WASHINGTON - Sejak meletusnya perang Ukraine pada 24 Februari lalu, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya-sekutunya di Eropah menyokong pelbagai sekatan ekonomi dilakukan terhadap Rusia kerana menyerang negara berkenaan.
Perang itu mendapat liputan meluas menerusi media sosial dan akhbar-akhbar di Barat, namun kecepatan negara-negara kuasa besar serta Barat bertindak balas dianggap sebagai berat sebelah berbanding konflik yang berlaku di Palestin.
Serangan ke atas Ukraine turut mendapat reaksi berlebihan dalam dunia sukan apabila Rusia turut dikecualikan daripada menyertai dan menjadi tuan rumah beberapa acara sukan, manakala Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melarang negara tersebut daripada menyertai pertandingan anjurannya.
Malah, pakar media, wartawan dan tokoh politik telah dituduh bertindak berat sebelah apabila memuji penentangan yang dilakukan oleh tentera Ukraine terhadap askar-askar Rusia.
Seorang wartawan kanan stesen penyiaran televisyen CBS News di Kiev, Charlie D’Agata dilaporkan pernah berkata bahawa keadaan di Ukraine tidak seperti di Iraq atau Afghanistan yang telah menyaksikan perang berlaku selama beberapa dekad.
Menurutnya, Ukraine lebih bertamadun berbanding Iraq dan juga Afghanistan.
Kenyataannya itu pula diikuti dengan komen negatif daripada pelbagai pihak dan wartawan kanan itu pula akhirnya meminta maaf, selain menyatakan beliau tidak boleh membandingkan perang Ukraine dengan Iraq serta Afghanistan.
Badan Penyiaran British (BBC) pula pernah menyiarkan komen daripada bekas Timbalan Pendakwa Raya Ukraine, David Sakvarelidze.
Komen itu menyatakan beliau berasa sangat emosional kerana melihat penduduk Eropah berambut perang dan bermata biru dibunuh dengan peluru berpandu tentera Rusia serta helikopter dan roket. Kenyataan itu lebih memihak kepada Ukraine.
Baru-baru ini pula, Kesatuan Eropah (EU) dan Britain melarang eksport barangan mewah ke Rusia.
Kesatuan itu juga memasukkan nama beberapa bilionair dan golongan kaya Rusia termasuk Roman Abramovich yang sebelum ini merupakan pemilik kelab bola sepak Chelsea di Britain ke dalam senarai yang membolehkan aset-aset mereka seperti kapal layar dan rumah agam dirampas di EU.
AS dan Britain turut melarang pengeksportan minyak dari Rusia, manakala beberapa jenama makanan dan minuman popular mengumumkan menggantung perniagaan di Rusia.
Begitu juga, beberapa syarikat kewangan seperti Goldman Sachs dan JP Morgan tidak mahu lagi beroperasi di Rusia.
Malah, sejumlah syarikat gergasi perniagaan dalam bidang automobil, tenaga, teknologi, penerbangan, komputer, permainan video, aplikasi media sosial, tenaga, perakaunan, perlombongan, media hiburan, fesyen, perabot dan peruncitan tidak lagi mahu melakukan perniagaan di negara tersebut.
Baru-baru ini pula, Presiden AS, Joe Biden menggelar rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin sebagai penjenayah perang.
Semua itu tidak pun dilaksanakan di Palestin ketika wilayah berkenaan masih lagi ditindas oleh Israel selepas menjajah Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat, Genting Gaza, Bukit Golan dan Semenanjung Sinai pada tahun 1967.
Pengasas bersama laman berita The Electronic Intifada dan pengarang The Battle for Justice in Palestin, Ali Abunimah pernah berkata bahawa Israel sudah tentu tidak boleh melakukan tindakan penindasan itu tanpa sokongan atau persetujuan AS dan Eropah.
Ironinya, salah satu daripada beberapa negara yang bersedia mengikuti AS bagi mengiktiraf penjajahan haram Israel ke atas Baitulmaqdis adalah kerajaan Ukraine yang disokong oleh Washington dan EU di Ukraine.
Presiden Ukraine ketika ini ialah Volodymyr Zelenskyy yang berketurunan Yahudi.
Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett pula dilaporkan berusaha untuk menamatkan pencerobohan tentera Rusia apabila beliau sanggup pergi ke Moscow untuk berbincang secara bersemuka dengan Putin bagi mencari rundingan damai tentang Perang Ukraine.
Isu Ukraine didapati lebih penting berbanding dengan penjajahan Israel ke atas Palestin yang secara terang melakukan jenayah kemanusiaan kerana ramai penduduknya terkorban sejak tahun 1940-an lagi.
Profesor Khaled A Beydoun dari Sekolah Undang-Undang Wayne State University, AS pernah menulis artikel dalam akhbar Washington Post baru-baru ini bahawa penduduk Palestin kerap menentang rampasan rumah mereka di Sheikh Jarrah dan wilayah pendudukan lain dan mereka digelarkan sebagai ‘pengganas’.
Katanya, pembunuhan dilakukan berulang kali di Gaza oleh Israel tetapi dipertahankan dengan alasan yang sama digunakan ke atas Putin bahawa wanita dan kanak-kanak digunakan sebagai perisai manusia.
Namun, gelaran penjenayah perang tidak pernah diberikan oleh AS ke atas beberapa Presiden dan Perdana Menteri Israel yang membenarkan penjajahan serta penindasan berlaku ke atas penduduk Palestin.
Pemain skuasy dari Mesir, Ali Faraq berkata, konflik Palestin tidak dipaparkan dalam berita kerana dianggap tidak sesuai dengan naratif media Barat.- Agensi
Klik di sini untuk terus membaca