KETIKA ditugaskan oleh editor menemuramah Azwan Omar atau nama glamornya Abang Viva untuk segmen Wira Kita, tidak dinafikan terdetik dalam hati keterujaan kerana akhirnya berpeluang bersemuka dengan hero kesayangan rakyat Malaysia ini.... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA ditugaskan oleh editor menemuramah Azwan Omar atau nama glamornya Abang Viva untuk segmen Wira Kita, tidak dinafikan terdetik dalam hati keterujaan kerana akhirnya berpeluang bersemuka dengan hero kesayangan rakyat Malaysia ini.

Abang Viva, seorang pemuda dari Melaka, mula dikenali pada penghujung tahun lalu ketika banjir besar di Selangor.

Dia sanggup datang membantu menyelamatkan mangsa banjir besar di Selangor dan dan kemudiannya di Pahang dengan hanya sebuah bot kecil yang diikat di atas sebuah Perodua Viva berwarna hitam dan duit poket RM50 pemberian ibunya.

Dengan wang itulah Abang Viva membeli minyak untuk bot dan roti serta air mineral untuk mengalas perut sepanjang misinya membantu mangsa banjir.

Azwan masih tidak percaya dirinya kini menjadi fenomena.

Sebenarnya bukan mudah mahu mendapatkan slot temuramah bersama Abang Viva dek kerana jadualnya yang agak padat namun nasib akhirnya menyebelahi kami.

Pertemuan berjaya diatur dan kami sepakat untuk berjumpa di kediamannya terletak di Alor Gajah. Hampir lebih satu jam perjalanan dari Shah Alam akhirnya kami sampai ke destinasi dan susuk tubuh Abang Viva kini berada di depan mata.

Kedatangan kami disambut mesra oleh Abang Viva yang ketika itu hanya sendirian di rumah, sambil live streaming Mobile Legends di akaun Tiktoknya. Terasa sedikit hampa kerana kereta Viva tiada di halaman rumah kerana masih di bengkel Perodua untuk menjalani pemeriksaan.

Namun jadual penggambaran harus diteruskan dan setelah berbincang lanjut kami akhirnya memutuskan untuk mengadakan temuramah di Pantai Sering, Merlimau, 30 minit dari lokasi rumahnya.

Berlatarbelakangkan bunyi ombak yang menghempas lembut, angin bertiup lembut dan terik matahari yang memancar, Abang Viva terus memasang angin pada bot hitamnya sebelum sesi soal jawab bermula.

Azwan tidak menyangka bot yang dibelinya bagi tujuan memancing digunakan untuk misi kemanusiaannya.

Soalan pertama, siapa sebenarnya Azwan Omar, 30, individu berkulit sawo matang, kurus dan tinggi sekitar 170 sentimeter.

"Azwan Omar ini cuma seorang budak kampung yang suka menyendiri, tidak dikenali, kerja pun biasa saja, " ujar Abang Viva bersahaja sambil tersenyum ke arah lensa kamera.

Namun dia mengakui sejak kisahnya membantu mangsa banjir menjadi tular, kehidupan yang dahulu tenang kini sedikit sebanyak berubah.

Kalau dulu, bebas ke mana-mana tanpa dikenali tetapi kini pasti ada sahaja yang menyapa dan mahu berswafoto bersama.

Biarpun agak kekok pada mulanya namun Abang Viva sedaya upaya cuba untuk melayani karenah peminat dan memenuhi permintaan mereka.

NIAT MEMBANTU KERANA ALLAH

Menetapkan niat 'hamba ALLAH perlu membantu hamba ALLAH', Azwan langsung tidak mengharapkan sekelumit penghargaan atau perhatian daripada orang ramai. Apa yang dilakukannya adalah kerana ingin membantu insan yang dalam kesulitan.

Cuma siapalah kita untuk menolak ketentuan-NYA tetapi jauh di sudut hati, Azwan takut dengan segala pujian yang diterima dan jika boleh diundurkan masa, sebolehnya-bolehnya pemuda itu tidak mahu populariti serta perhatian yang dikecapi sekarang.

Azwan bersama kereta Perodua Viva yang digunakan untuk membawanya ke lokasi banjir di Selangor dan Pahang.

"Gembira memang gembira tetapi sebenarnya lebih kepada takut. Apabila orang sudah kenal, tidak semua orang akan suka kita, itu memang lumrah manusia.

"Saya lebih suka hinaan daripada pujian. Memang betul kita akan berasa seronok apabila dipuji tetapi pada masa sama mungkin akan timbul perasaan bangga diri dan riak.

"Tetapi apabila kita dihina kita akan cuba jadi yang terbaik sebab itu saya lebih suka dihina daripada dipuji,” katanya.

Cuma yang masih menjadi persoalan buat dirinya sehingga hari ini adalah mengapa nama Abang Viva menjadi fenomena sedangkan masih ramai lagi insan sepertinya menghulurkan bantuan sama pada ketika itu.

"Saya anggap benda ini (kerja sukarelawan) adalah perkara biasa, saya pun tidak pasti kenapa orang melihatnya sebagai perkara luar biasa.

"Kalau sudah niat di hati maka kita teruskan sahaja. Kita hidup di dunia ini sebagai hamba dan sebagai hamba kita haruslah bantu membantu antara satu sama lain,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun Abang Viva menerima takdir yang telah tertulis untuk dirinya dan tetap memanjatkan kesyukuran dengan segala anugerah dan pemberian yang diterima daripada pelbagai pihak yang menghargai kerja sukarela yang dilakukannya.

Antara penghargaan yang diterima Abang Viva termasuklah Adiwira Prihatin Musibah dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Anugerah 'Superhero' Nona malah dia juga menerima sebuah kereta pacuan empat roda pemberian seorang usahawan kosmetik selain sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Antara gambar tular Abang Viva menyelamatkan mangsa ketika banjir besar di Selangor hujung tahun lalu - Foto Sumber InternetAntara gambar tular Abang Viva menyelamatkan mangsa ketika banjir besar di Selangor, hujung tahun lalu.

Namun jauh lebih istimewa, Imam Masjid Negara juga pernah menitipkan doa buat Abang Viva ketika khutbah solat Jumaat. "Rahmatilah hambamu yang menolong mangsa banjir walaupun ada RM50 sahaja.”

Bagi Abang Viva, segala anugerah yang diterima bukan sekadar untuk dirinya seorang tetapi sebagai wakil kepada ramai lagi sukarelawan di luar sana yang turut bertungkus-lumus mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit sendiri demi membantu orang lain dengan niat yang ikhlas.

"Mungkin kisah saya ini dijadikan asbab untuk tunjukkan kepada orang lain macam mana susah senang menjadi seorang sukarelawan,” katanya sambil menambah kepuasan sebenar untuk dirinya adalah ketika dapat membantu insan-insan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, dia tidak mempunyai kemampuan untuk membantu daripada segi kewangan namun lebih kepada menghulurkan bantuan tenaga dan masa, selagi ada kudrat selagi itu dia pasti akan membantu jika diperlukan.

PELIHARA DUA ANAK ARWAH KAKAK

Kisah menyentuh hati Abang Viva sanggup tidur dalam kereta dan mengalas perut dengan hanya bekal air mineral dan roti ketika menjalankan misi menyelamat mangsa banjir sudah banyak diceritakan media sekali gus menjadikannya hero di mata rakyat Malaysia.

Namun daripada satu sisi lain, anak bongsu dari empat beradik ini juga merupakan hero buat keluarganya.

Hal ini kerana Abang Viva menggalas tanggungjawab besar menjaga dan membesarkan dua orang anak saudara lelaki yang kematian ibu sejak 11 tahun lalu.

"Saya menjaga dua orang anak arwah kakak yang telah meninggal dunia pada tahun 2010. Ketika itu anak saudara yang sulung baru berusia satu tahun sementara yang kedua berusia lima bulan.

"Saya telah berjanji kepada diri untuk menjaga mereka berdua seperti anak sendiri selagi mana saya bernyawa. Dan setakat ini, setelah lebih 10 tahun menjaga mereka tiada sebarang masalah. Alhamdulillah semua makan pakai mereka cukup dan terjaga," ceritanya.

Keluarga adalah pembakar semangat Abang Viva di kala suka dan duka. - Kredit Facebook Abang Viva

Luah anak kepada pasangan Norbibah Hashim dan Omar Pilus itu, di saat dirinya berasa tersungkur dalam mengharungi perjalanan hidup terutama selepas menjadi terkenal, dia menjadikan keluarga sebagai penguat semangat.

"Saya ingat pesan emak dan ayah, kita hidup ini umpama roda. Bila kita sudah jauh di atas jangan lupa toleh ke bawah dan bila kita sudah jauh ke depan jangan lupa toleh ke belakang untuk lihat balik jalan mana kita telah lalui, duri mana kita telah redah," katanya lagi.

Malah keluarga juga sering mengingatkan dirinya agar sentiasa menjaga solat dan banyak berdoa sekiranya sedang berdepan sebarang masalah.

Tidak lengkap rasanya temuramah ini sekiranya tidak meminta Abang Viva mengimbau kembali momen sewaktu menyelamatkan mangsa banjir terutama ketika di Taman Seri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang menjadikan kisahnya tular seluruh negara.

Jika diimbau semula, kembara membantu mangsa banjir Abang Viva membawanya ke Selangor, pulang semula ke Melaka dan akhirnya ke Pahang.

Menurut Abang Viva, dia nekad mengambil keputusan untuk turut serta menyelamat mangsa banjir di Selangor setelah melihat di media sosial, rayuan panggilan pasukan bomba untuk bot luar membantu misi menyelamat.

"Jarang pasukan bomba minta bantuan luar dan saya fikir tentu keadaan memang sudah teruk. Pada masa sama, terus terfikir, ada bot ini guna untuk 'happy' saja ke, lalu terdetik dalam hati untuk pergi membantu," katanya.

Ceritanya, Kampung Sri Aman di Puchong adalah lokasi pertama dia menghulurkan bantuan, selesai di sana barulah dia menuju ke Taman Sri Muda.

Abang Viva dipilih jadi anggota sukarelawan APM Melaka.

Sepanjang bersama-sama sukarelawan lain yang turut membantu misi menyelamat mangsa banjir besar di Taman Seri Muda banyak kenangan suka duka dilaluinya.

Antaranya termasuk kehilangan sebuah pendayung dan dua tempat duduk bot sementara ada rakan-rakan lain yang mengalami kerosakan enjin dan kipas bot.

Fakta ringkas, bot yang digunakan Abang Viva ketika misi bantuan terbabit sebenarnya adalah bot yang dibeli untuk kegunaan memancing di masa lapang.

Abang Viva turut mengakui keadaan banjir di Taman Seri Muda sangat menyayat hati terutamanya ketika mendengar panggilan mangsa-mangsa banjir meminta tolong untuk diselamatkan.

"Namun antara kenangan yang paling menyentuh hati dan saya tidak boleh lupakan sampai bila-bila adalah ketika menyelamatkan seorang ibu yang baru beberapa hari melahirkan anak.

"Bayi itu baru sahaja beberapa hari pulang dari hospital dan kemudian rumahnya dilanda banjir," katanya yang turut sempat menyelamatkan sepasang warga emas termasuk suaminya yang lumpuh.

Sepertimana kata-kata yang pernah diungkapkan sebelum ini 'di mana ada banjir, di situ ada saya', Abang Viva turut tidak ketinggalan menyertai misi bantuan banjir di negeri Terengganu dan Kelantan baru-baru ini.

Istimewanya misi kali ini, Abang Viva menggunakan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang dihadiahkan kepadanya sebelum ini.

Katanya, dengan menggunakan kenderaan tersebut lebih banyak kawasan yang boleh dimasuki berbanding ketika menggunakan Viva dan itu membuatkannya lebih bersemangat.

Abang Viva menerima Anugerah ‘Superhero’ Nona atas jasanya membantu mangsa banjir.

RANCANGAN MASA HADAPAN

Matahari sudah semakin tegak di atas kepala namun temuramah masih berbaki beberapa soalan namun mujurlah Abang Viva tetap 'cool' dan masih boleh melemparkan senyuman.

Jelas di pandangan kami, Abang Viva memang seorang pemuda yang merendah diri biarpun namanya sudah terkenal seluruh negara.

Tanpa berlengah kami terus bertanyakan kepada Abang Viva yang juga anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka apa perancangannya selepas selesai misi menyelamatkan mangsa banjir.

Ada desas-desus yang kedengaran menyatakan Abang Viva bakal berhenti kerja sebagai operator jentera berat di sebuah syarikat sekali gus mengundang kecaman yang mendakwa dirinya seolah-olah telah lupa diri.

"Isu berhenti kerja ini mungkin orang salah faham. Saya belum muktamad lagi untuk berhenti kerja cuma terfikir untuk berbuat demikian sekiranya ada keperluan kelak.

"Kalau diikutkan sudah lebih enam minggu saya mengambil cuti tanpa gaji daripada majikan. Dan selepas misi banjir tempoh hari, saya kini mahu fokus kepada usaha membantu pembinaan semula sebuah maahad tahfiz di Pahang yang rosak akibat banjir dan ia mungkin mengambil masa dua atau tiga bulan untuk diselesaikan.

"Sekiranya syarikat masih mahu saya bekerja selepas itu maka saya teruskan, jika tidak mungkin saya cari kerja lain," katanya yang berpegang teguh kepada prinsip rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana selagi berusaha.

Dan di akhir soalan, dia tergelar besar dengan soalan bila mahu mengakhiri zaman bujangnya.

"Insya-ALLAH," kata akhirnya.

INFO:

Lima perkara menarik orang tidak tahu tentang Abang Viva

1. Abang Viva suka main game

2. Seorang yang pendiam dan pemalu

3. Hobi adalah memancing

4. Boleh memasak

5. Tidak tahan cuaca sejuk

Klik di sini untuk terus membaca