SHAH ALAM - Kamera papan pemuka yang dipasang pada kenderaan terbukti membantu pengguna jalan raya mengenalpasti punca sesuatu nahas kemalangan sekali gus menjadi penyelamat kepada mana-mana individu daripada dipersalahkan selain mempermudahkan proses perundangan.
Seorang suri rumah, Ina Nadia Asyikin Samsudin, 30, mendedahkan peralatan di keretanya pernah digunakan sebagai bukti punca kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal dengan pemandu kereta.
Katanya, penunggang motosikal berkenaan telah melanggar lampu isyarat merah lalu menghentam bahagian belakang kereta tersebut, namun dia tidak mengaku bersalah dan cuba untuk memanipulasikan cerita.
"Penunggang motosikal mendakwa lampu isyarat di laluannya masih kuning, sedangkan rakaman dashcam jelas menunjukkan dia melanggar lampu isyarat merah.
"Tetapi, apabila saya mengajaknya untuk ke balai polis, dia cepat-cepat cabut lari. Setelah meneliti rakaman berkenaan, polis mendapati motor yang dibawanya adalah atas nama orang lain dan cukai jalan pun dah lama mati,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang pencipta kandungan, Atika Naquiah Hamdan, 24, menceritakan kejadian di mana kenderaannya telah dilanggar lari sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Ipoh, Perak.
"Ketika itu, saya hanya memandu 80 kilometer sejam (km/j) sahaja, tiba-tiba ada bunyi hentaman yang agak kuat di sebelah kanan belakang kereta.
"Saya segera memberhentikan kenderaan di tepi jalan, dalam keadaan masih terkejut, saya menghubungi ahli keluarga, kemudian kami membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.
"Saya menunjukkan video kemalangan yang berlaku menerusi rakaman dashcam kereta saya, selang dua hari kemudian, polis berjaya mengenalpasti pemandu kenderaan tersebut,” luahnya.
Seorang pekerja swasta, Hairol Ezam Husaini, 33, berkata, peranti yang dipasang di keretanya berjaya merakam kemalangan melibatkan seorang penghantar makanan yang dilanggar sebuah kereta.
"Pemandu kereta pada awalnya mengaku tidak bersalah, sebaliknya menuduh penunggang motosikal tersebut yang datang secara mengejut. Mendengar dakwaan itu, saya cepat-cepat serahkan rakaman dashcam kepada rakan mangsa.
"Penunggang motor berkenaan cedera parah hingga terpaksa dibawa ke unit rawatan kecemasan (ICU) di Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai,” jelas pemuda berasal dari Batu Pahat, Johor itu.
Tambahnya, kejadian itu berlaku seminggu selepas dia mengambil keputusan untuk memasang alat itu di kereta Proton Saga miliknya.
"Dalam keadaan sekarang, dah banyak sangat berlaku kemalangan tetapi pelaku tidak mengaku bersalah dan ada juga individu yang menggunakan cara licik untuk memperoleh wang,” ujarnya.
Bagi Hafizuddin Samad, 28 pula, dia bersyukur kerana berjaya mendapatkan rakaman video kereta yang melanggar motosikal ditunggang ibunya pada November tahun lalu.
"Emak saya menaiki motosikal untuk pergi ke restoran di Batu Caves. Dalam perjalanan, dia dilanggar kereta yang datang dari arah kanan ingin susur ke kiri dan menyebabkan emak saya jatuh.
"Akibatnya, emak saya cedera di bahagian kepala, retak beberapa tulang rusuk dan koma selama empat hari.
"Video yang diperoleh daripada dashcam kereta seorang pengguna jalan raya telah dihantar ke balai polis untuk dijadikan bukti,” ujar pemandu lori itu.
Bagi Nor Azliana Mohd Nawawi pula, pengalaman dilanggar kereta ketika dalam perjalanan dari Muar, Johor dua tahun lalu membuatkan dia tekad untuk memasang dashcam di keretanya pada Februari 2021.
"Dua minggu lalu, saya sekali lagi alami kemalangan di Muar, ada kereta yang tersalah masuk simpang dan melanggar kereta saya.
"Mula-mula pemandu itu tidak mengaku salah masuk simpang, apabila saya sebut tentang rakaman, baru dia nak mengaku salah,” kata Juruteknik Perkhidmatan Lapangan berusia 35 tahun itu.
Klik di sini untuk terus membaca