SHAH ALAM - Kerajaan perlu bertindak tegas menyekat aplikasi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada dapat diakses oleh rakyat di negara ini.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, aplikasi seumpama itu sepatutnya telah dihalang daripada awal bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat.
Malah, beliau juga khuatir impak aplikasi itu kepada golongan muda, apatah lagi mereka terdedah dengan teknologi, selain aplikasi tersebut mudah untuk dimuat turun oleh sesiapa sahaja.
"Dalam arus teknologi yang bersifat berubah-ubah, aspek perundangan dan penguatkuasaan perlu diambil berat oleh semua pihak termasuk menyekat aplikasi yang bakal memberikan mudarat kepada masyarakat.
"Kita tidak mahu normalisasi budaya yang songsang dan akhirnya akan memberikan kesan kepada masyarakat. Itu seharusnya tidak berlaku dan langkah segera perlu dilakukan oleh kerajaan untuk menghalang aplikasi itu berada dalam mana-mana platform,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau juga berharap semua pihak terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerap memantau setiap aplikasi yang berada di Google Play atau medium muat turun yang lain.
"Undang-undang mengenai aplikasi yang tidak sepatutnya juga perlu ditambah baik.
"Kita perlu menyedari bahawa teknologi ini pantas bergerak dan sentiasa ada perkara baharu setiap hari. Mungkin ada yang terlepas pandang dan pihak kementerian perlu untuk mengetatkan segala penguatkuasaan bertepatan dengan keadaan semasa.
"Selain itu, tindakan tegas juga perlu diambil sekiranya ada pihak yang memuat naik aplikasi tersebut sekali gus memastikan aplikasi songsang seumpama itu tidak dapat diakses oleh masyarakat,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca