SEIRING usaha sasaran negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, Sarawak konsisten dengan matlamat mahu menjadi negeri maju berintegriti tinggi.
Justeru pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan hasrat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu mampu dicapai mengikut landasan tepat antaranya mewujudkan Unit Integriti dan Ombudsman bagi membudayakan integriti, meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus kerajaan serta badan berkanun negeri.
Berkongsi mengenai peranan dan matlamat unit berkenaan, Sinar Ahad berpeluang menemu bual Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai usaha yang telah dilakukan sepanjang memegang portfolio berkenaan selain ketersediaan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan Rasuah Busters dalam menangani isu integriti dan rasuah.
Ikuti kupasan Juanda kepada wartawan Sinar Ahad, DIANA AZIS dan jurukamera, MUHAMMAD HAFIZ ADNAN
di Kuala Lumpur baru-baru ini.
SINAR AHAD: Boleh Datuk terangkan kepada masyarakat di Semenanjung mengenai peranan dan fungsi Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak?
JUANDA: Unit Integriti dan Ombudsman yang diletakkan di bawah Jabatan Premier Sarawak telah diwujudkan sejak Februari 2018 iaitu merupakan satu inisiatif kerajaan Sarawak bagi memastikan disiplin pegawai-pegawai kerajaan serta rakyat terutama dari segi integriti akan dapat ditingkatkan kerana kerajaan Sarawak sedang merancang kearah Sarawak Maju 2030. Hasrat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah untuk memastikan Sarawak bukan hanya maju pada tahun 2030 tetapi dari segi human resources, kakitangan kerajaan, kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), rakyat jelata termasuk semua peringkat daripada pemimpin pelosok kampung adalah rakyat yang berintegriti dan berkeperibadian tinggi sesuai dengan kemajuan yang akan diperoleh kelak. Jadi unit ini akan membantu pihak kerajaan memastikan disiplin dalam kalangan pegawai kerajaan dan agensi di bawahnya di samping pegawai awam, pemimpin masyarakat, pemimpin politik, termasuk rakyat akan dibimbing dari sudut program integriti, seminar, engagement atau apa sahaja yang boleh dilakukan.
Di samping itu, di bawah unit ini juga diwujudkan Unit Ombudsman iaitu menerima apa sahaja aduan daripada rakyat, keluh kesah mereka selaras dengan dasar perundangan di negara kita yang melindungi whistle blower. Ini merupakan perkara penting, kita mahu mendengar keluhan rakyat secara langsung tetapi keluhan yang sifatnya konstruktif, ada data, ada bukti dan mereka mungkin rasa kecewa kerana tidak ada tindakan daripada pihak penguat kuasa yang sepatutnya, maka kita buka ruang kepada rakyat untuk datang ke pejabat, berhubung dengan pegawai dan semestinya identiti mereka akan dilindungi untuk kita memastikan delivery kerajaan dapat diperkemaskan lagi. Ini adalah inisiatif bagi memastikan kelak apabila Sarawak maju, kita sebaris dengan standard yang ada pada negara-negara maju lain. Ia merupakan suatu cita-cita yang tinggi tetapi saya yakin dan percaya dengan perubahan yang ada di dunia pada hari ini, dengan ketelusan yang berlaku di mana-mana, kita ingin wujudkan sebuah kerajaan yang baik, jujur, amanah, benar-benar antirasuah di semua peringkat. Apabila kita sebut antirasuah ia bermaksud, kita anti kepada segala bentuk salah guna kuasa pada semua peringkat. Ia bukan hanya berlaku di peringkat bawahan, tetapi juga peringkat atasan dan kita bimbang sekiranya ia tidak sentiasa diperingatkan, ia akan jadi satu budaya yang kelak kita bimbang kalau tidak diatasi daripada awal, boleh meruntuhkan negara kita.
Setakat ini, bagaimana penerimaan rakyat tentang unit ini di Sarawak?
Alhamdulillah, sekitar tiga tahun pertama unit ini bergerak, kita telah melakukan libat urus kepada lebih 46,000 peserta yang hadir pada program-program kita. Waktu pandemik tahun lepas sekitar 40,000 orang menyertai setelah mereka mengetahui wujudnya unit ini dengan libat urus rakyat secara bersemuka ataupun dalam talian. Ini menunjukkan bahawa rakyat boleh menerima perubahan, kita amat bangga kerana di Sarawak, kita ada political will untuk mendengar keluhan, cadangan, pandangan daripada akar umbi dan beri saluran rasmi untuk rakyat salurkan pandangan mereka. Secara peribadi saya melihat apa sahaja aduan daripada rakyat, ia pasti akan dilayan untuk diselesaikan dan proses ini sentiasa diperbaiki untuk kebaikan dari masa ke masa.
Apakah inisiatif yang sedang dan akan dirancang oleh Unit Integriti dan Ombudsman untuk menuju Sarawak Maju 2030?
Insya-ALLAH untuk baki tahun 2022, kita merancang untuk mengadakan roadshow integriti ke semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, adakan libat urus di semua peringkat, pimpinan politik, pegawai kanan kerajaan, ketua masyarakat, penduduk kampung, anak-anak di sekolah, pelajar universiti dan di mana sahaja peringkat masyarakat kita akan minta untuk hadir ke majlis berkaitan integriti, kepentingan ombudsman bagi memastikan delivery kerajaan dapat dirasai oleh semua pihak. Sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa atau peraturan tidak dipenuhi, ada aduan rakyat yang tidak dilayan oleh agensi penguatkuasaan, insya-ALLAH unit kami akan membantu rakyat bagi memastikan kehendak mereka dilayan. Penyalahgunaan kuasa tidak akan terlepas dan kita akan pastikan cadangan dan pandangan rakyat akan dibawa ke pentadbiran tertinggi negeri bagi memastikan kelancaran sistem penyampaian. Saya gembira kerajaan Sarawak mengambil inisiatif sendiri, berani berhadapan dengan rakyat dengan mewujudkan unit besar di bawah Jabatan Premier Sarawak bagi memastikan apa yang kita lihat pembangunan fizikal seiring sikap dan keperibadian rakyat negeri ini.
Boleh Datuk kongsikan apakah tindakan yang telah atau akan dikenakan terhadap mereka yang dikesan melakukan rasuah menerusi unit tersebut?
Saya boleh kongsi satu contoh mengapa pentingnya unit ini ditubuhkan. Setiap tahun ada laporan Audit Negara. Di Sarawak kita ada satu tapisan yang dipanggil Unit Audit Dalaman di bawah Jabatan Premier Sarawak. Kebiasaannya pihak audit akan memberi nasihat kepada jabatan berkenaan tentang tindakan yang perlu diambil. Kita tidak nafikan ada sebahagian jabatan ini ‘nakal’. Audit memberi nasihat, jawapan mereka mudah sahaja, tindakan sedang diambil. Bilakah sedang itu, tiada siapa yang tahu. Ia sudah menjadi satu skema jawapan yang menyakitkan hati sebenarnya. Antara tugasan unit kami adalah memastikan semua agensi yang ditegur oleh pihak audit mengambil tindakan, ada time frame yang ditetapkan. Sekiranya mereka tidak mengambil tindakan, kami ada kuasa untuk memanggil agensi berkenaan duduk bersama dengan audit bagi memastikan tindakan itu diambil.
Demikian juga dengan aduan rakyat yang kadang-kadang sifatnya agak sensitif, pengadu terpaksa datang sebagai anonymous
tetapi dia ada fakta pada apa yang dibuat. Ini peranan ombudsman untuk melayan perkara seperti ini. Ertinya berlaku kezaliman, ketidakpuasan hati, pelanggaran penggunaan kuasa, jika dilaporkan pengadu bimbang akan dianiaya. Sekiranya kita dapati ada asas, pihak yang berkenaan akan dipanggil dan kita ikut standard yang diamalkan peringkat antarabangsa, saksi dilindungi. Bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi penyelesaian.
Mesyuarat Ombudsman dilakukan setiap dua bulan sekali untuk menyemak apa sahaja aduan dan tindakan diambil, pihak yang berkenaan akan dipanggil untuk bersemuka. Segala follow up itu akan dilaporkan secara langsung kepada Premier Sarawak.
Ini inisiatif pertama kali wujud dalam negara kita yang mana kerajaan sendiri wujudkan lapisan ketiga bagi memastikan kepuasan hati rakyat itu dicapai dan memastikan pihak yang diberikan amanah dan kuasa menjalankan tanggungjawab sebagai mana sepatutnya. Berkenaan kuasa pemenjaraan, denda dan sebagainya, kita tiada buat masa ini kerana ordinan berkaitan dengan integriti dan ombudsman belum ada, walaupun pihak kerajaan sudah sediakan draf untuk perkara ini. Parlimen juga saya dengar sudah ada draf berkaitan akta ombudsman, kita bersedia lebih awal dengan pelaksanaan untuk memastikan terutama pada zaman digital kini yang orang boleh buat aduan di media sosial, agensi kerajaan mesti bertindak. Saya rasa usaha besar kerajaan Sarawak adalah untuk memastikan kerajaan terus kukuh, utuh, telus dan sentiasa berada pada pihak yang menjaga kepentingan rakyat.
Difahamkan Unit Integriti dan Ombudsman sedia jalin kerjasama dengan pasukan Rasuah Busters. Boleh Datuk kongsikan dengan terperinci mengenai perancangan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat?
Alhamdulillah negara kita sentiasa wujud orang yang baik hati, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang jujur dan ikhlas dalam bersama-sama ingin melihat Malaysia maju dan bertamadun setaraf dengan negara maju lain. Saya dapati Rasuah Busters telah melakukan usaha yang besar bagi membantu kerajaan dan rakyat mewujudkan kesedaran buruk terhadap rasuah.
Kesan perbuatan rasuah itu merosakkan negara sehingga merugikan bergenerasi rakyat pada masa akan datang. Bayangkan, ada satu projek jalan raya di tengah hutan belantara, ramai orang tidak tahu tetapi ada kelulusan, ada bajet, dari atas sampai bawah ada rasuah, duit dibelanjakan, projek diluluskan, laporan siap tetapi di atas tanah, jalan raya itu tidak wujud. Apa sebab, tiada siapa yang tahu, yang tahu mereka yang meluluskan, bersekongkol dalam perkara ini. Penduduk kampung sudah bertahun-tahun tunggu jalan raya itu siap. Apabila mereka memohon, didapati sudah siap. Tetap realitinya di rumah panjang kampung mereka jalan raya tidak wujud. Betapa ruginya kerajaan, rakyat dan kerana itu saya lihat usaha Rasuah Busters menepati keperluan semasa negara pada saat Malaysia sedang menuju negara maju. Kita mahu pelabur luar yakin dengan negara dan rakyat juga yakin dengan sistem negara, tetapi pengkhianat yang cuba merosakkan negara, mereka mesti dibasmi daripada awal. Tidak dinafikan, rasuah akan dibicarakan, yang bersalah akan dipenjarakan, bagaimana untuk memutuskan rantaian.
Di sini saya lihat peranan Rasuah Busters mesti disokong dan di Sarawak, kami perlu banyak sokongan, bantuan dan dokongan, join synergy terutama dengan NGO yang aktif seperti Rasuah Busters. Kami sentiasa mengalu-alukan sokongan, bantuan dan join synergy bersama terutama kerana pasukan ini diketuai oleh Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang merupakan antara gergasi media dalam negara, yang pasti ada pengaruh besar kepada media massa. Saya yakin dan percaya tentang kejujuran rakan-rakan dalam Rasuah Busters ingin melihat negara kita bersih daripada amalan yang buruk seperti ini.
Apabila sebut bersih, itu kira matlamat yang cukup ideal, yang hampir mustahil dicapai, alangkah baiknya usaha ini diteruskan dan kekalkan. Kerajaan Sarawak ingin melihat usaha Rasuah Busters tidak hanya terhad di Semenanjung Malaysia tetapi turut berlaku di Sarawak dan insya-ALLAH kita akan merangka bentuk kerjasama yang boleh dilakukan. Kerajaan negeri sedia berkongsi apa yang kita buat di Sarawak kepada rakan-rakan di Semenanjung dan sudah pasti kami ingin pengalaman banyak Rasuah Busters dapat dikongsikan bersama di Sarawak.
Apakah nasihat Datuk kepada pemimpin negara dalam isu integriti dan rasuah?
Apabila kita sebut soal integriti, ia satu konsep yang amat jitu kerana kita ingin membentuk manusia yang jujur, bersih, amanah, ada maruah diri, tahu malu untuk melakukan jenayah sama ada secara terang-terangan, apatah lagi jenayah secara tersembunyi.
Kita tahu manusia itu selagi dia masih hidup, dia terdedah dengan apa sahaja keadaan. Bersih atau tidak seseorang itu hanya diketahui pada hari kematian. Sebab itu usaha memberi kesedaran tentang pentingnya integriti, maruah diri, patuh kepada undang-undang dan peraturan ialah satu usaha yang mesti dilakukan secara berterusan. Kita tahu godaan kepada manusia ini adalah nafsu, iblis dan syaitan akan sentiasa mengganggu mereka, keadaan sekeliling akan sentiasa mempengaruhi mereka. Satu perkara yang pasti, manusia ada hati nurani. Kalau kita ketuk hati nurani, kita bercakap kepada minda dia yang waras, dia akan terfikir perkara besar yang dipanggil maruah diri.
Manusia bila ada sifat malu, dia ada maruah diri namun bila dia hilang sifat malu, dia tidak peduli nak buat apa pun. Ini faktor penanaman nilai dalam diri manusia yang mesti kita buat secara berterusan setiap hari kerana godaan itu datang dalam pelbagai bentuk dan pada bila-bila masa.
Apabila wujud suasana yang baik, manusia akan ada rasa malu melakukan jenayah, maksiat sama ada ia berdosa dari sudut agama atau salah dari sudut undang-undang. Manusia kreatif, mereka akan cari apa sahaja cara untuk menghalalkan perlakuan haram. Kita tahu ada istilah Robin Hood dan sebagainya. Sudah pasti semua agama dan peraturan tidak mengiktiraf perbuatan Robin Hood yang sebenarnya melakukan kejahatan walaupun atas niat kebaikan, apatah lagi kalau kejahatan itu dilakukan dengan niat yang terlalu jahat.
Justeru saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia, mulakan integriti dari diri sendiri, keluarga, sebarkan kepada masyarakat, tebarkan kepada segenap pelosok rakyat yang ada dalam negara bahawa kita adalah bangsa yang bermaruah, negara adalah amanah kerana kita sayangkan tanah air, mahukan Malaysia maju, memimpin membawa jenama sebagai negara maju yang amanah dan integriti.
Klik di sini untuk terus membaca