KEBELAKANGAN ini kerap kedengaran penggunaan perkataan ‘rakyat’. Siapa rakyat sebenarnya? Malaysia merupakan sebuah negara yang latarnya aneka ragam, rencam, pelbagai dan majmuk dengan rumpunan agama serta etnik yang berbeza dari semenanjung sehingga ke negeri-negeri Borneo.
Namun, ia tidak memberikan keabsahan berbeza kerana masing-masing adalah rakyat bumi ini, Malaysia.
Rakyat merupakan warganegara yang ada nilai jati diri, semangat nasionalis dan memahami konsep ‘bela negara’. Disebabkan perbezaan proses perbandaran, maka ada yang menghuni di kawasan luar bandar, separa bandar dan bandar.
Rakyat juga berbeza umur, pekerjaan, gaji, gender dan lain-lain. Maka, dalam stratifikasi masyarakat ada yang dinamakan sebagai kelas atasan, kelas pertengahan dan kelas bawahan. Jurang antara kelas semakin membesar sehingga ada sebahagian sudah menjadi elit masyarakat yang hidup mewah berbanding sekelompok lagi yang hidup ‘makan pagi kais pagi, makan petang kais petang’. Apakah rakyat tahu siapa mereka?
Laungan nama rakyat sering diteriak ketika ada pilihan raya atau perjumpaan yang mahukan sokongan mereka sama ada untuk mendapatkan kuasa atau pangkat dan kedudukan dalam organisasi dan pertubuhan.
Wajarkah rakyat menjadi mangsa percaturan segelintir pihak yang meniup semangat assabiyah, menyenaraikan janji dan beria-ria melakukannya untuk survivalisme perjalanan karier mereka sama ada sebagai pemimpin dan parti politik, calon pilihan raya atau bertanding sesuatu jawatan.
Selepas sesuatu tempoh, euphoria ini muncul semula dengan dendangan naratif yang sama, lakonan yang menjijikkan tanpa rasa malu dan janji yang tidak berubah seolah-olah yang dilaungkan beberapa tahun lalu tidak dapat dilaksanakan.
Berapa lama lagi rakyat perlu menerima ungkapan seperti ini? Tidakkah wujud perasaan tanggungjawab dan amanah untuk memenuhi kemahuan, keperluan dan membaca pemikiran rakyat yang dahagakan sistem sokongan sosial padu, ampuh dan dipenuhi, bersesuaian dengan setiap kumpulan sasar seperti kanak-kanak, belia, dewasa dan warga emas.
Rakyat tanah air ini unik, mudah dipujuk dan emosinya mahu memberi kemaafan dengan harapan akan ada perubahan. Ia sudah tidak bersifat kekal.
Kadar celik huruf semakin meningkat. Berhati-hati dengan Undi 18. Rakyat memahami bahawa mereka juga ada harga diri. Rakyat sudah mula membantu sesama mereka dengan tanggapan apa perlu terus bertaut di dahan kepalsuan.
Ia tidak dirujuk pada semua kerana ada yang berusaha siang dan malam memberikan bantuan dan apa sahaja yang boleh dilakukan. Konteks ini menyebabkan mereka dihargai. Jika mereka bertanding dalam pilihan raya, rakyat pasti tahu inilah ‘wira’ mereka tanpa perlu berfikir dua kali.
Hatta, bangkitlah pemimpin, pihak berwajib dan yang berautoriti. Rakyat mahukan kehidupan mereka kembali pada yang asal. Rakyat di Putrajaya bergaji RM4,500 dengan sebuah keluarga empat orang anak, apakah mampu menikmati rasa hidup sebagai rakyat yang selesa dengan nilai kesejahteraan, gembira dan seronok atau bergelut mencari pekerjaan sampingan bagi menampung kos sara hidup semakin meningkat, pendidikan, pinjaman dan penjagaan orang tua masing-masing. Bayangkan bagaimana yang bergaji RM2,500? Barangkali di kawasan luar bandar juga sudah tidak cukup kerana harga barang tidak mengikut demografi dan geografi.
Sudah tiba masanya kesemua pihak memainkan peranan kerana mereka juga bernama rakyat. Sistem penyampaian negara ini amat baik, sebagaimana setiap rangkaian kuasa boleh melakukan koordinasi dan menampakkan kebergantungan untuk membantu rakyat.
Ketirisan dan kecairan agenda rakyat mesti dielak. Ia tidak boleh dilakukan berseorangan. Dekati rakyat sebagaimana cubaan dilakukan setiap kali memerlukan undi dan sokongan mereka.
Ia tidak boleh bermusim tetapi setiap masa supaya tidak ada yang terperangkap dengan kemiskinan tegar bandar mahupun luar bandar. Malaysia merupakan negara maju. Agak menyedihkan bila melihat dari jarak tidak sampai 30 kilometer dari bandar, ada yang masih daif. Hargai maruah ‘rakyat’ dengan ‘merakyatkan kepimpinan’.
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca