SEMENJAK tercetusnya Perang Rusia-Ukraine hampir tiga minggu lalu menyaksikan sikap 'double standard' media Barat dalam laporan mereka. Artikel ini tidak bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada mangsa peperangan di Ukraine sebaliknya untuk mendedahkan unsur-unsur rasis dan berat sebelah laporan media arus perdana Barat seperti BBC, CBS, ITV UK dan The Daily Telegram.
Pertama, kekejaman yang dilakukan di Ukraine adalah tragedi manusia namun Ukraine bukan satu-satunya negara yang diserang oleh tentera Rusia kerana Rusia juga melancarkan serangan ke atas Syria. Bagaimanapun komentar daripada media Barat melaporkan belas kasihan terhadap mangsa di Ukraine kerana mereka ‘berkulit putih’, ‘bermata biru’, ‘beragama Kristian’ dan ‘bertamadun’. Bagaimana pula dengan mangsa serangan Rusia di Syria yang berbangsa Arab dan beragama Islam? Tidakkah mereka juga mangsa peperangan.
Kedua, apabila Rusia melancarkan serangan terhadap Ukraine, media Barat menunjukkan simpati kerana Ukraine dianggap sebahagian daripada Eropah dan bukan negara-negara membangun. Rusia telah dikutuk kerana menggunakan kekerasan tentera terhadap Ukraine. Bagaimana pula dengan pencerobohan Israel terhadap Palestin? Atau serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq pada 2003 berasaskan alasan untuk melucutkan senjata pemusnah besar-besaran di Iraq. Mengapa tiada tuntutan keadilan bagi Iraq oleh media Barat? Adakah kerana Iraq dan penduduknya bukan berbangsa Eropah?
Ketiga, tidak dinafikan bahawa Rusia telah menceroboh sempadan Ukraine dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Bagaimanapun apabila AS menceroboh negara lain seperti Afghanistan dan Iraq, media Barat menggelarkan sebagai operasi ‘liberalisasi’ dan ‘anti-keganasan’ manakala operasi ketenteraan Rusia dikecam hebat oleh media Barat. Ini sekali lagi menunjukkan sikap berat sebelah media Barat.
Keempat, media Barat memuji keberanian sesetengah penduduk Ukraine yang dilengkapi dengan senjata buatan sendiri seperti koktel molotov dalam mempertahankan tanah air mereka manakala remaja Palestin yang berusia sepuluh tahun mahu mempertahankan tanah air mereka dengan hanya membaling batu terhadap pencerobohan tentera Israel dijenayahkan oleh media sebagai ‘pengganas’.
Kelima, Rusia kini dikenakan sekatan ekonomi yang ketat oleh negara-negara Barat seperti pembekuan akaun bank-bank Rusia dan penghentian transaksi sebagai tindak balas atas pencerobohan terhadap Ukraine. Bagaimana pula dengan pencerobohan dan pendudukan Israel ke atas Tebing Barat yang berlaku lebih setengah abad? Mengapa tiada sekatan ekonomi ketat dikenakan terhadap Israel? Malah sikap berat sebelah ditonjolkan oleh institusi sukan antarabangsa misalnya Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menyekat penyertaan pasukan bola sepak Rusia daripada perlawanan antarabangsa. Bagaimana apabila penyokong pasukan Celtic mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti kepada penduduk Palestin, mereka telah dikenakan hukuman denda kononnya temasya sukan mesti bebas daripada politik.
Keenam, sikap hipokrasi dan berat sebelah tidak terhad kepada media Barat tetapi dalam kalangan pemimpin-pemimpin mereka juga. Presiden AS Joe Biden mengecam Rusia di bawah pentadbiran Presiden Putin menyerang negara jiran Ukraine, bagaimana pula dengan tindakan Israel menyerang negara jirannya seperti Syria dan Lebanon. Sekatan dikenakan ke atas Rusia atas pengeboman di Ukraine, bagaimana pula pengeboman udara tentera AS melalui Operasi Linebacker II ke atas Bandar raya Hanoi, Vietnam pada 18 hingga 29 Disember 1972. Peristiwa pengeboman Linbacker II mengorbankan ramai penduduk awam dan memusnahkan bangunan seperti hospital dan sekolah. Mengapa sehingga hari ini tiada sekatan dikenakan ke atas AS? Mana keadilan bagi penduduk awam yang terkorban?
Perlu ditegaskan sekali lagi tulisan ini bukan bertujuan untuk mengalih perhatian daripada konflik yang sedang berlaku di Ukraine tetapi mahu mempersoalkan sikap berat sebelah dan rasis media Barat.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca