SHAH ALAM - Bukti rakaman daripada kamera papan pemuka kenderaan atau dashcam boleh digunakan untuk tujuan tuntutan dan sebagai keterangan kes di mahkamah sekiranya diterima hakim. Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bukti rakaman daripada kamera papan pemuka kenderaan atau dashcam boleh digunakan untuk tujuan tuntutan dan sebagai keterangan kes di mahkamah sekiranya diterima hakim.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, dalam hal tersebut, akan wujud pertikaian yang perlu diputuskan oleh hakim sama ada sesuatu rakaman boleh diterima sebagai bukti atau tidak.

Justeru menurutnya, amat penting untuk memastikan peranti yang digunakan mempunyai fungsi ketetapan tarikh dan waktu rakaman.

"Dalam tuntutan kes kemalangan kenderaan, dashcam akan merakam nombor pendaftaran kenderaan, warna dan jenis kenderaan. Rakaman juga boleh menunjukkan sama ada pemandu telah menyalahi undang-undang jalan raya atau telah melakukan kecuaian. Misalnya cara pemanduan, gaya dan keadaan dan suasana pemanduan.

"Dalam kes tuntutan persendirian kerana mengakibatkan kecederaan, dashcam dapat menunjukkan bukti serangan fizikal iaitu wajah penyerang, pakaian yang dipakai, kenderaan yang dipandu serta senjata atau alat yang digunakan,” katanya.

Sementara itu, pakar psikologi trafik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Rozmi Ismail mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan pemasangan peranti itu bagi semua kenderaan baharu.

Beliau berkata, ia berikutan pemasangan alat itu penting bagi menyimpan segala bahan bukti sekiranya terdapat sebarang masalah ataupun berlaku kemalangan.

Tambah beliau, ia juga penting dalam meningkatkan keselamatan, di samping dapat mengubah tingkah laku pengguna di jalan raya supaya lebih berhati-hati.

"Jadi dalam konteks ini, kalau kita berhadapan dengan situasi kecemasan ataupun kemalangan, sudah tentunya akan berlaku pertengkaran antara dua atau lebih pihak.

"Di sini akan ada situasi di mana masing-masing akan mempertahankan. Kadang-kadang tak selesaikan masalah.

"Kemudian ada pula unsur-unsur melibatkan integriti. Mungkin ada pihak yang rasa bersalah itu berpakat atau tidak memberitahu perkara sebenar dengan memutar-belitkan fakta.

"Jadi, benda ini sangat perlu dan saya sangat menyokongnya terutama bagi mengetahui punca kemalangan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca