SHAH ALAM - Setelah kejayaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN), UMNO berkemungkinan besar akan terus bergerak secara solo menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid.
Bagaimanapun katanya, pucuk pimpinan tertinggi parti yang akan membuat satu keputusan muktamad sama ada Muafakat Nasional (MN) bersama sekutunya, Pas akan diteruskan atau sebaliknya.
"Sekarang ini, kalau dilihat daripada PRN Melaka dan Johor, kita telah bergerak secara bersendirian.
"Kita telah berbincang secara baik dengan Pas, namun UMNO agak terkejut apabila Pas secara rasmi menyertai Perikatan Nasional (PN) tanpa memberitahu kepada pihak UMNO.
"Sebenarnya pada peringkat awal PRN Melaka, kami masih berbincang dengan Pas untuk pembahagian kerusi tetapi akhirnya ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui antara UMNO dan Pas dan akhirnya, UMNO membuat keputusan untuk bergerak sendirian.
"Apa yang saya dapat lihat, apabila BN dan UMNO sudah bergerak secara solo, saya tidak cakap ini adalah satu perkara yang konkrit tetapi kemungkinan besar UMNO akan terus bergerak secara bersendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-330 yang bertajuk ‘UMNO : Antara Survival dan Legasi’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis, penganalisis politik, Dr Md Shukri Shuib dan Exco Puteri UMNO, Anne Ngasri manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Mengulas lanjut mengenai perwakilan Johor dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, Johari berkata, Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam perbahasan PAU 2021 yang sedang berlangsung ketika ini atas faktor masa yang tidak bersesuaian.
"Sebenarnya perwakilan Johor memang sudah diberikan ruang untuk berbahas. Tidak ada isu besar sebenarnya, cuma mereka merasakan mereka baru sahaja selesai PRN pada Sabtu lalu, jadi ruang itu tidak sesuai pada ketika ini.
"Ini juga adalah permintaan Pemuda Johor sendiri, jadi di peringkat pengurusan Pemuda, kita menghormati permintaan yang telah diminta oleh perwakilan Johor sendiri,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca