GROZNY - Nama Ramzan Kadyrov digeruni banyak pihak terutamanya di Moscow selain ‘kedudukan istimewanya’ sebagai sekutu rapat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin. Namun, perbalahan antara pemimpin wilayah Chechnya dan bilionair Amerika... Klik di sini untuk terus membaca

GROZNY - Nama Ramzan Kadyrov digeruni banyak pihak terutamanya di Moscow selain ‘kedudukan istimewanya’ sebagai sekutu rapat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Namun, perbalahan antara pemimpin wilayah Chechnya dan bilionair Amerika Syarikat (AS), Elon Musk di laman media sosial pada minggu lalu mencuri perhatian ramai apabila beliau didakwa bersikap seperti ‘kebudak-budakan’ malah turut mengejek pengasas Tesla dan SpaceX itu sebagai ‘Elona’.

Selain itu, Ramzan juga bertindak ‘mengugut’ Musk menerusi Telegram hanya kerana mahu mempertahankan Putin yang menjadi bahan sindiran usahawan teknologi berusia 50 tahun tersebut selepas Moscow melancarkan kempen pencerobohan ke atas Ukraine.

‘Teman rapat’ kepada Putin yang berusia 45 tahun itu dikatakan menyertai operasi ketenteraan dilancarkan Kremlin bersama pasukannya.

Beliau turut berkongsi rakaman video memaparkan dirinya dengan memakai uniform tentera sedang berbincang tentang pelan serangan di pangkalan tentera udara yang telah diambil alih tentera Rusia di Hostomel, sebuah perkampungan di luar Kiev.

Ramzan yang sering tampil dengan gaya dan imej mewah mampu mendabik dada berikutan Kremlin bergantung penuh kepadanya selama lebih sedekad untuk mengekalkan ketenteraman di Chechnya, sebuah republik Caucasus Utara yang diperintahnya seperti sebuah wilayah peribadi.

Kumpulan hak asasi manusia berulang kali menuduh beliau melakukan siri pelanggaran termasuk bertanggungjawab di atas ‘kehilangan’ penentang dan pengkritiknya selain bertindak tegas terhadap golongan homoseksual.

Beberapa pengkritik juga mengaitkan Ramzan dengan beberapa insiden pembunuhan terancang di Eropah, namun dinafikan beliau.

Ramzan digeruni banyak pihak terutamanya di Moscow selain ‘kedudukan istimewanya’ sebagai sekutu rapat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

TAAT SETIA KEPADA KREMLIN

Ramzan tanpa segan silu menyuarakan sokongan kepada kumpulan pemberontak pro-Rusia di wilayah timur Kiev dan tindakan Moscow merampas Crimea pada 2014.

Pendirian taat setia kepada Putin menyebabkan beliau turut berada dalam senarai sekatan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) yang sememangnya menyasarkan kenalan rapat pemimpin yang mendapat julukan ‘Tsar moden’ itu.

Ramzan juga dikatakan sering menampilkan imej ‘macho’ sama seperti Putin selain penyokong kuat acara seni mempertahankan diri malah membenarkan anak-anak lelakinya beraksi di gelanggang tinju.

Hubungan rakan sekutu antara kedua-duanya dikatakan semakin erat sejak Putin melantiknya sebagai Presiden Chechnya pada 2007 ketika berusia 30 tahun setelah bapanya, Akhmad terkorban dalam serangan bom sejurus pelantikannya menerusi pemilihan kontroversi pada 2003.

Ramzan juga memimpin kumpulan militia peribadi berskala besar digelar sebagai ‘Kadyrovtsy’ yang didakwa terlibat dengan kejadian penculikan dan pembunuhan di Grozny iaitu sebuah republik yang didiami majoriti penduduk Muslim yang terkesan akibat peperangan pada 1990-an.

Sebelum menjadi sekutu Moscow, Ramzan bersama bapanya pernah menyertai pemberontakan untuk menentang tentera Rusia ketika peperangan pertama tercetus bagi menuntut kemerdekaan pada awal 1990-an.

Mereka kemudiannya bertukar sokongan kepada Rusia ketika Perang Chechnya kedua bermula pada 1999.

Tindakan kekerasan yang digunakan Ramzan ke atas kumpulan pemberontak ketika itu dianggap sebagai ‘senjata berguna’ kepada Kremlin ketika ia cuba meredakan konflik di seluruh wilayah Caucasus Utara.

Hubungan baik bersama Moscow itu dibalas dengan pembiayaan untuk projek pembinaan infrastruktur di Grozny termasuk jalan raya baharu dan masjid gergasi di ibu kota republik tersebut.Pimpin kumpulan pemberontak

Ramzan Akhmadovich Kadyrov dilahirkan pada 5 Oktober 1976 di Tsentoroi, Chechnya di Rusia dan merupakan anak bongsu kepada pasangan Akhmad dan Aimani Kadyrov.

Beliau memperoleh ijazah undang-undang daripada Makhachkala Institute of Business and Law.

Pada asalnya, beliau menyertai perjuangan menuntut kemerdekaan bersama bapanya selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada awal 1990-an dan menjadi pemimpin kumpulan pemberontak.

Ketika memimpin kumpulan militia Kadyrovtsy yang turut mendapat sokongan perkhidmatan keselamatan Rusia atau FSB, muncul khabar angin mendakwa beliau maut ditembak pada April 2004.

Sehari selepas bapanya dibunuh pada 9 Mei 2004, Ramzan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Republik Chechnya dan kekal memegang jawatan itu sehingga November tahun sama.

Beliau kemudiannya dinamakan sebagai perdana menteri sementara selepas pendahulunya, Sergey Abramov cedera dalam nahas kereta dan mula melaksanakan undang-undang Islam seperti melarang aktiviti perjudian serta pengeluaran minuman alkohol.

Pada Mac 2006, Ramzan akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Republik Chechnya sebelum mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Alu Alkhanov, kira-kira setahun kemudian setelah terlibat krisis perebutan kuasa.

Sokongan kuat Putin melayakkan beliau untuk menerima pingat Hero Rusia yang merupakan gelaran kehormat tertinggi di Moscow.

Kehidupan peribadinya juga tidak terlepas dengan kontroversi selepas terdapat laporan yang mendakwa Ramzan mempunyai tiga orang isteri dan dikurniakan 12 cahaya mata bersama isteri pertamanya, Medni Musaevna Kadyrova.

Isterinya, Medni dikatakan memiliki empayar fesyen sendiri digelar Firdaws di Dubai dan salah seorang anak perempuan mereka juga mempunyai minat dalam bidang yang sama selain kekayaan luar biasa keluarganya yang mencetuskan tanda tanya kepada banyak pihak. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca