KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan percaya tindakan pihak pembangkang memperlakukan pemimpin UMNO terpalit kes mahkamah ibarat 'orang yang sudah ditimpa tangga dan disepak pula kepalanya' akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Jelas beliau, hal itu dapat dibuktikan apabila rakyat negeri Melaka dan Johor tetap menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing sebelum ini, meskipun majoriti pemimpin parti pembangkang menjadikan agenda serangan peribadi pemimpin 'kluster mahkamah' sebagai model utama berkempen.
Pernah dianggap salah seorang pemimpin 'kluster mahkamah', Ahmad berpandangan seseorang yang sudah dijatuhkan pihak lawan, individu itu sepatutnya dibiarkan meneruskan kehidupan dan jangan diselongkar perkara-perkara yang tidak sepatutnya diada-adakan.
Lebih-lebih lagi, beliau menjelaskan pemimpin dituduh pastinya tidak akan berdiam diri dan sentiasa membuat penjelasan terhadap isu kes mahkamah yang dikaitkan ke atas mereka.
"Orang Melayu ada satu sifat kasihan dan mereka tidak mahu menyepak kepala 'orang yang sudah jatuh ditimpa tangga'.
"Bagi saya, kalau orang sudah jatuh, biarlah dia meneruskan kehidupan dan jangan diselongkar perkara yang tidak sepatutnya diada-adakan.
"Macam Datuk Seri Najib (Tun Razak), beliau sentiasa menulis dan membuat penjelasan dalam laman Facebooknya apabila timbul segala perkara berhubung kait isu-isu yang melibatkan kes mahkamahnya. Jadi orang akan bertambah faham dan akhirnya membuat rumusan kes dihadapi beliau adalah drama politik yang tidak wujud," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pontian itu turut menunjukkan kisah Najib atau lebih dikenali sebagai 'Bossku' yang kembali popular di mata rakyat sebagai bukti peringatan bahawa 'orang yang telah jatuh, jangan ditimpakan tangga dan disepak kepala'.
Tambahnya, apabila orang mula menyedari rumusan kes dihadapi oleh bekas Perdana Menteri itu dan pemimpin kluster mahkamah lain tidak lebih sekadar 'kluster dendam politik', Ahmad mengaku rakyat kembali kasihan kepada 'Bossku' dan UMNO.
"Ini menunjukkan bahawa 'orang yang telah jatuh, jangan ditimpakan tangga dan disepak kepala'. Kelak perbuatan itu akhirnya akan memakan diri mereka sendiri. Kejayaan PRN Melaka dan Johor adalah satu pengajaran besar kepada pembangkang," ujarnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca