PERLEMBAGAAN secara mudah ditakrifkan sebagai susunan peraturan dan perundangan tertinggi sesebuah negara yang dikuatkuasakan oleh mahkamah. Di dalam perlembagaan diletakkan peruntukan mengenai perkara-perkara penting tentang sifat negara,... Klik di sini untuk terus membaca

PERLEMBAGAAN secara mudah ditakrifkan sebagai susunan peraturan dan perundangan tertinggi sesebuah negara yang dikuatkuasakan oleh mahkamah. Di dalam perlembagaan diletakkan peruntukan mengenai perkara-perkara penting tentang sifat negara, peruntukan perundangan, hak rakyat dan sebagainya yang akan menjadi asas panduan bagi pemerintah dan rakyatnya untuk bergerak dan bertindak.

Setiap organisasi atau pertubuhan yang sah di sisi undang-undang negara mempunyai undang-undang tubuh atau perlembagaan yang digubal khusus untuk pertubuhan berkenaan. Begitulah juga dengan Perlembagaan Persekutuan negara ini.

Apabila perlembagaan menyatakan agama bagi Persekutuan adalah Islam, ia seolah-olah menganggap negara ini telah diberi nyawa dan dimanusiakan sebagai seorang Islam.

Apabila bercakap tentang negara Islam kita tidak dapat lari daripada membincangkan takrifannya yang dibawa oleh para ulama. Umpamanya Syeikh Muhammad Abu Zuhrah membahaskan bahawa kedudukan negara Islam berlegar antara dua pandangan iaitu, pertama, sebuah negara yang menjalankan hukum-hakam dan undang-undang syariah secara menyeluruh, maka negara tersebut adalah negara Islam. Pandangan kedua merujuk kepada keamanan orang-orang Islam dan kekuasaan mereka. Jika orang-orang Islam memegang tampuk pemerintahan dan menjadi pemimpin dalam negara dan seluruh masyarakat hidup dengan aman, maka negara itu adalah negara Islam.

Menurut Ibnu Qayyim, majoriti ulama Islam berpendapat negara Islam ialah negara yang diduduki oleh orang-orang Islam dan berjalan padanya undang-undang syariah dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam. Al-Kasani pula memberi definisi bahawa sebuah negara itu dikatakan negara Islam sekiranya zahir Islam di dalamnya. Al-Sarakhsi pula menyebut, negara Islam ialah nama bagi suatu tempat atau kawasan yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam di mana mereka beroleh keamanan dan ketenteraman berada di dalamnya.

Ada yang menyebutkan bahawa negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Negara sedemikian wajib dipertahankan oleh setiap individu Muslim. Ini disebut oleh Syaikh Abu Zuhrah. Yang menjadi sandaran untuk membezakan negara (sama ada negara Islam atau negara lainnya) ialah; (1) kekuasaan, dan (2) perjalanan hukum-hakam/undang-undang. Jika kedua-duanya itu berwajah Islam, maka negara itu adalah negara Islam. Jika tidak berwajah Islam, maka negara itu adalah negara ‘harb’.

Pandangan majoriti melihat kepada perlaksanaan undang-undang syariah sebagai asas untuk meletakkan sesebuah negara dianggap Islam. Pendapat yang bersifat umum melihat kepada siapa yang memerintah dan apakah wujud undang-undang syariah, dan jika tidak, apakah ada tanda-tanda syiar Islam dilaksanakan dalam sesebuah negara. Sekiranya ada dan masyarakat hidup dalam harmoni dan aman, ia juga termasuk dalam istilah negara Islam.

Bagaimana pula kedudukan Malaysia berdasarkan peruntukan perlembagaan yang ada?

Dari sudut perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa, adalah jelas bahawa undang-undang Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia. Terdapat juga undang-undang yang membenarkan apa yang dilarang oleh syariah Islam. Dalam hal yang demikian kita mungkin tersasar sekiranya menyatakan Malaysia adalah sebuah negara Islam sebagaimana yang ditakrifkan oleh para ulama.

Islam masih lagi belum diamalkan sebagai ‘ad-din’ atau ‘cara hidup’ di Malaysia. Namun sebagai negara majoritinya umat Islam usaha-usaha ke arah itu sedang giat dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah pihak kerajaan.

Sistem perundangan di Malaysia pula berteraskan atas prinsip demokrasi berparlimen. Sistem ini mengasingkan tiga fungsi utama iaitu eksekutif, legislatif dan juga kehakiman. Sistem perundangan seperti ini tidak semestinya bertentangan dengan syariah Islam. Namun segala undang-undang termasuk undang-undang Islam perlu dikodifikasi dan diluluskan oleh badan perundangan sebelum ia boleh dilaksana di negara ini.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca