SANGGUP jerat diri semata-mata mahukan bayaran, itu antara tindakan segelintir individu yang menyewakan akaun bank milik mereka untuk digunakan oleh sindiket. Terdapat kes yang dikesan di mana sindiket keldai akaun akan menawarkan sejumlah... Klik di sini untuk terus membaca

SANGGUP jerat diri semata-mata mahukan bayaran, itu antara tindakan segelintir individu yang menyewakan akaun bank milik mereka untuk digunakan oleh sindiket.

Terdapat kes yang dikesan di mana sindiket keldai akaun akan menawarkan sejumlah wang kepada individu yang mahu menyewa akaun milik mereka.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Kewangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, sindiket akan membayar sejumlah wang antara RM100 hingga RM500 kepada individu yang mahu menyewakan akaun milik mereka untuk digunakan sindiket.

Mazelan

"Kita dapati antara faktor yang mendorong mereka menjual akaun kepada sindiket adalah desakan hidup. Banyak kes yang kita kesan, mereka ini antaranya melibatkan penganggur, suri rumah, pekerja kilang bahkan ada juga pelajar yang terlibat.

"Golongan ini terdesak untuk mendapatkan wang bagi kelangsungan hidup dan ada yang mahu berbelanja lebih. Faktor ini menjadikan mereka sebagai sasaran mudah oleh sindiket,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Mazelan berkata, terdapat kes tangkapan seorang lelaki pada tahun lalu di ibu negara yang menawarkan pembelian akaun bank daripada individu lain.

Menurutnya, suspek lelaki tempatan itu didapati melakukan kerja itu secara sambilan dan menawarkan sejumlah wang kepada mereka yang hendak menjual akaun bank peribadi kepadanya.

"Akaun bank dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang diperoleh itu kemudian akan dijual semula kepada sindiket.

"Kita percaya suspek melakukan kerja ini secara sambilan bagi menampung perbelanjaan harian ketika pandemik Covid-19,” jelasnya.

Mengulas lanjut, akaun yang digunakan sindiket ini menjadi medium mereka untuk melakukan kegiatan penipuan dalam talian seperti Macau Scam dan penipuan pinjaman tidak wujud (PTW).

Ujar Mazelan, terdapat mangsa ditawarkan sejumlah wang untuk menyerahkan kad tanpa mengetahui kad akaun itu digunakan untuk tujuan jenayah.

"Secara tidak langsung, mereka yang menyerahkan kad bank tidak kira secara sedar atau tidak, mereka telah terlibat sebagai keldai akaun dan akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Keldai akaun adalah akaun milik individu lain yang mana akaun berkenaan digunakan oleh penjenayah untuk melakukan aktiviti menyalahi undang-undang dan kesedaran inilah yang kurang dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, wang hasil kegiatan menyalahi undang-undang akan dimasukkan ke dalam akaun terbabit yang berperanan sebagai akaun tumpang atau akaun transit.

"Wang berkenaan hanya masuk seketika sebelum ia dikeluarkan semula. Penggunaan akaun ini sama ada tidak disedari oleh pemilik atau disedari secara sukarela oleh pemilik dengan tujuan untuk mendapatkan habuan,” ujarnya.

Antara peralatan yang digunakan sindiket keldai akaun menerusi beberapa serbuan yang dilaksanakan sebelum ini.

TAWAR PEKERJAAN PERDAYA MANGSA

Keadaan ekonomi ketika ini yang agak meruncing di samping ramai individu mencari pekerjaan menjadi faktor sindiket keldai akaun mengambil kesempatan.

Menurut Mazelan, ada kes yang dilaporkan mendapati sindiket menawarkan pekerjaan kepada mangsa dan ketika itu meminta akaun mangsa kononnya untuk pembayaran gaji.

Jangan terpengaruh dengan mana-mana pihak yang sanggup membayar sejumlah wang dengan syarat menyerahkan akaun peribadi kepada mereka.

Beliau mendedahkan, ahli sindiket terbabit berpura-pura menawarkan pekerjaan kepada mangsa.

"Mangsa diminta menyerahkan akaun bank dan kad ATM kononnya untuk memasukkan gaji atau seumpamanya.

"Sewaktu pandemik ramai yang kehilangan pekerjaan, jadi secara tidak langsung ramai di luar sana yang berlumba-lumba mencari pekerjaan hingga ada yang tanpa menyelidik dengan lebih lanjut tawaran diberikan,” katanya.

Jelasnya, keadaan itu memudahkan sindiket mengambil kesempatan untuk memerangkap mangsa.

"Kesempatan inilah yang digunakan sindiket untuk memerangkap mangsa dengan menawarkan kerja yang bergaji lumayan.

"Namun sindiket ini akan meletakkan syarat iaitu mangsa perlu menyerahkan kad ATM dan akaun bank,” ujarnya.

Katanya, mangsa yang tidak menyedari bahawa diri mereka sebenarnya dijadikan alat oleh sindiket ini lantas menuruti syarat dikenakan.

"Ketika ini dalam fikiran mangsa hanya inginkan pekerjaan, sekali gus tidak menyedari diri mereka telah digunakan.

"Dan ini antara faktor menyebabkan mereka terjebak secara tidak langsung sebagai keldai akaun kepada sindiket terbabit,” ujar Mazelan.

Antara peralatan digunakan sindiket keldai akaun menerusi beberapa serbuan yang dilaksanakan sebelum ini.

SERAH KERANA PERCAYA

Menyerahkan akaun secara sukarela atas dasar kepercayaan antara beberapa kes yang dilaporkan menjadi mangsa keldai akaun ini.

Mazelan berkata, terdapat juga beberapa kes dilaporkan oleh individu yang menjadi keldai akaun ini dibuat secara sukarela dan menyerahkan akaun milik sendiri atas dasar percaya.

Menurutnya, berdasarkan kes yang dilaporkan kepada pihak polis didapati mangsa baru sahaja mengenali sindiket berkenaan sehingga sanggup memberikan butiran akaun yang kononnya untuk memulakan perniagaan.

"Mangsa yang mudah percaya secara semberono dan memberikan butiran akaun kepada individu berkenaan atas dasar percaya, walhal akaun berkenaan dijadikan untuk tujuan menipu, di sini mangsa terperangkap,” katanya.

Sehubungan itu, Mazelan menasihatkan masyarakat supaya mengambil segala pendekatan untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

Tegasnya, jangan sesekali meletakkan kepercayaan kepada individu yang baru dikenali dengan memberikan maklumat peribadi kepada mereka.

"Jangan mudah menyerahkan segala butiran peribadi termasuk akaun kepada mana-mana pihak terutamanya mereka yang tidak dikenali.

"Perlu diingat sebagai pemegang akaun, kita bertanggungjawab penuh dengan semua urusan melibatkan transaksi dan maklumat akaun sendiri,” tegasnya lagi.

Jelasnya lagi, masyarakat diingatkan jangan sesekali terpedaya dengan tawaran wang diberikan untuk menyerahkan akaun peribadi.

"Paling utama jangan melibatkan diri dengan sindiket, jangan sesekali terpedaya dengan helah sindiket yang kononnya menjanjikan tawaran wang yang lumayan sekiranya mangsa memberikan akaun peribadi kepada mereka.

"Perlu diingat akaun kita adalah tanggungjawab kita, tidak boleh kata tidak tahu dan di luar pengetahuan kita sekiranya tindakan diambil,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca