HARGA minyak mentah melambung tinggi sejak Rusia menyerang Ukraine tetapi para pakar menyatakan bahawa negara-negara Arab di Teluk yang mengeluarkan minyak tidak mampu atau bersedia meningkatkan pengeluaran bagi membantu membendung kenaikan... Klik di sini untuk terus membaca

HARGA minyak mentah melambung tinggi sejak Rusia menyerang Ukraine tetapi para pakar menyatakan bahawa negara-negara Arab di Teluk yang mengeluarkan minyak tidak mampu atau bersedia meningkatkan pengeluaran bagi membantu membendung kenaikan tersebut.

Menteri Ekonomi Jerman, Robert Habeck pada Selasa lalu membuat rayuan kepada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang dipimpin oleh Arab Saudi bagi mendesaknya untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah bagi menghalang kenaikan harganya.

Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pula mengumumkan larangan import minyak dan gas dari Rusia manakala Britain menyatakan bahawa ia akan menghentikan import minyak mentah dari negara itu pada akhir tahun ini.

Rusia ialah pengeluar gas terbesar di dunia dan pengeluar minyak ketiga terbesar di dunia.

Media AS turut melaporkan bahawa kemungkinan seorang pegawai akan berkunjung ke Riyadh untuk meyakinkan Arab Saudi bagi meningkatkan pengeluaran minyak mentahnya di pasaran.

Seorang penganalisis, Amena Baker daripada syarikat maklumat tenaga, Energy Intelligence menyatakan OPEC kini menganggarkan bahawa eksport minyak mentah dan produk minyak bertapis Rusia telah menurun kira-kira tiga juta tong sehari dan boleh menyusut sebanyak dua juta tong sehari pada minggu depan atau lebih.

Satu-satunya anggota OPEC yang dapat membekalkan lebih banyak minyak adalah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Iraq.

Bagaimanapun, dengan anggaran kapasiti rizab hanya berjumlah 2.5 juta hingga tiga juta tong sehari, ia masih tidak cukup untuk menebus penurunan eksport Rusia.

Adakah harga akan jatuh jika negara-negara Arab di Teluk meningkatkan pengeluaran minyak mentah di pasaran?

Ya, secara teorinya ia akan berlaku.

Namun, dengan menggunakan simpanan atau rizab minyak, ia akan mengehadkan ruang negara pengeluar minyak untuk bergerak sekiranya berlaku gangguan bekalan yang selanjutnya dan harga akan mengambil kira perkara itu.

"Harga mungkin tidak menurun dengan banyak dan pasaran akan terdedah kepada sebarang gangguan bekalan yang tidak dapat dikendalikan oleh pihak pembekal," kata Yousef Alshammari yang merupakan Ketua CMarkits, sebuah firma penyelidikan pasaran.

Rusia menduduki tempat ketiga dari segi pengeluaran minyak mentah di dunia. - Foto AFP

Beliau menyatakan bahawa harga minyak mentah akan kekal dalam tiga angka kerana mencerminkan risiko geopolitik.

Dalam pada itu, Baker menyatakan bahawa terdapat kebimbangan bahawa pasaran minyak akan berdepan dengan kepanikan jika semua kapasiti minyak rizab telah digunakan.

Negara-negara Teluk boleh bertindak secara koordinasi.

Ia boleh dilakukan menerusi OPEC dan melalui sekutu yang dipimpin oleh Rusia dalam kumpulan OPEC+ untuk mengelakkan perang harga minyak mentah di pasaran.

Robin Mills iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Qamar Energy yang berpusat di Dubai dan merupakan syarikat perunding tenaga menyatakan bahawa sukar untuk mencapai persetujuan dalam OPEC+ untuk mengeluarkan minyak mentah pada tahap yang lebih tinggi yang mana kebanyakan anggotanya sudah mengeluarkan minyak mentah pada tahap maksimum.

OPEC+ yang ditubuhkan pada tahun 1973 ialah negara-negara pengeksport minyak tetapi tidak menganggotai OPEC yang diketuai Arab Saudi.

Rusia sendiri adalah ahli OPEC+.

Setakat ini, Arab Saudi dan UAE mengelak daripada mengambil kedudukan menentang Rusia dan kecewa dengan sikap AS dalam pelbagai isu keselamatan, kata Mills.

Arab Saudi dan UAE merupakan anggota perikatan tentera yang diketuai oleh Riyadh yang menyokong kerajaan Yemen menentang kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran.

Kedua-dua negara berkenaan juga menuduh AS tidak mengambil pendirian yang cukup kuat terhadap kumpulan pemberontak tersebut dalam perang saudara di Yemen yang meletus sejak tahun 2014 sehingga kini. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca