ORANG yang hebat menggesa agar dibenarkan mengeluarkan duit persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin kurang faham peranan dan tanggungjawab kerajaan terhadap mereka. Fungsi pokok kerajaan adalah untuk memudahkan kegiatan... Klik di sini untuk terus membaca

ORANG yang hebat menggesa agar dibenarkan mengeluarkan duit persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin kurang faham peranan dan tanggungjawab kerajaan terhadap mereka.

Fungsi pokok kerajaan adalah untuk memudahkan kegiatan ekonomi ketika keadaan ekonomi kukuh dan membantu rakyat memerlukan ketika ekonomi lemah. Daripada kegiatan ekonomi, kerajaan mendapat hasil cukai untuk dibelanjakan bagi mentadbir negara.

Membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan hari tua bukanlah langkah bijak, sebaliknya menggambarkan kegagalan kerajaan menangani krisis Covid-19 secara bijaksana dan bertanggungjawab.

Sebelum ini, bagi ramai pencarum, mereka hanya ambil berat berkenaan syarat-syarat pengeluaran yang telah ditetapkan seperti untuk membayar pendahuluan pembelian rumah, melabur dalam saham amanah dibenarkan dan apabila sampai umur persaraan.

Apabila cukup umur, boleh dikatakan semua pencarum bumiputera akan mengeluarkan kesemua simpanan. Tetapi ramai juga pencarum, khususnya yang tahu mengenai pelaburan dan pengurusan kewangan tidak berbuat demikian. Pencarum kategori ini selalunya bukan bumiputera dan mereka mempunyai simpanan yang banyak. Mereka inilah yang memberi kestabilan kepada operasi KWSP.

Orang yang mahir dalam hal pelaburan mengakui simpanan dalam KWSP bukan sahaja terjamin, malah memberi pulangan sangat baik. Ambil contoh, dividen bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 6.10 peratus. Ia lebih tinggi berbanding Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.0 peratus dan kadar faedah simpanan tetap bank antara 1.50 hingga 2.10 peratus.

Pencarum bumiputera yang tidak mempunyai simpanan besar selalunya tidak mengambil berat hal itu. Yang mereka utamakan bila boleh keluarkan simpanan.

Akibat pandemik dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ekonomi satu dunia jatuh merudum. Sekali lagi orang bumiputera dilanda kemiskinan dan kemelaratan yang teruk kerana mereka sering mengambil mudah isu-isu berkaitan ekonomi atas andaian kerajaan ada untuk menyelamatkan mereka.

Malangnya andaian mereka tersasar jauh kerana ketika Covid-19 mendarat di Malaysia, saat itu jugalah gerombolan Langkah Sheraton mengambil keputusan merampas kuasa. Pentadbiran negara jadi kucar-kacir. Akibatnya segala usaha menangani krisis ekonomi gagal atau tidak mencapai matlamat walaupun membelanjakan wang yang banyak daripada sumber hasil, simpanan masa depan dan hutang.

Golongan yang terjejas teruk adalah golongan berpendapatan rendah dalam sektor swasta. Pengeluaran simpanan KWSP menyebabkan sebahagian mereka kehabisan wang persaraan. Tetapi kita fahamlah antara kebuluran hari ini dengan keselesaan masa hadapan, hari ini lebih penting. Jadi mereka mengalu-alukan pengeluaran awal simpanan KWSP.

Tetapi bukan semua pencarum dalam keadaan itu. Ada yang boleh hidup agak sempurna tanpa mengeluarkan simpanan KWSP tetapi oleh sebab kerajaan membenarkan, maka mereka ambil.

Kalau mereka boleh mencarum semula dan menampung jumlah yang telah dikeluarkan, mungkin harapan masa depan mereka terjamin. Jika tidak, kita akan berdepan masalah kemiskinan dan kemelaratan hari tua yang teruk.

Dari segi operasi KWSP, pengeluaran simpanan itu membawa cabaran dan risiko sangat membimbangkan. Buat pertama kali dalam masa 20 tahun, akibat pengeluaran luar jadual sepanjang 2020 dan 2021, duit keluar melebihi duit masuk.

Dianggarkan RM110 bilion telah diambil keluar dalam tempoh dua tahun tersebut sehingga menyebabkan kekurangan sebanyak RM58.2 bilion.

Dalam jangka masa pendek dan sederhana, jumlah tabung yang lebih kecil menjadi cabaran kepada KWSP dalam usaha menjana pulangan yang sihat untuk pencarum.

Sepatutnya kerajaan membantu rakyat yang terjejas dengan menggunakan sumber awam dan bukan memaksa mereka menggunakan simpanan hari tua.

Kesimpulannya, memberi kebenaran kepada pencarum KWSP menggunakan simpanan hari tua bukanlah langkah pintar dan terpuji.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca