tidak? Itu sebab dana politik perlu diaktakan.

Merujuk kes Najib, beliau belum didapati bersalah sehingga ke tahap mahkamah terakhir iaitu Mahkamah Persekutuan. Lagipun lebih banyak pendedahan meragukan mengenai kes disabitkan terhadap beliau yang semakin terselongkar. Jadi, orang sudah tidak percaya terhadap kes kluster mahkamah.

Rakyat anggap sebagai perkara itu sebagai tuduhan politik. Begitu juga Datuk Seri Ahmad Zahid, beliau belum didapati bersalah lagi. Daripada 99 orang saksi dipanggil dalam kes mahkamah dihadapi beliau, tidak ada seorang pun menyebut Ahmad Zahid rasuah.

Sekalipun ada mengenai pembayaran kad kredit daripada pembiayaan Yayasan (Akalbudi), akan tetapi pembayaran cek menggunakan tandatangan cop. Tandatangan cop tidak sewajarnya digunakan. 27 daripada 47 pertuduhan kes adalah melibatkan kes cek pembayaran tadi.

Jadi rakyat meneliti perkara-perkara sebegini dan akhirnya mereka berpandangan dalam beribu yayasan yang wujud di Malaysia, adakah Datuk Seri Zahid disabitkan kes mahkamah hanya kerana beliau Presiden UMNO?

Orang memikir dan semakin memahami isu sebenar. Najib juga belum didapati bersalah di peringkat tertinggi pun. Oleh itu, kita jangan buat tuduhan-tuduhan yang tidak berasaskan undang-undang. Kluster mahkamah ini adalah kluster dendam politik.

Tok Mat sebelum ini juga ada menyatakan bahawa Muafakat Nasional (MN) masih belum 'khatam' lagi walaupun ramai menjangkakan UMNO akan menggunakan medan PAU 2021 sebagai platform menguburkan kerjasama Pas-UMNO itu. Apa pandangan Datuk Seri?

Kalau MN itu dilihat daripada sudut penyatuan ummah tanpa menyatakan parti-parti, ia belum dinoktahkan. Tetapi kalau definisi MN itu menjurus hanya kepada Pas-UMNO, ia sudah ada tanda koma, walaupun tidak ada noktah. Itu pandangan peribadi saya.

Kita boleh melihat MN daripada dua sudut pandang itu. Dari sudut penyatuan yang bukan hanya melibatkan UMNO-Pas tetapi keseluruhan orang Melayu Islam, yang itu tidak ada noktah.

Tetapi kalau MN khusus kepada persefahaman antara dua parti, mungkin belum ada noktah, namun ada tanda koma. Ini disebabkan peristiwa pada PRN Melaka dan Johor.

Adakah status terkini itu disebabkan UMNO rasa dikhianati menyebabkan keperluan meneruskan MN agak sukar?

Ada kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang kita boleh jadikan rujukan. Beliau menyatakan bahawa kewujudan Pas dalam PN tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) parti. Perkara itu hanya diputuskan oleh dua, tiga orang, walhal ia adalah satu keputusan penting.

Yang menjadi masalah dalam hubungan ini adalah Bersatu. UMNO sememangnya tidak boleh bersama mereka kerana parti itu mengambil empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kami, 15 ahli Parlimen UMNO dan beribu ahli. Mereka juga ditubuhkan kononnya untuk menggantikan UMNO.

Jadi hal-hal sebegitu yang menyukarkan hubungan kami apabila Pas berada dalam PN. Secara berterus terang, warna baju Bersatu pun ikut warna kami. Perkataan Bersatu itu pun diambil daripada slogan UMNO. Nama Perikatan Nasional juga diciplak daripada Barisan Nasional.

Gunalah perkataan lain, warna lain. Nampak sangat mereka hendak bertembung dengan BN secara terbuka. Takkan orang politik tidak boleh membaca perkara itu?

Jadi mereka telah menerima hukuman daripada pengundi Johor dan Melaka tentang perkara itu.

Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO: ROSLI SELI

Adakah akan ada usul dalam PAU yang dibangkitkan perwakilan bagi menuntut kerjasama MN dinoktahkan?

Kita mendengar segala ucapan dan pandangan perwakilan. Kita menghargai pandangan mereka. Namun saya ingin memberikan nasihat bahawa mereka perlu beri cadangan membina.

Ini kerana UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan dan kerajaan itu dipimpin Perdana Menteri daripada UMNO. Oleh itu, jika kita memberikan cadangan membina, ia boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

Pada dua tahun sudah, Perdana Menteri bukan dalam kalangan pemimpin kita. UMNO cakap kuat mana pun, mereka tidak peduli. Sewaktu pentadbiran kerajaan PH, lagilah suara kita di 'tong sampah' sahaja. Tetapi mulai Ogos tahun lalu sehingga kini, apa yang disebut oleh UMNO akan didengari Perdana Menteri dan menteri-menteri UMNO.

Oleh itu, jurucakap hendak memberikan cadangan membina yang boleh diterima pakai oleh kementerian.

Sekiranya kerjasama MN diteruskan UMNO, adakah parti akan memberi kuasa autonomi kepada UMNO negeri untuk menentukan keperluan meneruskan kerjasama dengan Pas?

Dalam isu, saya kira perlu ada mesyuarat lain untuk memutuskan perkara itu. Oleh itu, saya tidak mahu mengulas panjang. Bagi saya, ada banyak perkara lain yang kita perlu bincangkan dalam PAU.

Usul-usul tentang ekonomi, anak muda, pekerjaan, perumahan, pendidikan, kemahiran, hubungan antarabangsa dan budaya juga amat penting. Begitu banyak usul yang boleh disentuh. Justeru, kita sudah beri taklimat kepada jurucakap perwakilan supaya meluaskan skop ucapan.

Jangan asyik-asyik cerita politik, kerana rakyat hendak dengar apa yang mereka dapat menerusi pandangan jurucakap-jurucakap berkenaan. Jangan hanya berucap berkaitan isu politik sahaja.

Tidak dinafikan isu MN juga sebahagian isu penting perlu dibincangkan, selain isu penentuan tarikh PRU15 dan usaha menangani Covid-19 pada saat negara memasuki fasa endemik. Oleh itu, kita perlu fokuskan mengenai kehidupan seharian rakyat.

Yang mendengar ucapan kita bukan hanya perwakilan parti, tetapi rakyat seluruh negara. Jangan kita mengecilkan skop hanya kepada kepartian sahaja, tetapi perlu melibatkan kehidupan seharian rakyat.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengalu-alukan Datuk Dr Khairuddin untuk menyertai UMNO sekiranya beliau berminat. Adakah pucuk kepimpinan UMNO akan mempertimbangkan permintaan itu?

Setahu saya, beliau sudah menyebut untuk tidak menyertai UMNO. Apa sahaja keputusan melibatkan pemimpin ternama, biasanya perkara berkaitan mereka akan dibincang dan diputuskan menerusi mesyuarat MKT.

Tetapi dia tidak menyatakan akan menyertai UMNO, namun tidak tahulah untuk masa akan datang.

Masih ada ruangkah kepada Pas untuk kembali bersama UMNO pada PRU15 sekiranya parti itu akhirnya memutuskan untuk meninggalkan koalisi PN?

Saya kira mereka sudah membulatkan tekad untuk bersama dengan PN. Pas merupakan satu-satunya parti yang telah bersama dengan semua parti lain termasuk DAP. Mereka memegang rekod, namun ketika ini mereka dilihat lebih sayang PN.

Bagaimana UMNO-BN hendak memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang diwujudkan parti itu selepas PRU15 menjanjikan manfaat ekonomi yang lebih besar?

Kestabilan dan kemakmuran adalah dua patah perkataan amat penting apabila UMNO-BN menerajui kerajaan negeri dan negara. Semuanya adalah untuk manfaat rakyat. Di luar sana ada begitu hebat cabaran, begitu juga dengan dalam negara.

Kita sebenarnya kena selesaikan isu politik ini dalam tempoh sebulan atau dua bulan. Maksud saya, tempoh untuk pelaksanaan pilihan raya. Kestabilan politik dikecapi amat diperlukan supaya kerajaan diberi mandat memiliki ketenangan minda, sekali gus memberi ketenangan kepada rakyat.

Ia perlu dibereskan segalanya. Saya serahkan kembali kepada pucuk kepimpinan parti untuk membuat keputusan terbaik. Saya selaku salah seorang daripada pembuat keputusan, ada dalam fikiran saya mengenai perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Kita pun kalau buat keputusan, harus mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah) bergambar kenangan bersama kru wartawan dan penerbitan Sinar Harian di pejabatnya di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada Khamis. FOTO: ROSLI SELI

Pada pandangan Datuk Seri, bila tarikh PRU15 paling sesuai diadakan?

Ada dua pandangan mengenai perkara itu. Satu pandangan supaya kita buat selepas tamat MoU gencatan politik dengan PH. Satu lagi pandangan adalah ia dilaksanakan secepat mungkin.

Justeru, perlu ada keseimbangan di antara dua pandangan itu. Bagaimanapun, saya kira segalanya itu perlu diselesaikan tahun ini. Ini berasaskan pandangan ramai pihak.

Klik di sini untuk terus membaca