SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) wajar mempertimbangkan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam usaha melawan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjangkakan wujudnya pakatan antara parti pembangkang lain itu satu keputusan yang baik.
Beliau berkata, ia berikutan PH sebelum ini sudahpun memperkenalkan ‘khemah besar’, menghimpunkan semua tenaga yang menolak UMNO-BN serta kerajaan korup.
"Jadi kalau mereka (Pejuang) nampak perkara itu sebagai satu keperluan untuk mewujudkan kekuatan pembangkang, maka sudah tentu kami menerima kerjasama tersebut.
"Ini yang kita harapkan kerana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini, kita dapat saksikan bahawa parti pembangkang yang berpecah telah memecah-belahkan undi,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua pula mengakui bahawa parti pembangkang tidak mempunyai pilihan lain selain mewujudkan kerjasama demi mencapai objektif yang sama.
"Justeru, semua parti pembangkang harus mencari formula untuk bekerjasama bagi memastikan pencapaian yang kita peroleh pada PRU yang lalu dapat dikekalkan.
"Sejak pembangkang bergabung, kita berjaya memperluaskan pengaruh, malah dapat menentang kuasa sedia ada. Jadi, bagi saya sendiri memang meletakkan keutamaan untuk memupuk kerjasama dalam kalangan semua parti,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca