SHAH ALAM - Kamera papan pemuka kenderaan atau dashcam umpama kotak hitam pesawat kerana berkeupayaan merekod pelbagai situasi kejadian di jalan raya. Menurut seorang penjawat awam, Ahmad Shahir Jaafar Sidik, 38, penggunaan peranti itu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kamera papan pemuka kenderaan atau dashcam umpama kotak hitam pesawat kerana berkeupayaan merekod pelbagai situasi kejadian di jalan raya.

Menurut seorang penjawat awam, Ahmad Shahir Jaafar Sidik, 38, penggunaan peranti itu bukan lagi kehendak tetapi satu keperluan bagi setiap kenderaan.

"Saya memasang dashcam sebagai persediaan jika berlaku kejadian tidak diingini contohnya melibatkan pembuli jalan raya. Ia boleh merakam kejadian dan menyimpan bukti bagi memudahkan kes disiasat.

"Selain itu, dashcam kini boleh didapati dengan mudah di pasaran dengan harga yang ditawarkan berdasarkan resolusi dan simpanan memori,” katanya.

Seorang pemandu lori, Mohd Zahid Rahim,39, berkata, pemasangan alat itu penting terutamanya melibatkan kenderaan perdagangan seperti bas dan lori.

"Sebagai pemandu lori, jika setiap kenderaan baharu termasuk kenderaan perdagangan dipasang alat itu maka ia amat membantu kerana pemandu lori lazimnya terdedah dengan kemalangan,” ujarnya.

Katanya, ada pemandu lori menjadi mangsa samun kerana membawa barangan berharga termasuk hasil jualan syarikat.

Gambar dari kiri: Khairil Ezwan, Mohd Safuan, Mohd Zahid, Ahmad Shahir, Mohd Ridzuan

Bagi jurutera syarikat teknologi maklumat, Khairil Ezwan Johari, 41, peranti itu kini boleh diakses menerusi telefon bimbit sekali gus boleh bertindak seperti kamera litar tertutup (CCTV).

"Fungsinya bukan setakat merakam ketika kenderaan bergerak malah boleh menjadi CCTV bagi tujuan keselamatan kenderaan,” katanya.

Seorang pemandu, Mohd Ridzuan Khairol, 34, mencadangkan supaya kerajaan memberikan insentif kepada rakyat yang mahu memasang alat itu pada kenderaan masing-masing.

Tambahnya, kereta lama juga patut dipasang dengan alat itu kerana terdedah dengan risiko kebakaran dan litar pintas.

Sementara itu, seorang pengurus pemasaran, Mohd Safuan Hassan,45, berkata dashcam yang dipasang pada kereta baharu biarlah yang berkualiti dan setanding dengan harga kereta yang dijual.

"Jangan pasang dashcam kualiti rendah, kalau boleh pasang yang pelbagai fungsi, boleh rakam dan diakses dengan mudah kerana kebanyakan kereta baharu kini dilengkapi sistem Android yang boleh diakses dengan kamera 360 darjah,” katanya.

Tambahnya, syarikat pengeluar kereta tempatan harus bersedia menyediakan kemudahan ini yang dilihat dapat memberi tambah nilai kepada jenama kereta dan berbaloi untuk dimiliki.

Klik di sini untuk terus membaca