KUALA LUMPUR - UMNO dan Barisan Nasional (BN) yakin dengan kebijaksanaan sultan-sultan dan ketua-ketua negeri untuk membuat keputusan menyeragamkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk pilihan raya negeri (PRN) bagi... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - UMNO dan Barisan Nasional (BN) yakin dengan kebijaksanaan sultan-sultan dan ketua-ketua negeri untuk membuat keputusan menyeragamkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk pilihan raya negeri (PRN) bagi mana-mana negeri yang masih belum melaksanakannya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya turut berharap ketua pentadbiran enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan, yang menyatakan hasrat melaksanakan PRN hanya selepas tamat tempoh penggal pentadbiran tahun hadapan, supaya memikirkannya semula.

"Kita harap negeri-negeri itu memikirkannya semula. Yang penting, kos kerugian akibat ketidakstabilan politik negara ketika ini lagi jauh lebih besar dari segi pelaburan asing, imej negara dan amalan demokrasi sebenar.

"Ia memberi kos kerugian yang amat hebat kepada negara dalam tempoh dua hingga tahun kebelakangan ini.

"Tentunya kebijaksanaan sultan-sultan dan ketua-ketua negeri berkaitan diharapkan membuat keputusan seragam dengan PRU15,” ujarnya kepada Sinar Harian menerusi wawancara eksklusif sempena persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

AHMAD

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH) mendedahkan sebanyak enam negeri mungkin memilih untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.

Aminuddin turut menegaskan perkara itu ada dibincangkan bersama lima buah negeri lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara baru-baru ini.

Mengesahkan kenyataan Aminuddin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu memutuskan untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah hingga tamat tempoh ketiga-tiganya.

Langkah Pas itu diikuti oleh PH yang memutuskan tiga negeri di bawah tampuk pimpinan gabungan itu iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN sehingga penggal pentadbiran tamat.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian sekali lagi menafikan pelaksanaan dua PRN di Johor dan Melaka adalah sebahagian usaha UMNO-BN bagi mendesak PRU15 diadakan segera.

Sebaliknya, beliau menjelaskan tiga negeri terawal mengadakan PRN seperti Johor, Melaka dan Sarawak adalah berdasarkan kes-kes tertentu.

"Sebagai contoh, apabila pembangkang ‘memancing’ beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Melaka, mereka melompat. Jadi punca PRN Melaka disebabkan perbuatan memancing parti pembangkang.

"Tetapi di Johor, kedudukan kerusi DUN negeri itu adalah seri 28-28. Ini berpunca daripada kematian bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian, kedudukan 29 kerusi kerajaan akhirnya berkurangan menjadi 28 kerusi DUN.

"Jadi, bila adanya persidangan DUN, jumlah 27 kerusi pembangkang akan bertambah menjadi 28 kerusi apabila kerusi Speaker DUN diambil kira.

"Peristiwa unik berlaku di Johor apabila kedudukan DUN tergantung menyebabkan kita tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan perlu mengadakan PRN segera,” tegasnya.

Ahmad turut bersetuju dengan pandangan kelulusan penggubalan Akta Anti Lompat Parti 2022 perlu disegerakan sebelum pelaksanaan PRU15.

Beliau berharap kelulusan akta berkenaan tidak dilengah-lengahkan kerana UMNO tidak suka kepada wakil rakyat yang melompat parti.

"Itu sebab usaha ke arah tersebut akan disegerakan dan saya kira, ada usul menjelang PAU mengenai perlunya Akta Anti Lompat Parti dan Akta Pendanaan Politik dipercepatkan.

"Ia penting supaya situasi politik negara kita menjadi lebih baik susulan transformasi sistem demokrasi,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca