KELUARGA Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19 menuju ke arah peralihan endemik bermula 1 April ini, masih terkesan dalam membina semula kelangsungan hidup stabil diimbangi ekonomi yang kukuh.
Ada dalam kalangan rakyat Malaysia belum dapat menstabilkan kehidupan dari segi ekonomi gara-gara hilang punca pendapatan, simpanan persendirian dan rezeki perniagaan.
Bagi meringankan beban dan penderitaan rakyat jelata, kerajaan Malaysia sudah mengimplementasikan variasi pelan pemulihan ekonomi dari masa ke masa supaya keperluan harian mereka tidak terjejas sehingga mengundang musibah yang tidak diingini.
Terbaharu, kerajaan telah membenarkan pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil keputusan yang cukup sukar itu selepas meneliti senario terdesak rakyat untuk menampung keperluan harian yang terkesan susulan pengisytiharan pandemik Covid-19.
Pihak kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion.
Kira-kira 734 juta pencarum telah menerima bantuan kewangan itu dalam menguruskan perbelanjaan keluarga masing-masing sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.
Ketiga-tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang diperkenalkan sebagai langkah sementara bagi membantu para pencarum menempuh impak pandemik semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, akhbar harian Tamil Makkal Osai menyatakan KWSP berpendirian berlainan berhubung keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP RM10,000 itu.
Walaupun pada 1 April depan, permohonan untuk ahli KWSP bawah 55 tahun telah dibuka sehingga 30 April manakala tempoh bayaran pula akan bermula pada 20 April nanti.
Kali ini, KWSP telah bertegas pengeluaran khas seumpama itu adalah yang terakhir dan selepas ini pihaknya tidak akan mempertimbangkan untuk membantu pencarum dengan menggunakan duit hari tua itu.
Makkal Osai berkata, kerajaan telah membenarkan pengeluaran khas itu untuk kali keempat demi menjaga kebajikan rakyat jelata.
Bagaimanapun, pada masa ini kesemua sektor ekonomi dan perniagaan telah dibuka sepenuhnya dan orang ramai juga sudah mula bekerja semula dan memperoleh gaji daripada majikan masing-masing.
Ujar KWSP lagi, pihaknya risau kerana caruman wang yang disimpan adalah untuk penggunaan menjelang usia persaraan ahli-ahli, sebaliknya jika ia dikeluarkan sebegitu mudah tentu akan menyukarkan masa depan golongan pencarum.
Pelan pengeluaran khas terbaharu itu juga menyebabkan agenda utama KWSP yang menggalakkan rakyat untuk menyimpan duit sebagai persediaan hari tua mereka terganggu.
Justeru, rakyat terutama para pencarum diminta untuk mengekalkan simpanan mereka di dalam KWSP.
Pencarum dinasihatkan agar mengeluarkan duit simpanan itu sekiranya keadaan terdesak dan memerlukan.
Sekiranya keperluan mereka tidak sebegitu serius atau mendesak untuk menggunakan duit simpanan, biarlah ia disimpan dalam KWSP untuk masa depan mereka.
*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor
Klik di sini untuk terus membaca