TAMPAKNYA bubar Parlimen adalah perjuangan terbaharu UMNO kerana yakin dan percaya parti itu mampu memenangi majoriti dua pertiga jika diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.
Perhimpunan Agung UMNO 2021 jelas menjadi medan mendesak PRU15 secepat mungkin. Sayap-sayap UMNO dan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara jelas mahukan PRU15 diadakan secepat mungkin, selewat-lewatnya Ogos ini – iaitu selepas tamat memorandum persefahaman kestabilan politik antara blok kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 31 Julai depan.
Naratif pembubaran segera Parlimen dimulakan seawal ucapan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki tampak diplomatik dalam ucapan dasar masing-masing.
Noraini dalam menyahut seruan Timbalan Presiden berhubung the right timing to call for election menyatakan Wanita UMNO sentiasa bersedia bila-bila masa.
Sementara, Asyraf Wajdi pula menyatakan UMNO sudah memutuskan isu pembubaran Parlimen dibincangkan di peringkat tertinggi UMNO membabitkan lima pemimpin mereka iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden, dan beliau percaya pucuk pimpinan parti akan memutuskan segera.
Namun, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan nyata keras mahukan PRU15 sesegera mungkin. Malah, beliau seolah-olah menyindir Perdana Menteri tidak berani membubarkan Parlimen.
Naratif itu diteruskan dalam ucapan dasar Presiden UMNO. Walaupun mengakui soal menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pembubaran Parlimen adalah prerogatif dan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun beliau tetap menggesa Parlimen dibubarkan segera ketika Barisan Nasional (BN) berpeluang cerah untuk menang.
Walaupun UMNO berkeras mahukan Ismail Sabri memohon perkenan bagi pembubaran Parlimen secepat mungkin, namun tafsiran kuasa Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah tidak tepat.
Berlainan dengan kepercayaan sebahagian ahli UMNO, Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa secara mutlak kepada Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.
Setelah begitu lama UMNO menjadi sebuah parti dominan dan Presidennya menjadi one man show dalam pentadbiran kerajaan, mereka mungkin tidak sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak digubal untuk pemusatan kuasa sedemikian.
Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri, bukannya Perdana Menteri. Tidak ada apa-apa kandungan dalam Fasal 40 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada mana-mana Perdana Menteri untuk bertindak secara bersendirian dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong.
Perkara 40 (1) menyatakan, pada menjalankan fungsinya di bawah perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh perlembagaan ini tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak atas permintaannya untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.
Malah, dalam Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam menjalankan fungsinya.
Oleh sebab beberapa ahli Jemaah Menteri daripada parti lain telah secara terbuka menyatakan ketidaksetujuan mereka untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, maka adalah sukar untuk Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyatakan permohonan pembubaran Parlimen adalah atas nasihat Jemaah Menteri Kabinet.
* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca