SEBAIK sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, tiba giliran sebuah lagi parti politik untuk memulakan perhimpunan mereka pula.
Parti itu adalah Parti Tindakan Demokratik Malaysia atau DAP.
Yang mencuri perhatian Belalang pada Kongres Kebangsaan ke-17 parti itu ialah kerusi Setiausaha Agung - jawatan tertinggi dalam DAP.
Tidak sepertimana UMNO yang menangguhkan pemilihan parti sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai, DAP menjadi parti politik yang pertama bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan di kalangan parti-parti politik utama Malaysia tahun ini.
PKR bakal mengadakan pemilihan pada bulan April.
Selepas 18 tahun menerajui DAP sebagai Setiausaha Agung (sejak September 2004) Lim Guan Eng bakal mengundurkan diri.
Beliau telah menyandang jawatan tersebut tiga penggal dan ekoran pindaan kepada perlembagaannya, jawatan tersebut tidak boleh disandang lebih dari itu.
Selain itu, akan berlaku beberapa perubahan dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti.
Sebanyak 30 peratus atau sembilan kerusi CEC bakal disandang oleh golongan wanita.
Ini kerana pada tahun 2019, DAP telah meluluskan pindaan perlembagaan bagi menetapkan kuota 30 peratus di peruntukkan kepada wanita dalam CEC.
Ia bermakna, dalam jawatankuasa pusat baharu nanti akan ada sekurang-kurangnya sembilan ahli yang terdiri daripada wanita.
Belalang dimaklumkan sejumlah 93 calon dari seluruh negara telah dicalonkan untuk kerusi CEC.
Pemilihan dalam DAP ni pelik sikit. Mereka mengamalkan pengundian dua peringkat.
Yang pertama, lebih 4,000 perwakilan ke perhimpunan agung perlu memilih 30 anggota CEC terlebih dahulu dan selepas itu, mereka yang terpilih menganggotai CEC akan mengundi dalam kalangan mereka untuk memilih Setiausaha Agung, Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Naib Pengerusi, Timbalan Setiausaha Agung, Setiausaha Organisasi serta lain-lain jawatan utama dalam parti.
Oleh kerana kesemua jawatan penting itu tidak dibuka kepada pencalonan (tidak sepertimana jawatan CEC), maka tidak ada siapa dapat menjangkakan siapa yang bakal menggantikan Guan Eng.
Semuanya bergantung kepada kumpulan atau ‘orang siapa’ yang bakal terpilih menduduki CEC.
Setahu Belalang, yang disebut-sebut bakal mengambil alih tempat Guan Eng ialah Anthony Loke yang kini menyandang jawatan Setiausaha Organisasi.
Di bawah sistem sosialis, iaitu fahaman politik yang dibawa oleh DAP, Setiausaha Agung itu adalah ibarat presiden manakala Setiausaha Organisasi pula adalah kedudukan yang lebih kurang menyamai Setiausaha Agung dalam mana-mana organisasi politik lain.
Kesimpulannya, untuk membolehkan Anthony Loke atau sesiapa sahaja terpilih menduduki kerusi Setiausaha Agung, para perwakilan mestilah terlebih dahulu memastikan penyokong orang yang mereka mahu menerajui parti menduduki barisan CEC seramai 30 orang itu.
Ini kerana kuasa sebenar untuk memilih pucuk pimpinan dalam DAP terletak di tangan 30 orang ini nanti bukan para perwakilan.
Tugas perwakilan hanya memilih anggota-anggota CEC dan selepas itu barisan CEC inilah yang menentukan siapa bakal menerajui parti. Pelik tapi benar.
Belalang - hanya ada kuasa mengundi dalam PRU.
Klik di sini untuk terus membaca