KIEV - Kira-kira 1.5 juta kanak-kanak Ukraine kini terpaksa menjadi pelarian sejak kempen pencerobohan ganas Rusia bermula pada 24 Februari lalu.
"Sejak lebih tiga minggu lalu, hampir seorang kanak-kanak menjadi pelarian perang untuk tempoh setiap saat setelah jumlah pelarian dari Kiev kini melepasi tiga juta orang,” ujar jurucakap Tabung Kecemasan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), James Elder.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan jika golongan tersebut menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang cuba mengambil kesempatan terhadap krisis tersebut berdasarkan data yang menunjukkan sembilan daripada pelarian berkenaan adalah wanita dan kanak-kanak.
"Golongan kanak-kanak paling berisiko tinggi kerana mereka tidak biasa dengan persekitaran baharu yang menjadi tempat perlindungan sementara dan berpotensi terpedaya dengan muslihat pihak tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Menurutnya, golongan itu sangat terdedah dengan ‘pemangsa’ berdasarkan situasi ketika beliau mengadakan lawatan ke Medyka yang bersempadan Poland-Ukraine.
"Ada beberapa pihak menggunakan van mini dan bas sambil melaungkan nama beberapa destinasi untuk menarik perhatian segelintir pelarian tersebut. Mereka mungkin berniat baik, namun kita juga perlu ada rasa ragu-ragu kerana sindiket pemerdagangan manusia adalah isu yang sangat serius di rantau Eropah,” jelasnya lagi.
Krisis yang semakin meruncing itu turut mendapat perhatian bintang Hollywood, Angelina Jolie yang memberi amaran tegas tentang bagaimana kanak-kanak Ukraine berisiko menjadi golongan paling terkesan akibat kempen pengeboman yang berterusan di negara itu.
Jolie yang dilantik sebagai Duta Khas bagi Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) berkongsi kegusarannya tentang akibat jika peperangan tersebut tidak berakhir.
"Hampir dua juta penduduk Ukraine juga menjadi pelarian di dalam negara kerana kebanyakannya masih terperangkap, selain dinafikan akses bantuan kemanusiaan.
"Tanpa kesepakatan menamatkan konflik itu, golongan kanak-kanak bakal menerima akibat paling besar kerana ia akan memberi kesan kepada mental dan kehidupan mereka untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya menerusi Instagram.
Minggu lalu, pihak berkuasa Ukraine mendakwa beberapa butir bom digugurkan di atas sebuah hospital kanak-kanak di Mariupol dan meragut tiga nyawa termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun.
"Bagaimana hospital materniti dan kanak-kanak dianggap mengancam Rusia? Negara jenis apakah ini yang tergamak memusnahkan kemudahan kesihatan tanpa belas kasihan seperti itu,” ujar Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dengan nada kesal.
Jelasnya, lebih 100 kanak-kanak menjadi korban serangan tidak berperikemanusiaan Moscow, namun beliau percaya angka sebenar adalah jauh lebih tinggi setelah kempen serangan diperhebatkan di beberapa bandar utama termasuk Kiev yang masih dikepung sejak minggu lalu.
Data terbaharu Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (OIM) Ukraine menunjukkan kira-kira 150,000 penduduk di Kiev menjadi pelarian setiap hari, 6,250 orang pada setiap jam, 104 orang pada setiap minit dan dua orang pada setiap saat.
Klik di sini untuk terus membaca