SHAH ALAM - Pengecilan habitat dan kegiatan pemburuan haram menyebabkan lima spesies binatang liar dilindungi kian diancam kepupusan.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, lima spesies terbabit adalah Harimau Malaya atau harimau belang, gajah, seladang, tapir dan rusa sambar.
Menurutnya, haiwan paling utama yang dikesan akan lenyap adalah Harimau Malaya.
"Populasi Harimau Malaya kini hanya tinggal kurang daripada 150 ekor dan amat ketara jumlahnya berbanding suatu ketika dahulu yang mencecah ribuan ekor.
"Jika mamalia besar seperti harimau, gajah dan tapir tidak diselamatkan, dalam 10 tahun lagi kita hanya dapat lihat spesies ini di zoo sahaja.
"Di mana binatang liar ini hendak hidup kalau kawasan mereka telah diteroka dan aktiviti pemburuan haram dilakukan secara berleluasa?” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, baru-baru ini.
Beliau berkata, penyebab utama kepupusan hidupan liar adalah disebabkan pengecilan habitat akibat proses perubahan guna tanah.
"Punca utama kepupusan ini adalah akibat habitat yang mengecil. Apabila habitat mengecil, binatang liar ini akan keluar dari kawasan asal dan akan terkena jerat hingga mengakibatkan kematian.
"Punca keduanya adalah disebabkan nilai hidupan liar ini bernilai tinggi di pasaran gelap sama ada tempatan atau luar negara dan sudah tentu harimau mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Tambahnya, bukan sahaja harimau, malah permintaan untuk gading gajah, sisik tenggiling juga tinggi di pasaran gelap.
Katanya, kebiasaannya anggota badan hidupan liar ini dijadikan sebagai makanan untuk hidangan eksotik dan perubatan tradisional.
"Jika kambing gurun, kononnya boleh digunakan sebagai minyak bagi mengubati patah tulang dan sebagainya. Malah, ada juga anggota badan binatang ini dijadikan sebagai alatan untuk ritual keagamaan dan seumpamanya,” ujarnya.Operasi
Mengulas langkah mengatasi kepupusan hidupan liar, beliau menjelaskan, pihaknya telah melaksanakan pelbagai operasi antaranya Ops Jerat, Ops Perniagaan, Ops Penyeludupan, Ops Khas, Ops Siber, Ops Sekatan Jalan Raya dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
Ujarnya, pada tahun 2020, OBK telah diperkukuhkan di bawah pelaksanaan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang melibatkan pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Orang Asli sebagai renjer hidupan liar bagi membantu melaksanakan tugas operasi kawalan sempadan, rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perlindungan Hutan Simpan Kekal di seluruh semenanjung Malaysia.
"Perhilitan melalui unit anjing pengesan (K9) juga telah mempergiatkan operasi dengan kerjasama jitu pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) terutamanya di lapangan terbang, pintu sempadan negara dan pelabuhan.
"Sebanyak 25 operasi membabitkan K9 ini telah berjaya dilaksanakan sehingga November 2021,” katanya.
Jelas Abdul Kadir, sepanjang OBK dijalankan bermula pada September 2019 hingga Februari 2022, seramai 375 orang pesalah telah ditahan yang terdiri daripada 100 warga asing dan 275 tempatan.
"Daripada jumlah itu seramai 35 yang ditahan adalah pemburu haram,” katanya.
Ujar beliau, Perhilitan turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negara Johor, Perbadanan Taman Negara Perak selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung), World Wide Fund Fo Nature (WWF) dan Panthera Malaysia (Panthera).
"Kerjasama ini turut melibatkan perkongsian maklumat perisikan jenayah hidupan liar rentas sempadan. Pasukan Perisikan Perhilitan telah mendapat kerjasama daripada cawangan perisikan dan siasatan khas PDRM, Kastam dan Polis Antarabangsa (Interpol) dari segi risikan dan penyaluran maklumat.
"OBK juga telah mendapat pengiktirafan dan dinobatkan sebagai pemenang untuk Asia Environmental Enforcement Awards dalam pembanterasan jenayah melangkau sempadan pada tahun 2020,” ujarnya.
Denda
Dalam pada itu menurutnya, populasi harimau dan binatang liar lain dijangka akan meningkat semula berdasarkan pelaksanaan yang dibuat kerajaan bagi mengatasi ancaman kepupusan haiwan terlibat.
"Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 telah bersetuju dengan sembilan tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya khasnya termasuklah hidupan liar lain yang akan dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030.
"Salah satu tindakan yang telah dipersetujui adalah untuk meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi spesies ikonik negara melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) yang dipengerusikan Perdana Menteri,” ujarnya.
Jelas Abdul Kadir, penubuhan MyTTF adalah bagi menyelaras pelaksanaan dan pemantauan tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya serta memperkukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri.
Sementara itu, beliau berkata, Rang undang-undang pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) telah diwartakan pada 10 Februari 2022.
"Pindaan akta ini meliputi 63 seksyen yang akan dipinda. Pindaan ini juga melibatkan penyelarasan dengan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan peningkatan penalti bagi kesalahan dengan denda maksimum sehingga RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun,” katanya.
Justeru, mana-mana individu yang menjalankan aktiviti kegiatan pemburuan haram, pencerobohan dan pelbagai kesalahan jenayah hidupan liar diingatkan agar menghentikan kegiatan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
"Sebarang aduan dan maklumat boleh salurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca