RAKYAT telah menerima berita gembira daripada Perdana Menteri mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000. Saya pun tumpang gembira. Bak kata pepatah, bagai si mandul mendapat anak. Cuma saya ada... Klik di sini untuk terus membaca

RAKYAT telah menerima berita gembira daripada Perdana Menteri mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Saya pun tumpang gembira. Bak kata pepatah, bagai si mandul mendapat anak. Cuma saya ada terfikir, kalau saya boleh mengeluarkan wang KWSP itu, apakah yang hendak saya lakukan.

Antara yang terlintas adalah untuk membeli emas. Tidaklah saya tahu hendak membeli emas perhiasan atau simpanan. Mungkin isteri saya akan gembira apabila mendengar jika saya membeli emas perhiasan untuk dipakainya.

Isteri saya juga ada memberi ulasan daripada cadangan netizen di media sosial. Kata isteri saya: "Awak tengok ni. Boleh fikir juga cadangan netizen ini.”

Antara yang sempat saya baca ialah membeli emas, berniaga, bayar hutang tertunggak disebabkan kehilangan pekerjaan, perbelanjaan untuk persediaan buka sekolah dan ada yang bercadang memberi wang kepada ibu bapa.

Ia adalah duit persediaan persaraan, rasanya ia perlulah diserahkan kepada rakyat sendiri dalam merancang masa tua. Bak kata pepatah, rakyat jelata tahu di dalam lubuk.

Namun, biasanya ada juga tidak bersetuju duit KWSP dikeluarkan. Katanya, ia akan menyebabkan rakyat sengsara masa tua nanti kerana tiada pendapatan.

Rasanya mungkin yang sengsara, agaknya rakyat bekerja swasta sahaja. Yang bekerja kerajaan, tidaklah sengsara dan menderita. Mereka mungkin boleh mendapat pencen bulanan dan katanya hendak bersara pun ada hadiah gratuiti.

Rasa saya lagi ketika membaca akhbar, yang mengatakan tidak bersetuju, mungkin yang bekerja kerajaan, gajinya banyak. Selain itu, mereka bukanlah orang biasa. Mereka terdiri daripada cerdik pandai.

Baguslah jika mereka mengambil berat kesusahan rakyat, cuma bercakap dengan keadaan duduk di kerusi empuk, gaji besar, ada simpanan banyak dan mungkin cerdik pandai berpangkat besar, lain pemahamannya.

Jika setakat buat kaji selidik secara bersenang-lenang sambil memberi arahan untuk orang lain menjalankan kerja, mungkin kita tidak akan mendapat gambaran sebenar. Bak kata pepatah, agak lebih daripada agih.

Walaupun ada yang boleh mengambil wang KWSP, masih ada ramai juga yang katanya KWSP tidak layak kerana simpanannya kurang daripada RM10,000. Maka, tidak timbul isu persaraan tidak cukup.

Yang perlu ditekankan di sini, bagaimana untuk membantu mereka yang kurang wang persaraan. Kebanyakan mereka mungkin mempunyai gaji kecil, tidak bekerja dan berniaga kecil-kecilan.

Molek sangat bijak pandai kita berfikir masalah itu. Khabarnya untuk menaikkan gaji minimum ada dicadangkan sebelum ini. Mungkin masih tidak mendapat keputusan atau dibentangkan lagi.

Baru-baru ini kerajaan juga ada memberitahu tentang banyaknya kerja kosong. Tidaklah saya tahu statistik ia sudah dipenuhi atau tidak, atau bagaimana kriteria majikan untuk mengambil pekerja-pekerja tersebut.

Selain itu, perlu diambil kira mereka yang mempunyai kelulusan, adakah kerjanya setimpal dengan kelulusannya. Perkara itu semuanya berkait rapat dengan persediaan hari tua.

Tidaklah lagi saya tahu, sudah ada atau tidak kajian tersebut daripada bijak pandai kita. Mungkin mereka lebih sibuk memberi ulasan keadaan rakyat pada hari tua sahaja, yang mungkin akan menderita jika mengeluarkan KWSP.

Jadi, lebih baik bijak pandai kita tumpukan kajian bagaimana meningkatkan persaraan bagi mereka yang memang sudah tiada duit atau kurang dalam KWSP, berbanding mereka yang jika mengeluarkan wang KWSP masih ada banyak bakinya.

Molek juga memberi sokongan keperluan gaji minimum dinaikkan, yang sepatutnya ditukar kepada ‘gaji perlu’. Kerajaan juga perlulah lebih proaktif menangani masalah kenaikan barang.

Dan lebih penting, bantuan kepada rakyat memerlukan hendaklah berterusan. Bukannya bertujuan hendak memanjakan rakyat seperti kata beberapa orang kaya dan ‘ada-ada’ tetapi memang hak rakyat yang memilih kerajaan supaya mereka dibantu.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca