HAKIKATNYA, manusia adalah ciptaan terbaik ALLAH SWT, namun, tidak ramai yang sedar dan bersyukur atas segala kenikmatan, kehebatan serta kelebihan yang ada pada diri mereka. Malah, masih ketara yang malas meneroka diri sendiri untuk... Klik di sini untuk terus membaca

HAKIKATNYA, manusia adalah ciptaan terbaik ALLAH SWT, namun, tidak ramai yang sedar dan bersyukur atas segala kenikmatan, kehebatan serta kelebihan yang ada pada diri mereka. Malah, masih ketara yang malas meneroka diri sendiri untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahannya.

Natijahnya, mula dengki dengan pencapaian orang lain, sedangkan mereka juga berpotensi dalam pelbagai perkara yang mungkin tiada pada orang lain. Selagi kita tidak berusaha menghargai dan mengenal diri, selagi itulah kita ralit mencerca orang lain tanpa berusaha memperbaiki kepincangan diri.

Sebetulnya, apabila seseorang itu berasa tidak hebat dan kuat, potensi untuk merendahkan orang lain sangat tinggi agar mereka tidak tertinggal jauh dalam apa juga persaingan. Pendek kata, segala isu dibongkar bagi tujuan melemahkan pesaing mereka.

Yang jelas, sikap sedemikian adalah sejajar dengan perspektif psikologi bahawa antara tujuan utama penghinaan terhadap seseorang adalah untuk merendahkan status sosial seseorang dan pada masa sama meningkatkan status sosial mereka.

Berkaitan dengan sikap suka mencerca dalam kalangan manusia, ALLAH SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Hujraat, 49:11).

Selain itu, daripada Abu Zar RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Al-Hassan al-Basri, seorang ulama Islam juga pernah meriwayatkan: "Barang siapa menyalahkan atau merendahkan saudaranya dengan dosa yang mana dia telah bertaubat kepada ALLAH dengannya, dia akan diuji oleh ALLAH SWT dengan dosa yang sama.” Pun begitu, walaupun larangan keras terhadap sikap suka mencerca adalah cukup jelas, namun tabiat sedemikian tidak pernah pudar dan surut gejalanya dalam kehidupan kita pada masa dahulu, kini dan akan datang. Justeru, terserahlah kepada kita untuk meneruskan ‘legasi’ cercaan tersebut.

Pada hemat saya, berusahalah jadi diri sendiri tanpa mencela orang lain. Bagi menjauhkan diri daripada sikap suka mencela, kita perlu jernihkan jiwa daripada perasaan dengki, marah, takbur dan taasub kepada diri sendiri.

Pendek kata, selagi ada penyakit-penyakit berkenaan, selagi itulah kita akan terus mencerca orang lain. Ingatlah, tidak semua hari adalah milik kita, akan ada harinya adalah milik orang lain. Pada masa itulah kita akan tahu langit itu tinggi atau rendah.

Berkaitan dengan kejayaan diri, janganlah berasa malu, terkilan dan kecewa jika rezeki serta kedudukan kita tidak sebanyak dan setinggi orang lain.

Sedarlah, aturan ALLAH SWT adalah sangat berbeza dengan perancangan kita kerana ALLAH SWT lebih tahu apa yang terbaik untuk kita pada masa dahulu, kini dan akan datang. Gigihlah berusaha mengenal kekuatan diri sendiri agar tidak lagi mencerca orang lain untuk menempa kejayaan diri.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca