BERMULA 1 April, Malaysia akan membuka semula sempadan antarabangsanya yang masih ditutup sejak Mac 2020 akibat pandemik Covid-19.
Ia adalah satu keputusan amat penting kerana pertama sekali, ia adalah fasa terakhir dalam pelonggaran semua sekatan pergerakan yang telah kerajaan perkenalkan sejak dua tahun lalu dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Selama dua tahun yang lalu, pelbagai jenis kawalan sempadan dan pergerakan telah dilaksanakan demi memelihara nyawa serta kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Alhamdulillah, selepas 1 April, lebih mudah untuk rakyat Malaysia ke luar negara, sesuatu yang ramai antara kita tidak dapat lakukan sejak wabak melanda negara kita.
Pada masa sama, pelancong asing juga akan dapat melawat Malaysia dengan lebih bebas. Mereka berpeluang menikmati pantai-pantai kita yang terkenal dengan pasir putihnya, mengenali sejarah dan budaya kita, pelbagai jenis makanan yang lazat serta layanan mesra Keluarga Malaysia yang terkenal di seluruh dunia.
Kemasukan pelancong dan pelawat asing ke Malaysia adalah penting kerana ia bukan sahaja akan membantu memulihkan industri pelancongan yang teruk terjejas akibat pandemik tetapi ia juga menjadi pendorong utama bagi pemulihan ekonomi negara selepas Covid-19.
Sebelum pandemik melanda, sektor pelancongan adalah salah satu penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Pada 2019, pelancongan menyumbang 13.3 peratus kepada KDNK apabila 26.1 juta pelawat antarabangsa pada tahun itu membelanjakan kira-kira RM86.14 bilion.
Pada masa sama, subsektor berkaitan pelancongan seperti peruncitan, pengangkutan, makanan dan minuman menggaji lebih kurang tiga juta pekerja. Semua itu menyumbang sebanyak RM240.5 bilion kepada Nilai Ditambah Kasar untuk Industri Pelancongan (NDKIP), bersamaan 15.9 peratus kepada KDNK 2019.
Ia telah menambah pendapatan kerajaan dari segi cukai, yang kemudiannya dikitarkan semula ke dalam ekonomi negara melalui projek pembangunan termasuk pembinaan sekolah, jalan raya dan hospital.
Pembukaan sempadan negeri secara beransur-ansur mulai Oktober 2021 adalah langkah positif untuk industri pelancongan kita. Namun, pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada April 1 inilah yang amat dinanti-nantikan kerana ia titik tolak yang penting bagi memulihkan ekonomi negara. Pelawat antarabangsa kini boleh melawat Malaysia, sama ada untuk berlibur atau bekerja.
PELANCONG
Saya baru sahaja bertolak untuk satu lawatan kerja ke luar negara pada 17 Mac. Saya sangat gembira apabila melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi dipenuhi orang ramai dan kebanyakan kedai telah dibuka semula.
Walau apa pun, Kementerian Kewangan (MOF) sedar bahawa unjuran ketibaan pelancong untuk tahun ini mungkin tidak akan mencapai angka 2019 sebanyak 26.1 juta dalam masa terdekat.
Malah, Pertubuhan Perdagangan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya menjangka pelancongan antarabangsa akan kembali ke tahap pra-pandemik paling awal menjelang 2024.
Selanjutnya, varian Omicron, konflik Rusia-Ukraine dan kenaikan mendadak dalam harga komoditi terutama minyak telah menjejaskan prospek pemulihan ekonomi yang pantas.
Bagaimanapun, pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia masih satu per-kembangan positif bagi ekonomi kita.
NDKIP untuk 2022 diunjurkan pada RM206.8 bilion atau 12.6 peratus daripada KDNK. Ia pastinya akan menyumbang kepada jangkaan pertumbuhan tujuh peratus sektor perkhidmatan di Malaysia, seterusnya akan menyumbang kepada unjuran pertumbuhan KDNK 2022 antara 5.5 dan 6.5 peratus.
Bagi membantu industri pulih lebih pantas, kerajaan juga telah memperluaskan Program Subsidi Upah (PSU) kepada sektor pelancongan tahun ini. Melalui Bajet 2022, RM600 juta diperuntukkan bagi program tersebut yang dijangka memanfaatkan 330,000 pekerja dan 26,000 majikan.
MOF juga telah melanjutkan sehingga akhir tahun ini inisiatif pelepasan khas cukai pendapatan individu untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000.
Selain itu, lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga akan mendapat bantuan bernilai RM85 juta selama tiga bulan.
SASARAN
Kesemua itu diharap akan terus membantu mencipta sasaran 600,000 pekerjaan dan terus menurunkan kadar pengangguran ke tahap kurang dari empat peratus menjelang akhir 2020.
Malah, pertumbuhan tahun ini akan turut didorong oleh perkembangan perdagangan luar negara yang terus memberangsangkan. Jika 2021, negara telah merekodkan jumlah perdagangan luar melebihi RM2.2 trilion, tahun ini kita terus melihat pertumbuhan pada kadar hampir 25 peratus pada Januari dan 17.5 peratus bagi Februari.
Tetapi lebih penting adalah bagaimana institusi kewangan akan menyokong industri ini setelah dibadai pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu. Langkah seperti kemudahan khas RM600 juta di bawah Pembiayaan Pelancongan PENJANA dan Skim Pemulihan BPMB pastinya akan membantu.
Terdapat pelbagai langkah pembiayaan lain di bawah inisiatif SemarakNiaga bernilai RM40 bilion, disusun khusus untuk membantu perniagaan pulih dengan kadar segera dan berkembang. Bagi PKS mikro, terdapat juga beberapa skim pembiayaan pada kadar 0 peratus, ditambah pula dengan moratorium sehingga 12 bulan. Sokongan institusi kewangan adalah kunci untuk mencergaskan semula sektor ini dan membantunya meraih semula kedudukannya sebagai salah satu penyumbang terbesar kepada KDNK.
Bagi perniagaan yang terjejas teruk dalam dua tahun kebelakangan ini, pembiayaan ekuiti dan separa ekuiti adalah pilihan yang boleh mereka pertimbangkan untuk membantu mereka bangkit semula.
Harapan besar saya adalah institusi kewangan akan terus melakukan yang terbaik untuk memudahkan akses kepada pembiayaan bagi industri ini.
Industri pelancongan yang semakin berkembang akan memberi kesan positif kepada banyak industri sokongan lain dan mencerminkan semangat kerjasama Keluarga Malaysia, bukan sahaja untuk bertahan tetapi sama-sama berkembang maju. Insya-ALLAH.
* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan
Klik di sini untuk terus membaca